Print

Akauntabiliti Menurut Pandangan Islam

Written by Khairul Azhar Bin Idris. Posted in Artikel

Akauntabiliti atau tanggungjawab merupakan satu tugas dan kewajipan yang mesti dilaksanakan dengan sebaiknya. Melaksanakan tugas tersebut merupakan satu tanggungjawab, malah melaksanakan tugas tersebut dengan cara yang terbaik juga merupakan satu lagi tanggungjawab. Kesemuanya mestilah dilaksana dan diselesaikan.
Menurut pengertian istilah, akauntabiliti ialah tugas dan tanggungjawab yang dilakukan oleh seseorang dan ia pula bersedia untuk menerima kesan dan implikasi dari suatu perbuatan atas tindakan yang dilakukannya. Ini bertepatan dengan pengertian yang dibuat oleh Kamus Dewan yang menyatakan ia sebagai kewajipan yang mesti dilaksanakan atas rasa kepertanggungjawaban.
Dalam Islam seseorang itu dipertanggungjawabkan sekiranya terdapat padanya unsur-unsur berikut:

a. Niat (intension)
b. Baligh atau Cukup umur
c. Aqil atau berakal iaitu kewarasan yang cukup dan wajar bagi menilai kesan dan risiko daripada tindakannya, maka itu ia dipertanggunjawabkan
d. Mukallaf iaitu bebas dalam membuat keputusan tanpa ada sebarang pengaruh luaran atau paksaan dan ia akan dipertanggungjawabkan terhadap semua perbuatannya

Berdasarkan kepada ajaran-ajaran dalam Islam yang mengutamakan pelaksanaan tanggungjawab, jadi pada hemat saya, semua individu muslim yang sudah baligh, berakal dan mukallaf, adalah orang-orang yang telah diajar untuk bertanggungjawab dengan penuh amanah dan ikhlas. Oleh yang demikian, mereka adalah orang-orang yang mempunyai tanggungjawab yang mesti mereka laksanakan. Ini kerana ajaran-ajaran Islam itu sendiri banyak mengandungi amanah dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan oleh penganutnya.
Banyak terdapat ajaran-ajaran dalam Islam memberi contoh jenis-jenis tanggungjawab yang menjadi kewajipan mereka untuk menunaikannya seperti tanggungjawab sebagai seorang Islam, sebagai suami dan isteri, sebagai ibu bapa, sebagai anak, sebagai pelajar, sebagai pekerja, sebagai majikan dan lain-lain lagi. Secara falsafahnya, akauntabiliti dalam Islam itu ialah melaksanakan semua tanggungjawab tersebut berdasarkan kepada perkara-perkara yang telah ditetapkan oleh syariat seperti berikut:

i melaksanakan tanggungjawab tersebut hanya kerana Allah, kepadaNya dan untukNya sahaja dengan penuh rasa ikhlas dan takwa.

ii menurut ajaran yang telah ditunjukkan oleh contoh mulia Junjungan Besar Nabi Muhammad (s.a.w.) Ini merujuk kepada ayat 21, Surah al-Ahzab yang bermaksud:
‘Sesungguhnya untuk kamu pada Rasullullah itu terdapat contoh yang amat baik untuk kamu ikuti, bagi sesiapa yang mengharapkan keredhaan Allah dan Hari Akhirat dan banyak mengingati Nya’.

iii mengaku dan mempercayai bahawa semua ajaran dan janji Allah dan RasulNya itu adalah benar belaka dan seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan. Ini akan menambahkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan RasulNya. Firman Allah, surah Al-Ahzab, ayat 22 bermaksud:
“Ketika orang-orang mukmin melihat musuh-musuh mereka (orang yang kufur dan tidak beriman dengan ajaran Islam yang telah ditunjukkan oleh Allah dan RasulNya, kepada kami, memang benarlah Allah dan RasulNya, lantas bertambahlah keimanan dan ketaatan mereka.”

