Print

Aplikasi Teknik Penganalisaan dan Penyelesaian Masalah Dalam Keluarga

Written by Khairul Azhar Bin Idris. Posted in Artikel

Ibubapa merupakan insan yang semestinya dihormati oleh anak-anak. Peranan mereka adalah amat besar dalam membina keluarga. Pembinaan keluarga ini pula berjalan di atas pelaksanaan tanggungjawab yang ditanggung oleh kedua mereka. Sememangnya peranan dan tanggungjawab para ibubapa amatlah banyak dan berat untuk dipikul dan dilaksanakan. Ini memerlukan kesediaan dari pelbagai aspek seperti ilmu pengetahuan kekeluargaan dan perkahwinan, pengetahuan pendidikan dan perkembangan anak-anak, kemantapan intelek dan emosi ibubapa, serta keupayaan kewangan mereka dalam membina keluarga tersebut.

Kesemua faktor yang telah dinyatakan di atas sebenarnya merupakan perkara asas bagi pasangan yang bergelar suami dan isteri dan yang bakal menjadi ibu atau bapa. Itulah juga perkara yang seharusnya mereka berikan perhatian sekiranya mereka mahu mendirikan rumahtangga dan kehidupan berkeluarga. Sekiranya diabaikan, kemungkinan besar kehidupan berkeluarga yang mahu dibina tidak akan dapat bertahan lama ataupun akan muncul pelbagai masalah yang menyekat kestabilan keluarga berkenaan.
Dalam hal ini, sebagai seorang muslim, sudah semestinyalah mereka merujuk kepada ajaran Islam berkenaan asas-asas pembinaan sesebuah keluarga. Umpamanya, Islam menuntut suami dan isteri atau ibu dan bapa itu menghormati sesama mereka, melayan pasangan mereka dengan penuh rasa hormat dan kasih saying serta bertanggungjawab. Mereka juga dituntut melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh amanah dan bersikap adil. Inilah antara beberapa perkara asas yang semestinya difahami dan dihayati oleh mereka.

Dalam al Quran memang banyak terdapat suruhan supaya berlaku adil dan hormat menghormati sesama manusia. Contohnya, dalam surah an Nisaa’, ayat 124 bererti: ‘barang siapa yang mengerjakan amal salih, baik lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga tanpa teraniaya sedikitpun’.
Ini merupakan tuntutan ke atas setiap orang Islam untuk berbuat baik kepada semua manusia, lebih-lebih lagilah kepada ahli keluarga mereka. Begitu juga, berdamai dan berbaik-baik sesama suami-isteri amatlah dituntut untuk kebahagiaan mereka sekeluarga. Dalam surah an Nisaa’, ayat 128 bermaksud, jika seorang perempuan melihat kesalahan suaminya atau telah berpaling hatinya, maka tiada berdosa keduanya jika keduanya mengadakan perdamaian sesama mereka. Berdamai itu adalah lebih baik. Memang manusia berperangai kikir. Jika kamu berbuat baik kepada isterimu dan bertakwa, sesungguhnya Allah Amat Mengetahui’.

Namun, kekurangan yang aea pada ketika ini adalah berkaitan maklumat dan kaedah yang terbaik atau sepatutnya dipelajari dan dilaksanakan bagi menjamin kehidupan dan interaksi berkeluarga yang lebih harmonis dan mesra.

Mungkin sesuatu yang luar biasa sifatnya terjadi apabila semua faktor-faktor berkenaan telah diambilkira dan dilaksanakan, namun masih lagi berlaku pelbagai masalah kekeluargaan seperti perceraian, penderaan, perzinaan dan bersekedudukan, pengabaian dan lain-lain. Dalam perkara ini, kemungkinan wujudnya faktor-faktor lain yang turut menyebabkan berlakunya masalah ini hendaklah diteliti, dan sekiranya ada, apakah faktor-faktor tersebut dan bagaimanakah cara-cara mengatasinya. Oleh yang demikian, peranan para suami dan isteri atau ibubapa adalah mengenal pasti bentuk-bentuk permasalahan yang dihadapi dan meneliti ketika mana masalah tertentu itu wujud dan bagaimana ia boleh wujud ketika dalam proses membina keluarga berkenaan. Di samping itu, jalan penyelesaian juga hendaklah dicari. Sememangnya semua permasalahan itu ada jalan penyelesaiannya. Dan ia tidaklah hanya bergantung kepada satu sahaja jalan penyelesaian. Namun perlu diingat, cara penyelesaiannya adalah tersendiri dan unik bagi sesebuah keluarga sekalipun permasalahan yang dialami itu serupa dengan keluarga lain.

Pada kebanyakan masa, kaedah diagnostic functional analysis atau analisa fungsi sering dikatakan sebagai kaedah yang agak kukuh dalam mencari punca-punca permasalahan keluarga. Pada asasnya, ini merupakan kaedah yang diperkenalkan oleh behavioristic family therapy (terapi keluarga berpendekatan behavioristik) dalam mencari punca dan cara permasalahan keluarga berlaku. Ini adalah satu kaedah yang walaupun bukan yang sempurna, tetapi sekurang-kurangnya mampu membuka minda ahli keluarga atau mendidik mereka untuk membentuk keluarga yang bahagia dan mesra.

