Cetak

Keberkesanan Kaedah Pengurusan Alam Sekitar

Ditulis oleh Mohd Noor Bin Omar. Posted in Artikel

Persaingan di arena dunia dan pasaran global tidak semudah yang disangkakan. Syarikat-syarikat dan negara-negara melakukan perkara terbaik untuk menawarkan barangan dan perkhidmatan yang bermutu. Kesan dari pelbagai kegiatan terutamanya pembangunan kehidupan individu atau kelompok, alam sekitar telah diabaikan oleh sesetengah pihak. Manusia menerima kesan buruk, kemusnahan, pencemaran, kepupusan, kehilangan sumber bumi dan kegagalan pemulihan yang amat meruncing. Pergolakan kepentingan di antara menjaga alam sekitar dan kepentingan pembangunan kehidupan akhirnya mengabaikan ketahanan dan kelangsungan hidup untuk tempoh jangka masa panjang sehingga ke generasi akan datang. Dalam rentetan usaha memulihkan bumi ini, berbagai tindakan dilakukan tidak kurang juga kaedah pensijilan diperkenalkan iaitu Environmental Management System (EMS) atau The Eco-Management and Audit Scheme (EMAS).

Walaupun naluri kecil tertanam kecintaan kepada mempertahankan sumber-sumber ini, namun apabila tiba bagi melaksanakan satu kaedah pengurusan alam sekitar, sudut pandangan menjadi sempit. Perlaksanaannya telah menyeleweng dari tujuan asal sehingga ada sesetengah pihak mengambil kesempatan. Sebagai contoh, perlaksanaan Environmental Management System (EMS) ISO 14001 hanya untuk mendapat pengiktirafan dan peluang memasarkan barangan atau perkhidmatan yang diusahakan oleh pihak terbabit. Sikap yang acuh tidak acuh dalam menghayati dan memahami keperluan penjagaan sekitar hanya sekadar untuk memastikan nama syarikat diiktiraf di atas kertas.

Dalam pemerhatian yang lebih khusus, kakitangan yang terlibat dengan urusan pensijilan tidak jauh bezanya dengan pemikiran pemilik sesebuah syarikat. Sama ada sedar atau tidak, golongan ini sebenarnya bukan sahaja tidak faham malah mengkhianati kaedah dan menjadi wakil penyelewengan kepada keharmonian alam. Lebih parah lagi, ada sebilangan pengusaha yang langsung tidak memperdulikan kesan tindakan mereka terhadap alam sekitar.

Adalah mustahil kita dapat menggantikan kesempurnaan kitaran alam sekitar sedia ada ke tahap sempurna sementara ada pihak yang memusnahkannya. Kita diberi pilihan untuk berusaha untuk memakmurkan bumi dan dalam masa yang sama membangunkan penghuninya tetapi tidak diberi pilihan untuk menukar bumi lain. Bumi milik bersama walaupun kepada pemilik yang belum lahir ke dunia. Memelihara dan memulihara alam adalah hak dan tangungjawab bersama. Sanggupkah kita melihat generasi kita akan datang hidup dalam bumi yang gersang dan berkucaran dengan pergolakan alam sekitar yang amat meruncing.

Sama ada berhajat kepada pensijilan EMS atau tidak, prinsip pengurusan yang ditunjukkan dalam keperluan EMS wajar dihayati oleh semua orang. Bagi syarikat yang ingin memasuki pasaran tertentu, perlaksanaan pensijilan adalah sebagai nilai tambah kepada system pengurusan alam sekitar yang sedia ada bukan matlamat utama.

Masyarakat wajar peka dan prihatin terhadap prinsip dan kehendak Sistem Pengurusan Alam Sekitar yang antara lain menggariskan usaha mengenalpasti, menganalisa, mengkelaskan dan mengawal perkara-perkara yang melibatkan risiko dan bahaya kemusnahan alam sekitar. Usaha ini memerlukan keunggulan kepimpinan dan penambahbaikan berterusan. Rentetan Standard Antarabangsa ISO 14000 secara dasarnya menumpukan kepada usaha pengurangan dan pencegahan pencemaran. Meninjau secara terperinci dengan pandangan yang menyeluruh mengambil kira pengurangan kos dan pengurusan risiko. Pusat kepentingan kepada semua kegiatan ini ialah masyarakat umum termasuk diri kita sendiri.

