Cetak

Islam galak korporat laksana tanggungjawab kemasyarakatan

Ditulis oleh Muhammad Hisyam Bin Mohamad. Posted in Berita Harian

SEKTOR korporat walaupun pada hakikatnya lebih dilihat sebagai entiti yang mementingkan keuntungan semata-mata, mereka sebenarnya memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Sumbangan itu wujud dalam bentuk penawaran produk dan perkhidmatan kepada pasaran atau dalam bentuk penciptaan peluang pekerjaan kepada penduduk atau melalui sumbangan percukaian kepada kerajaan.

Kita sebagai masyarakat awam sebenarnya tidak menafikan sumbangan itu. Bagaimanapun, pada masa sama masyarakat mengharapkan lebih daripada itu. Hal ini kerana tanggungjawab sektor korporat bukan setakat menyediakan produk dan perkhidmatan atau menyumbang kepada perolehan kerajaan, malah mempunyai tanggungjawab lain terhadap masyarakat. Tanggungjawab yang dimaksudkan di sini dikenali juga sebagai tanggungjawab sosial sektor korporat.

The World Business Council For Sustainable Development mendefinasikan tanggungjawab sosial sektor korporat sebagai iltizam entiti perniagaan untuk menyumbang ke arah pembangunan ekonomi yang berterusan menerusi perhatian terhadap pekerja, keluarga (pekerja), komuniti setempat dan masyarakat keseluruhan dalam usaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan.

Jika diperhatikan kepada suasana perniagaan semasa, sektor korporat ini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang perlu ditangani secara berhemat. Kebanyakan cabaran ini berkait rapat dengan kegiatan perniagaan yang dijalankan. Contohnya, syarikat perladangan dan pembinaan, mereka berhadapan dengan isu berkaitan kemusnahan ekologi dan biodiversiti. Syarikat makanan segera pula dikaitkan dengan masalah kegemukan di kalangan masyarakat, terutama kanak-kanak. Bank pula dilihat sebagai institusi yang tidak mempunyai belas kasihan kepada pelanggan kerana pelbagai caj yang dikenakan.

Sektor korporat juga menghadapi tekanan daripada pemegang saham (pengguna, pekerja, pelabur dan masyarakat) yang ingin melihat mereka lebih telus, beretika dan bertanggungjawab dalam kegiatan mereka.

Ia walaupun penting, tidak banyak syarikat yang secara sukarela membabitkan diri dalam kegiatan berbentuk kemasyarakatan. Kalau ada pun, setakat sumbangan cek atau derma kepada badan kebajikan yang dibuat secara tidak berterusan. Perkara ini bagaimanapun tidak dianggap sebagai tanggungjawab sosial yang dimaksudkan di sini.

Dalam hal ini, sektor korporat boleh memainkan peranan dalam tiga aspek iaitu ekonomi atau kewangan; kemasyarakatan dan alam sekitar.

Antara tanggungjawab sosial yang boleh dilakukan adalah pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang, pembinaan kemudahan komuniti, pengurangan kesan alam sekitar akibat penggunaan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Begitu juga ciri keselamatan di tempat kerja, pendidikan pengguna, pendedahan korporat dan pengetahuan mengenai produk yang mencukupi kepada pengguna.

Sebenarnya, syarikat tidak akan mengalami kerugian jika terbabit dalam kegiatan sosial. Sebaliknya, dapat meningkatkan reputasi syarikat dan pada masa sama meningkatkan kewibawaan organisasi.

Di Amerika Syarikat dan Eropah, tanggungjawab sosial sektor korporat adalah antara faktor yang diambil kira oleh masyarakat pelabur sebelum membuat pelaburan dalam sesebuah organisasi. Hal ini kerana wujudnya hubungan antara tanggungjawab sosial dengan prestasi kewangan perniagaan. Memang ada bukti seperti melalui Dow Jones Group Sustainability Index, yang menunjukkan syarikat yang aktif dalam hal berkaitan tanggungjawab sosial lebih menonjol atau mengatasi pesaingnya yang tidak berbuat demikian.

Dari perspektif Islam, tanggungjawab sosial sektor korporat bukan sesuatu yang baru. Ia lama wujud dan menjadi panduan kepada mereka yang terbabit dalam perniagaan. Malah, matlamat pembangunan dalam Islam menggariskan beberapa perkara yang turut menjadi agenda utama keperluan tanggungjawab sosial sektor korporat semasa. Ia seperti pembangunan sumber manusia, penghasilan keluaran berguna, peningkatan mutu hidup dan pembangunan seimbang.

Apa yang membezakan tanggungjawab sosial sektor korporat Islam dengan korporat semasa adalah dari segi falsafah atau agenda yang tersirat di sebalik kegiatan yang dijalankan.

Jika sektor korporat semasa melakukan tanggungjawab sosial ini atas alasan untuk mengurangkan tekanan risiko hilang reputasi, kewibawaan, tekanan kegiatan kepenggunaan atau menghindari risiko dikenakan tindakan undang-undang, sektor korporat Islam melakukannya atas dasar keadilan dan prinsip berbuat kebaikan (ihsan).

Hanya dengan prinsip adil dan ihsan, sesebuah organisasi korporat itu dapat melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan sempurna. Adil di sini merujuk kepada keadilan organisasi kepada pengguna dan pembekal dalam penentuan harga.

Ia juga perlu berlaku adil kepada rakan kongsi atau pemegang saham agar tidak mengkhianati amanah yang diberikan untuk menjalankan perniagaan atau perusahaan itu. Di samping itu, ia perlu berlaku adil kepada pesaingnya dengan kata lain tidak berusaha untuk menyingkirkan pesaing tadi daripada industri untuk tujuan memonopoli pasaran.

Ihsan pula melakukan kebaikan, baik kepada manusia, haiwan mahupun alam sekitar. Dalam menjalankan kegiatan perniagaan, sektor korporat perlu juga memastikan produk atau perkhidmatan yang dikeluarkan memberi manfaat kepada masyarakat umum. Pada masa sama tidak memberi kesan buruk kepada persekitaran. Paling penting apa yang dijalankan tidak bertentangan dengan syariah.

Statistik

102139
Hari IniHari Ini4
SemalamSemalam165
Minggu IniMinggu Ini514
Bulan IniBulan Ini3938
KeseluruhanKeseluruhan102139

Hadis Pilihan

Dari 'Abdullah bin Buhainah r.a., katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah SAW mengimami kami solat. Setelah dua rakaat baginda langsung berdiri… Baca lagi

Riwayat Abdullah bin Buhainah r.a

MS ISO 9001:2008

"Memahami Islam Membina Peradaban"