Kaedah ini memerlukan ahli keluarga memiliki beberapa kemahiran tertentu seperti berikut bagi menilai sesuatu permasalahan yang dihadapi:

1. menilai bentuk sesuatu tingkahlaku yang dikatakan bermasalah
2. memberi pengertian terperinci secara lebih objektif terhadap tingkahlaku yang bermasalah itu
3. memberi gambaran persekitaran atau peristiwa yang boleh menimbulkan tingkahlaku bermasalah itu
4. menilai kesan sampingan daripada tingkahlaku yang bermasalah itu ke atas individu terbabit, ahli keluarga dan masyarakat sekitar
5. memiliki keupayaan untuk berkomunikasi dan menyampaikan maklumat tentang masalah tersebut kepada orang lain dalam bentuk yang lebih bersifat mendidik.

Sebagai contoh bagi kes pertama, seorang suami yang pulang lewat dinihari mendapati isterinya semakin dingin dan renggang serta kurang berbicara dengannya. Manakala bagi kes kedua, seorang kanak-kanak berusia lima tahun sering kencing malam (enuresis) apabila melihat pertengkaran antara ibu dan bapanya. Ataupun, mungkin kekerapan dan keintensifan kanak-kanak itu kencing malam itu lebih tinggi berbanding kebiasaannya. Dalam hal ini, mereka perlu memiliki kemahiran menganalisa tingkahlaku tersebut seperti berikut:

1. bagi kes pertama, pihak suami perlu menyedari akan wujudnya simptom-simptom masalah dalam hubungan mereka sebagai suami isteri (dalam hal ini, sikap isteri yang dingin, sering marah-marah dan kurang berkomunikasi secara mesra dengannya)
2. suami perlu menyedari bilakah sikap tersebut bermula dan bilakah ia menjadi bertambah teruk atau bertambah reda (dalam kes ini, tanda-tanda ini muncul apabila suami mula lewat pulang ke rumah dan ia berkurangan apabila suami lebih kerap pulang awal ke rumah)
3. suami mencari maklumat daripada isteri akan keadaan mental dan emosinya ketika ia pulang lewat dan apakah harapan isteri daripadanya (dalam kes ini, isteri merasa marah dan cemburu jika suaminya pulang dinihari kerana ada wanita lain walaupun tiada fakta yang jelas dan ia mengharapkan perkara itu tidak akan berlaku)
4. suami cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan mengubah keadaan itu kepada sediakala (seperti pulang lebih awal, lebih kerap berada di rumah ataupun menyedarkan isteri akan keadaan yang sebenar)
5. isteri pula hendaklah menerima hakikat yang sebenar dan mengubah pesepsi buruknya seperti berbaik sangka dengan suami ataupun menerima tanggungjawab berat suami juga sebagai sebahagian dari kehidupannya

Dalam kes kedua pula, bagi ibu atau bapa yang mempunyai anak bermasalah kencing malam, mereka bolehlah menjalankan penganalisaan seperti berikut:

1. mengkaji perangai anak anda sekiranya terdapat sebarang perbezaan ketara dari segi emosi dan intelek serta tingkahlakunya termasuklah perubahan dari segi pemakanan, tidur, penjagaan dan kebersihan diri, interaksi sosial dan pembelajarannya pada masa terdekat ini
2. menilai masalah anak tersebut (dalam kes ini, kencing malam) dari segi bilakah permulaannya, kekerapan dan kadarnya serta bilakah masanya masalah tersebut akan menunjukkan pengurangan bagi dikaitkan dalam konteks keluarga dan interaksi antara suami dan isteri atau ibu dan ayah ataupun peristiwa-peristiwa baru yang berlaku dalam keluarga yang membawa perubahan besar dan penting dalam keluarga tersebut
3. membuat satu nota ataupun ‘check list’ bagi merekodkan perubahan-perubahan tersebut dalam hubungan kekeluargaan (ini melibatkan interaksi yang lebih kompleks dari segi komunikasi kekeluargaan, keadaan hubungan emosi kekeluargaan, interaksi dan komunikasi sosial anak dan keadaan pembelajaran anak serta kaitannya dengan perubahan besar dalam keluarga)
4. berusaha menjalankan perubahan yang lebih positif dan mesra antara ahli keluarga berdasarkan kepada maklumat yang telah diperolehi itu
Dua kes di atas adalah contoh ringkas dan mudah cara menganalisa dan menyelesaikan masalah dalam keluarga. Walaubagaimanapun, menganalisa sesuatu masalah khususnya dalam keluarga bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang disangkakan, dan ia pula perlulah dilakukan dengan berhati-hati dan dilakukan dengan maklumat yang tepat dan mencukupi. Kebimbangan yang wujud ialah kesilapan pemerhatian dan penganalisaan yang membawa kepada kesilapan rawatan dan pemulihan yang akan melibatkan kos dan mungkin juga kehidupan atau mungkin juga nyawa seseorang.

Secara rumusannya, mempelajari beberapa teknik penganalisaan dan penyelesaian masalah rumahtangga adalah amat baik. Sememangnya perkara ini tidak diajarkan di mana-mana institusi persekolahan mahupun universiti dan ia amat jarang sekali dikenali di negara ini. Tambahan pula permasalahan rumahtangga mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri dan cara menanganinya juga amat unik sekalipun memerlukan aplikasi beberapa teknik penyelesaian masalah yang rutin dan biasa ditemui.

 

Featured Hadith

Diriwayatkan dari Suwaid bin Al-Nu'man salah soerang yang menyaksikan (baiat dibawah) pohon: Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya di beri sawiq… Baca lagi

Riwayat Suwaid bin Al-Nu'man

MS ISO 9001:2008

"Memahami Islam Membina Peradaban"