Masalah dalaman syarikat-syarikat kecil dan kesedaran individu dikenalpasti sebagai penghalang kepada perlaksanaan sistem pengurusan alam sekitar. Antara lain ialah minat terhadap mengawal alam sekitar, tidak mempunyai dasar tentang penjagaan alam sekitar, tidak memahami sistem dan pengetahuan tentang kaedah dan kawalan persekitaran.

Kita wajar memberi perhatian bahawa sumber utama bumi yang menyokong kehidupan seperti air tidak boleh dipandang ringan. Dunia akan mengalami pergolakan air yang amat meruncing sekiranya kesedaran dan tindakan tidak diambil secepat mungkin. Satu langkah tersilap akan memberi kesan kepada banyak pihak dalam tempoh yang panjang. Keadaan yang meruncing melanda dunia setelah dilanda krisis minyak ialah krisis mendapatkan sumber air bersih. Memang dahulunya sungai memainkan peranan penting dalam perhubungan dan menjadi rebutan. Setelah aliran perparitan dan pengairan ditingkatkan ditambah pula dengan saluran bekalan air ke rumah atau pejabat, maka kepentingan sungai seolah-olah diabaikan. Masyarakat leka dengan usaha mengejar kemewahan dan kebendaan tanpa menyedari bahawa mereka telah menggadaikan nyawa sendiri. Mutu air sungai tidak diendahkan akibatnya, pencemaran air telah berlaku di tahap yang amat membimbangkan dan membingungkan. Mengikut kajian penyelidikan air terdapat tiga jenis pencemaran sungai iaitu:
   Pencemaran lahiriah tidak larut dalam air seperti sampah sarap, logam, kertas, kaca dan keladak
   Pencemaran biologi seperti najis manusia dan binatang menyebabkan muncul kuman seperti Ezcherichia coli atau E Coli, cacing nematod dan mikrob lain
  Pencemaran kimia yang larut dari sumber fizikal bertindakbalas serta menghasilkan kandungan kimia yang merbahaya

Akibat dari pembuangan sisa yang tidak teratur, kita dapati telah datang berbagai wabak penyakit melanda manusia. Penyakit Sistem Penafasan Akut (SARS), Japanese Encephalitis (JE) dan selsema burung H5N1 adalah disebabkan oleh virus yang telah bermutasi dan sukar mencari penawarnya. Tabib di seluruh dunia berusaha mencari kaedah rawatan sedangkan pembendungan punca masalah diabaikan.

Di Malaysia, punca utama pencemaran sungai berlaku disebabkan oleh keladak dan sisa kumbahan di samping bahan lain seperti najis, sampah sarap dan bahan kimia termasuk logam berat arsenik, kadmium raksa dan plumbum. Apa yang membimbangkan ialah kandungan bahan tersebut melebihi paras yang ditetapkan oleh Piawai Kualiti Air Kebangsaan Interim Kelas II.

Mutu air sungai di negara secara keseluruhannya menurun dari tahun ke tahun. Tidak mustahil sekiranya sesuatu tidak dilaksanakan dengan segera, Malaysia akan mengalami krisis air bersih yang meruncing walaupun berada di dalam iklim yang tidak sepatutnya timbul masalah ini. Tidak mustahil juga suatu masa nanti, sebuah daerah atau negeri perlu dikorbankan untuk memusatkan pembuangan sampah kerana sampah. Kesan jangka panjang kecelaruan pengurusan sisa buangan perlu dipandang berat. Apabila kerajaan mencadangkan sesebuah kawasan yang dikenalpasti untuk dibangunkan incenerator, penduduk di kawasan tersebut menentang dengan berbagai cara dan alasan. Mereka lebih rela melihat sampah dibuang di mana-mana daripada dipusatkan secara teratur. Pihak kerajaan juga perlu sedar dengan bersungguh kerana di masa akan datang perkara yang sama atau seumpamanya tetap juga perlu dibuat. Janganlah bak kata orang sudah terhantuk baru tengadah atau nasi sudah jadi bubur. Buatlah persiapan dengan memberi penempatan baru dan menanggung pampasan kerugian sementara keadaan masih mengizinkan.

