Cetak

Pengajaran dan Pembelajaran Sains Yang Menarik

Ditulis oleh Azrina Binti Sobian. Posted in Berita Harian

Di Malaysia, bidang sains merupakan satu bidang yang mendapat perhatian yang tinggi. Malah, bidang ini juga dianggap sebagai satu bidang yang penting untuk "mengekalkan pembangunan ekonomi, memperbaiki mutu hidup dan keselamatan negara" (Dasar Sains Negara). Oleh itu, pelbagai usaha telah dijalankan agar bidang sains diterima dan menjadi sebahagian yang penting dalam hidup masyarakat negara ini.

Namun malangnya, setelah sekian lama usaha dilakukan bagi mencapai hasrat di atas, kemajuan dan kejayaan yang dicapai dalam bidang sains di negara ini masih belum dapat dibanggakan. Malah, dalam banyak keadaan, timbul banyak salah faham terhadap bidang ini. Para pelajar malahan ibu bapa sendiri beranggapan bahawa bidang atau matapelajaran sains adalah ‘sukar'. Buktinya, laporan Kajian Kesedaran Awam terhadap Sains dan Teknologi (2004) menunjukkan bahawa 42.3% rakyat Malaysia berpendapat bahawa matapelajaran sains adalah satu mata pelajaran yang sukar.

Namun, tidak pula dinyatakan apakah bentuk kesukaran itu. Hasil pengamatan penulis, sukar di sini mungkin membawa maksud "sukar untuk lulus" atau mungkin "sukar untuk difahami". Hal ini telah menimbulkan ketakutan tanpa sebab terhadap bidang dan matapelajaran sains, terutamanya di kalangan pelajar Melayu.

Bentuk kesukaran itu wajar dibincangkan dengan lebih lanjut. Namun, perbincangan lanjut ini hanya akan menyentuh tentang matapelajaran sains sebagai satu matapelajaran yang "sukar untuk difahami". Persoalannya, kenapakah matapelajaran sains sukar difahami? Pada pandangan saya, jawapan mudah kepada persoalan ini adalah, matapelajaran sains dianggap sukar difahami kerana kelemahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajarannya. Bagi mengukuhkan kenyataan ini, saya ingin merujuk kembali kepada laporan Kajian Kesedaran Awam terhadap Sains dan Teknologi (2004) tadi. Kajian ini mendapati bahawa 32.4% penduduk Malaysia menganggap pengajaran sains dan teknologi adalah "terlalu akademik".

Dengan kenyataan yang disebutkan di atas maka wajarlah kita mengambil perhatian untuk memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran sains, terutamanya di peringkat sekolah. Ini kerana jika kaedah pengajaran dan pembelajaran di peringkat ini telah mematikan minat pelajar terhadap bidang sains maka kemungkinan besar minat itu akan terus terkubur. Mungkin atas sebab inilah ramai pelajar, terutamanya pelajar Melayu, kurang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains. Buktinya, kita boleh melihat kepada Laporan Petunjuk Sains dan Teknologi Malaysia (2004) yang menunjukkan bahawa di peringkat universiti, lebih ramai pelajar memasuki bidang sains kemasyarakatan dan kemanusiaan (social sciences dan humanities) berbanding bidang sains dan teknologi.

Persoalan seterusnya yang ingin dibawa di dalam makalah ini adalah, apakah kelemahan-kelemahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran sains sehingga gagal menarik minat pelajar terhadap bidang tersebut? Terdapat beberapa jawapan yang boleh digariskan di sini. Misalnya, kelemahan mungkin disebabkan oleh kekurangan kemudahan atau mungkin disebabkan oleh bahan/alat bantu mengajar yang tidak menarik. Selain itu kelemahan juga boleh dikaitkan dengan bahasa pengantar yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Kemungkinan besar penyampaian dan penerimaan ilmu tidak begitu lancar kerana kelemahan menguasai bahasa Inggeris di kalangan guru dan pelajar. Ketidaklancaran ini sememangnya boleh memberikan kesan kepada minat pelajar dalam bidang sains.

Kemungkinan yang lain adalah berkaitan dengan maklumbalas dalam kelas. Jika pelajar tidak dapat bermaklum-balas di dalam pembelajaran maka ini juga boleh menimbulkan rasa bosan. Kemungkinan terakhir adalah berkaitan dengan daya cipta guru dalam pengajaran. Kaedah pengajaran yang sama pada setiap kali kelas pastinya menimbulkan kebosanan.

Berdasarkan kemungkinan-kemungkinan ini maka adalah wajar satu ‘revolusi' dilakukan bagi mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran sains kini. Pada pandangan saya, penyampaian ilmu sains (malahan ilmu lainnya) akan menjadi lebih menarik jika wujudnya ‘interaksi' atau maklum balas yang pelbagai. Apa yang dimaksudkan di sini adalah, dalam pengajaran dan pembelajaran sains sewajarnya pelajar dibenarkan untuk berhubung (berinteraksi) dengan persekitarannya, dengan guru dan rakan-rakan sekelas. Lebih tinggi perhubungan itu adalah lebih baik.

Oleh itu, dalam pembelajaran sains, pelajar seharusnya tidak duduk di dalam kelas semata-mata. Mereka seharusnya digalakkan untuk meneroka persekitarannya. Misalnya, jika mempelajari tumbuh-tumbuhan, pelajar seharusnya diberi peluang untuk melihat, merasai dan mengkaji tumbuhan dalam alam persekitaran. Jika mempelajari tentang serangga pula, guru boleh membenarkan pelajar mencari serangga dari taman di persekitaran sekolah. Apa yang cuba disampaikan di sini adalah pembelajaran sains akan menjadi lebih menarik jika pelajar tidak hanya duduk di dalam kelas.

