Cetak

Kepenggunaan Mengikut Islam

Ditulis oleh Datuk Nik Mustapha Hj. Nik Hassan. Posted in Berita Harian

Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu dan kos sara hidup yang makin meningkat adalah baik untuk kita renungi kepada ajaran Islam berkaitan dengan amalan kepenggunaan. Usaha ini bukanlah sebagai reaksi kepada suasana ekonomi semasa, tetapi sebagai amalan yang sepatut dihayati oleh umat Islam.

Islam dalam mengaturkan proses kepenggunaan ke arah pencapaian matlamatnya, iaitu memberi kebajikan kepada pengguna dalam rangka melahirkan pengguna yang sempurna, mempunyai prinsip-prinsip tertentu terhadap dua faktor yang terlibat iaitu pengguna dan barangan dan perkhidmatan.

Prinsip-prinsip yang dianjurkan oleh Islam dalam mempengaruhi gelagat pengguna adalah melalui prinsip-prinsip umum yang berikut: Percaya kepada Alam Akhirat, konsep kejayaan dalam Islam dan konsep kekayaan dalam Islam.

Percaya kepada alam akhirat ada pertalian yang rapat dengan kepercayaan kepada Allah. Ia memberi pengertian bahawa manusia wujud di dunia untuk sementara waktu sahaja dan kewujudan manusia yang hakiki adalah di alam akhirat. Ini bererti, kehidupan manusia akan berterusan hingga di alam akhirat. Corak kehidupan sesorang di dunia akan mewarnakan kehidupannya kelak di alam akhirat, bahawa alam akhirat itu adalah penerusan hidup manusia selepas mati. Kepercayaan ini memberi kesan-kesan yang mendalam kepada gelagat pengguna.

Pertama, aktiviti kepenggunaan akan dipengaruhi di mana pengguna-pengguna akan menilai tindak tanduknya dari sudut kesan yang ia perolehi sekarang dan seterusnya yang akan diperolehi di alam akhirat. Oleh kerana itu pengguna Muslim akan cuba menjalankan aktiviti kepenggunaan barangan dan perkhidmatan untuk faedah (utiliti) di masa ini dan seterusnya faedah yang akan diperolehi di alam akhirat.

Kedua, alternatif-alternatif pilihan untuk membelanjakan pendapatan, seseorang pengguna akan bertambah dengan wujudnya keyakinan terhadap faedah yang akan dinikmati khususnya di alam akhirat hasil dari tindakannya. Umpamanya seorang pengguna membelanjakan sebahagian dari pendapatannya untuk menolong fakir miskin. Tindakannya ini tidak memberi faedah kepadanya di masa ini tetapi pembalasan Allah (faedah) di akhirat akan dikecapi. Justeru itu gelagat pengguna akan dipengaruhi oleh kepercayaan kepada alam akhirat.

Konsep kejayaan dalam Islam memberi pengertian yang sangat mendalam dan sudah tentu mempengaruhi aktiviti kepenggunaan umat Islam. Islam mentakrifkan kejayaan sebagai mendapat keredhaan dari Allah s.w.t. (consent of Allah). Ini berbeza dari erti kejayaan dalam kapitalisme (mengumpul kekayaan). Pengabdian yang mutlak kepada Allah merupakan kunci dalam mencapai keredhaan Illahi. Segala urusan kehidupan manusia termasuk kepenggunaan mestilah dalam konteks mencapai keredhaan Allah s.w.t. Peri pentingnya kecapaian objektif ini adalah untuk menyelamatkan manusia dari mala petaka dan masalah dalam kehidupannya. Pengabdian kepada Allah akan membentuk dan mengatur kehidupan manusia semoga bersesuaian dengan fitrah kejadiannya. Pengabdian yang mutlak bererti menghayati segala perintah Allah s.w.t. dalam segala tindak tanduk manusia. Manusia yang rasional pasti perlu kepada kejayaan di dunia dan seterusnya kehidupan di alam akhirat. Aktiviti kepenggunaan manusia sudah tentu akan diusahakan ke arah kejayaan ini, iaitu membelanjakan ke atas barangan dan perkhidmatan dalam hubungan mencapai keredhaan Allah s.w.t.