Masihkah kita ingat ketika jerubu melanda negara kita baru-baru ini?. Dengan pandangan yang kabur dan terhad, nafas menjadi sesak kerana habuk dan bau yang tidak menyenangkan, semua kegiatan menjadi terbatas dan serba tidak kena. Berbagai kesan buruk kesihatan telah melanda negara secara mengejut. Peningkatan jumlah pesakit terutamanya melibatkan sistem penafasan dan fungsi jantung, kulit dan sistem ketahanan badan. Ibu yang mengandung dan kanak-kanak yang dilahirkan dalam tempoh tersebut mengalami masalah penafasan seperti penyakit asma yang tinggi. Bagi pembawa penyakit asma baka yang amat jarang diserang, mula mengalami masalah penafasan. Jelasnya, dalam keadaan biasa tanpa gangguan jerubupun kita lihat peningkatan tahap penyakit dan menanggung harga perubatan yang tinggi.

Masyarakat memandang rendah dan hina terhadap badan atau syarikat yang menjalankan kerja-kerja kebersihan, penjagaan dan pemulihan seperti majlis pembandaran, pembentungan dan sebagainya. Begitu juga berlaku di kalangan sesama syarikat yang memilih untuk pensijilan sebagai menambah beban kewangan pengurusan. Tanggapan sebegini berlaku kerana pengaruh kebendaan yang lebih mementingkan kewangan dan pendapatan jangka pendek.

Pembangunan sains dan teknologi juga perlu dilihat dari sudut negatif yang memberi kesan buruk kepada alam sekitar. Memang penemuan baru baik kepada pembangunan manusia tetapi, tidak semuanya memberi faedah yang banyak malah ada sesetengahnya yang memberi kesan buruk melebihi kebaikan yang sepatutnya. Pengkajian dan penilaian perlu seiring dengan mengambilkira sudut kejejasan terhadap alam sekitar. Kemudahan perlu diberikan kepada kajian yang cenderung membaikpulih alam sekitar sebagai rangsangan.

Inilah beberapa perkara penting dalam usaha menjaga alam sekitar. Secara ringkas, masyarakat perlu sedar bahawa setiap perbuatan mereka akan memberi kesan kepada alam sekitar dalam ukuran kecil atau besar. Bukanlah umur panjang menjadi impian tetapi umur panjang dengan tahap kesihatan yang baik. Kalau hidup seribu tahun sekalipun tetapi sentiasa berada di dalam sakit yang memudaratkan dari segi rohani, aqli dan jasmani, apalah erti kehidupan tersebut. Rasulullah pernah menyebut di dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam Al-Hakim bahawa rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara iaitu muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, hidup sebelum mati. Janganlah menunggu keadaan tidak mengizinkan baru kita mencari ikhtiar. Kaedah sedia ada pengurusan alam sekitar tidak akan berkesan sekiranya semua pihak leka dan tidak memahami falsafah pengurusan alam sekitar.

Statistik

105874
Hari IniHari Ini25
SemalamSemalam152
Minggu IniMinggu Ini177
Bulan IniBulan Ini3209
KeseluruhanKeseluruhan105874

Hadis Pilihan

Diriwayatkan dari Abu Hurairah: Thufail bin 'Amr Al-Dausiy dan kawan-kawannya menemui nabi s.a.w dan berkata "Ya Rasulullah, orang-orang dari suku… Baca lagi

Riwayat Abu Hurairah

MS ISO 9001:2008

"Memahami Islam Membina Peradaban"