Selain itu, pelajar-pelajar sepatutnya diberikan banyak tugasan secara berkumpulan. Mungkin guru boleh menetapkan satu-satu tugasan, misalnya membuat kincir angin daripada botol plastik atau meminta pelajar membuat model kawasan perumahan mereka. Apabila tugasan ini telah selesai maka para pelajar diminta membentangkan hasil tugasan itu di hadapan kelas. Tugasan secara berkumpulan ini bukan sahaja baik untuk menggalakkan daya cipta pelajar tetapi juga baik untuk pergaulan mereka dan boleh membina keyakinan diri. Oleh itu, penekanan terhadap perhubungan atau maklumbalas dalam pembelajaran sains adalah sangat penting.

K.T. Compton (seorang ahli fizik yang terkenal) menyatakan bahawa sains merupakan "sikap ingin tahu, pemerhatian dan penakulan mengenai dunia ini". Oleh itu, bagaimanakah kita hendak membentuk "sikap ingin tahu, pemerhatian dan penakulan" ini jika pelajar tidak dibenarkan untuk merasai alam persekitarannya. Perhubungan dengan alam persekitaran akan merangsang semua deria pelajar dan apabila ini berlaku pembelajaran sains akan menjadi lebih menarik. Apabila pembelajaran menjadi menarik maka minat pelajar terhadap bidang ini akan meningkat.

Oleh, itu amat penting bagi kita melihat semula kaedah pengajaran dan pembelajaran sains masakini. Kelemahannya wajar diperbaiki agar tidak mematikan minat pelajar terhadap bidang sains itu sendiri. Sudah kerap kali perkara ini disebut namun sehingga kini masih belum nampak adanya perubahan yang besar dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran sains. Memang benar terdapat beberapa perubahan telah dilakukan, misalnya dengan menggunakan teknologi maklumat dalam pembelajaran. Namun, kejayaan kaedah ini untuk meningkatkan minat terhadap sains masih diragukan. Jika pelajar hanya belajar melalui teknologi maklumat tanpa wujudnya perhubungan dengan alam maka minat pelajar terhadap bidang sains tetap akan mati akhirnya.

Untuk membentuk suasana pembelajaran sains yang menarik, kreativiti guru sangat penting. Dalam masa yang sama, usaha guru untuk membina kaedah pengajaran yang menarik haruslah mendapat sokongan. Selain itu, dalam membentuk minat terhadap bidang sains juga, ibu bapa punya peranannya. Apa yang diajar di sekolah tidak akan dapat dikembangkan jika tidak mendapat sokongan ibu bapa. Ibu bapa sendiri boleh membawa anak-anak mereka meneroka alam persekitaran. Dengan ini, ibu bapa telah membentuk sikap suka meneroka yang sememangnya sangat penting di dalam bidang sains.

Sebagai penutup, penulis ingin berkongsi pengalaman menonton sebuah filem yang menceritakan dua orang guru yang mempunyai pendekatan mengajar yang berbeza. Buat masa ini, penulis menamakan mereka Guru A dan Guru B. Guru A telah dipilih menjadi guru paling disenangi di sekolah kerana pelajar sangat suka pada kaedah pengajarannya. Pada setiap permulaan kelas, beliau akan bertanya kepada para pelajar "Apakah yang kamu hendak saya ajarkan hari ini?". Seterusnya, kaedah pengajaran guru A ini lebih banyak di luar berbanding di dalam kelas. Kesannya, pelajar berpeluang untuk menikmati kesan perhubungan (interaksi) pelbagai seperti yang disebutkan tadi iaitu perhubungan antara guru dengan pelajar, pelajar dengan pelajar dan akhirnya pelajar dengan persekitarannya.

Manakala, guru B pula mempunyai pendekatan yang berbeza. Pada setiap hari beliau memulakan kelasnya dengan menyebut perkara berbeza iaitu "Pada hari ini saya akan mengajar kamu tentang ...". Permulaan yang sebegini bukan sahaja membosankan tetapi membuatkan pelajar hilang tumpuan dan mulai bercakap sesama mereka, malah ada juga yang tertidur. Guru B juga lebih suka belajar di dalam kelas dan lebih banyak duduk di meja guru. Oleh itu, guru B ini tidak digemari dan semestinya tidak pernah dipilih untuk menjadi guru paling disenangi.

Kesimpulan yang dapat dicerap dari cerita ini adalah, dalam kita mendidik anak-anak, kita perlu mendengar suara hati mereka. Dengan kata lain, memahami fitrah mereka. Jiwa anak-anak terutama anak kecil sememangnya suka meneroka persekitaran mereka. Oleh itu, jika kaedah pengajaran dan pembelajaran kini menghalang dan seolah-olah tidak mengiktiraf jiwa atau fitrah anak-anak ini maka kegagalan demi kegagalan akan kita temui. Maka, fikir-fikirkanlah!

Statistik

70128
Hari IniHari Ini172
SemalamSemalam170
Minggu IniMinggu Ini701
Bulan IniBulan Ini3686
KeseluruhanKeseluruhan70128

Hadis Pilihan

Diriwayatkan dari Anas r.a.: Rasulullah Saw. bersabda, "Orang-orang dianggap sedang mengerjakan solat sepanjang mereka menunggu (untuk mengerjakan solat."[1:574-S.A.] Baca lagi

Riwayat Anas r.a.

Waktu Solat Kuala Lumpur

23 Jamadil Akhir 1435

Imsak
7:30 am
Subuh
7:30 am
Syuruk
7:30 am
Zuhur
7:30 am
Asar
7:30 am
Maghrib
7:30 am
Isyak
7:30 am

MS ISO 9001:2008

"Memahami Islam Membina Peradaban"