Konsep kekayaan mengikut Islam adalah faktor ketiga yang boleh mempengaruhi gelagat pengguna Islam. Islam melihat kekayaan sebagai pengurniaan dari Allah s.w.t. dan bukan sebagai perkara yang dimurkai Allah s.w.t. Kekayaan adalah alat sama ada ke arah mencapai keredhaan Allah s.w.t. atau untuk mengkufurkan Allah s.w.t. Dengan kefahaman dan keyakinan terhadap konsep kekayaan ini, seseorang pengguna akan membelanjakan kekayaan kurniaan Allah s.w.t. untuk mencapai kejayaan, iaitu mendapat keredhaan Allah s.w.t. Hasilnya seseorang pengguna akan membelanjakan kekayaannya terhadap barangan dan perkhidmatan semoga ia memperolehi restu Allah s.w.t. untuk kejayaan.

Natijah daripada keyakinan dan kefahaman mengenai ketiga-tiga prinsip di atas, gelagat seseorang pengguna mengikut ajaran Islam akan dipengaruhi oleh matlamat untuk memaksimakan kejayaan dalam kepenggunaan, iaitu proses kepenggunaan adalah untuk mencapai keredhaaan Allah s.w.t. Pada contohnya seseorang pengguna Muslim akan membelanjakan permintaan kepada barangan dan perkhidmatan dalam lingkungan yang direstui oleh Allah s.w.t. moga-moga faedah (utiliti) daripada kepenggunaannya itu akan meliputi dua jangka waktu iaitu faedah di alam dunia, dan seterusnya faedah di alam akhirat, atau tindakannya akan mendapat faedah khusus di alam akhirat sahaja.

Islam di samping menyediakan garis panduan yang dapat mempengaruhi gelagat pengguna, juga mempunyai peraturan tertentu terhadap barangan dan perkhidmatan yang akan dihasilkan dalam negara. Mengikut pandangan Islam, jenis barangan dan perkhidmatan untuk kepenggunaan mempunyai hubungan rapat dengan ajaran Islam. Barangan dan perkhidmatan yang disediakan semestinya dapat memberi manfaat kepada pengguna-pengguna semoga dalam proses kepenggunaan barangan dan perkhidmatan tersebut, keperibadian Islam dapat dilahirkan. Barangan dan perkhidmatan yang akan menjejaskan keperibadian pengguna dari segi kesihatan, nilai akhlak dan ajaran agama tidak diiktiraf sebagai barangan dan perkhidmatan, contohnya arak dan judi: barangan-barangan ini tidak dibenarkan ujud kepada masyarakat Islam.

Islam juga menyediakan garis panduan tentang pengeluaran barangan dan perkhidmatan dalam sesebuah negara. Jenis barangan dan perkhidmatan yang sekarang ini dihasilkan boleh dikategorikan sebagai keperluan asas (necessaries), keperluan untuk kesenangan (comforts), dan keperluan untuk kemewahan (Luxuries).

Keperluan asas adalah barangan dan perkhidmatan yang perlu untuk kehidupan seperti makanan, pakaian, perumahan, perubatan dan lain-lain.

Keperluan untuk kemewahan adalah barangan dan perkhidmatan di mana kepenggunannya akan menjejas kecekapan pengguna dan juga kecekapan peruntukan sumber-sumber (efficiency of resource allocation) dalam sesebuah negara, misalnya pembinaan rumah besar, kereta yang mahal seperti Rolls Royce, peralatan rumah yang terlalu mahal dan lain-lain.