iv merasa bertanggungjawab untuk melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab itu dengan penuh rasa keihsanan.
Rasa keihsanan itu pula akan muncul jika diiringi dengan sifat ikhlas, jujur dan amanah. Dalam sebuah hadis, Rasul (s.a.w) ada membicarakan tentang ihsan. Antara lain kandungan hadis memberi maksud bahawa ‘ihsan itu ialah apabila seseorang itu beribadat, ia merasakan bahawa seolah-olah Allah itu sedang memerhatikan perlakuannya ketika itu’.
Secara rasionalnya, sudah tentu pada ketika itu seseorang akan melakukan dengan yang terbaik. Perkataan ihsan ini berasal dari perkataan hasan yang bermaksud baik, cantik, elok dan sempurna. Jadi sebagai seorang Islam, kita mestilah melaksanakan tanggungjawab dan amanah itu dengan cara yang terbaik, sempurna dan elok.
Dalam sebuah hadis lain bermaksud, ‘Allah amat menyukai dan menyayangi mana-mana hambaNya yang apabila melakukan sesuatu tugas dan tanggungjawab, akan melakukannya dengan cara yang terbaik dan berusaha pula dari masa ke semasa dan hari demi hari untuk memperbaiki lagi amalannya itu’. Dalam sebuah lagi hadis yang bermaksud, ‘beruntunglah seseorang yang perbuatan dan amalannya pada hari ini lebih baik daripada yang semalam. Amalan untuk memperbaiki diri ini pula sebenarnya memerlukan penilaian terhadap amalan seharian seperti dalam ibadah, kelakuan, perangai, tutur kata dan cara bekerja. Amalan ini juga telah diamalkan dan disarankan oleh Sidina Abu Bakar al Siddiq seperti katanya ‘hitunglah diri kamu sebelum kamu akan diperhitungkan’.

v mempercayai dan menyakini bahawa semua tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita itu akan dinilai oleh Allah s.w.t.
Ini akan menyentuh persoalan adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah itu secara sebaiknya atau kita telah mengabaikannya. Sebagai contohnya, tanggungjawab kita kepada ibu bapa kita, adakah telah dilaksanakan dengan sebaiknya. Ini menurut tuntutan dalam al Quran sebagaimana maksud ayat 23, surah al-Isra’,
“Tuhanmu memerintahkan supaya janganlah kamu sembah kecuali Dia dan berbuat baiklah kepada mereka. Jika seseorang di antara keduanya atau kedua-duanya telah tua, jangan kamu berkata ‘cis’ atau herdik mereka, berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang mulia.

Manakala ayat 24, Allah berfirman:
“Rendahkanlah kedudukan dirimu kepada keduanya kerana kasih sayang dan katakanlah : Ya Tuhanku, kasihanilah keduanya sebagaimana mereka mengasihaniku ketika kecil.”

Begitu juga kita akan dipersoalkan tentang tanggungjawab kita ke atas harta dan anak-anak kita. Para majikan akan ditanya tentang tanggungjawab mereka ke atas syarikat dan para pekerja mereka. Begitu juga, para pekerja akan ditanya tentang tanggungjawab mereka terhadap pekerjaan dan majikan mereka. Semua pertanggungjawaban ini akan disoal dan ditanya oleh Allah di hari akhirat nanti. Ini bertepatan dengan firman Allah sebagaimana dalam surah Yasin, ayat 65 bermaksud:
‘Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan Kami berbicara dengan tangan mereka dan menjadi saksi kaki mereka, tentang apa-apa yang telah mereka kerjakan’.

 

Featured Hadith

Diriwayatkan dari Abu Sa'id bin Al-Mu'alla r.a.: Pada saat aku sedang mengerjakan solat di dalam masjid, Rasulullah s.a.w memanggilku tetapi… Baca lagi

Riwayat Abu Sa'id bin Al-Mu'alla r.a.

MS ISO 9001:2008

"Memahami Islam Membina Peradaban"