Dalam negara Islam perhatian yang utama akan diberi kepada pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang menjadi keperluan asasi, diikuti dengan pengeluaran barangan kesenangan. Barangan mewah dianggap sebagai mambazir dan bertentangan dengan Islam. Pengeluaran baranga mewah akan menjejaskan kebajikan masyarakat kerana ia melibatkan banyak faktor pengeluaran dalam usaha yang membazir. Umpamanya dalam pembinaan rumah besar banyak faktor pengeluaran yang berharga diperlukan, walhal jikalau faktor pengeluaran ini disalurkan kepada pembinaan rumah murah, lebih ramai orang dapat menyelesaikan masalah perumahan mereka yang mana merupakan keperluan asas dalam kehidupan mereka.

Islam menganjurkan pengajaran kepada umatnya bahawa manusia merupakan khalifah (wakil Allah di dunia ini) dan "kepunyaan Allah lah kerajaan semesta langit dan bumi dan apa yang di antara keduanya." (Al Maidah: 17) Anjuran ini memberi pengertian yang nyata, bahawa barangan dan perkhidmatan yang dihasil semestinya dinikmati bersama, dan manusia bukan ampunya yang mutlak; ia adalah pengamanah yang ditugaskan oleh Allah dalam mengurus kehidupan bermasyarakat. Keadaan yang cuba membentuk kehidupan yang telalu terpisah dengan masyarakat umum seperti mengeluar dan mengguna barangan dan perkhidmatan mewah untuk segelintir kumpulan masyarakat adalah berlawanan dengan prinsip dan roh Islam.

Ajaran Islam berhubung dengan proses kepenggunaan adalah diasaskan kepada matlamat untuk mencapai kejayaan, iaitu mencapai keredhaan Allah. Segala tindakan manusia termasuk kepenggunaan sewajibnya di dalam lingkungan Islam. Oleh kerana proses pembentukan keperibadian Islam dapat diujudkan dalam masyarakat yang beramal dengan Islam, gelagat pengguna Islam akan dipengaruhi oleh tujuan mencapai keredhaan Illahi. Tambahan lagi barangan dan perkhidmatan yang dihasil dan ditawarkan oleh pengeluar adalah mengikut keutamaan dalam Islam. Keadaan ini akan dapat mewujudkan proses kepenggunaan yang sederhana; "Mereka apabila membelanjakan hartanya dengan tiada berlebihan dan tiada pula kikir, melainkan pertengahan antara keduanya." (Al Furqan: 67) dan pola (pattern) kepenggunaan yang seimbang di antara keadaan yang melarat dan membazir. Akhlak kegiatan ekonomi mengikut Islam adalah berhasrat untuk mengurangkan keperluan kebendaan yang melampaui dalam rangka membebaskan tenaga manusia ke arah pembentukan manusia yang berkerohanian tinggi. Pembentukan dalaman manusia dianggap lebih penting daripada pembentukan fisikal manusia dalam mencapai keredhaan Illahi. Islam dengan ini mengatur segala amalan manusia termasuk proses kepenggunaan untuk memberi kebahagian kebajikan yang tulen bersesuaian dengan fitrah, kehendak dan kejadian manusia.

Dengan menyakini dan beramal dengan anjuran Islam dalam amalan kepenggunaan, umat manusia akan lebih bahagia dan kurang tertekan dengan cabaran kos sara hidup yang makin meninggi. Suasana semasa sepatut membuka pintu hati manusia untuk berfikir sejenak dan mengambil langkah sesuai untuk menyelamat diri dan masyarakat dari kongkongan hidup hasil dari pembikinan manusia.

Statistik

96973
Hari IniHari Ini178
SemalamSemalam215
Minggu IniMinggu Ini823
Bulan IniBulan Ini4082
KeseluruhanKeseluruhan96973

Hadis Pilihan

Diriwayatkan dari Ibn 'Umar r.a.: nabi s.a.w pernah bersabda, "seandainya orang-orang mengetahui apa yang dikuketahui, maka tak seorang pun yang… Baca lagi

Riwayat Ibn 'Umar r.a

MS ISO 9001:2008

"Memahami Islam Membina Peradaban"