Cetak

Perpaduan Masyarakat Majmuk Melalui Kepimpinan Budaya Teras dan Peranan Dialog

Ditulis oleh Prof. Datin Dr. Azizan Baharuddin. Posted in Berita Harian

Budaya dialog antara kaum/etnik/budaya/peradaban amat perlu disuburkan dalam konteks negara kita untuk memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional yang merupakan kunci kelestarian kepimpinan kelompok dan budaya teras serta kelangsungan identiti negara.

Walaupun secara umumnya, kita bertuah di Malaysia kerana tidak mengalami konflik perkauman mahupun konflik keagamaan yang membimbangkan, namun beberapa peristiwa yang boleh dianggap serius seperti ‘konflik kampung Medan' mengingatkan kita bahawa mendasari hubungan baik antara budaya adalah juga isu-isu keadilan sosial dan ekonomi. Di dalam konteks ini misalnya amat penting isu kepimpinan kelompok/budaya teras diberi perhatian. Di dalam konteks ini kita perlu memperdalamkan apresiasi kita tentang soal ‘peradaban'; apakah dialog peradaban sebenarnya dan apakah faktor-faktor yang berkaitan dengan kegagalan mahupun kejayaan sesebuah peradaban; apakah situasi dialog di Malaysia serta di persada global dan akhirnya bagaimanakah dialog berperanan dalam proses pemartabatan bangsa dan umat melalui penghayatan agama.

Kenapakah ilmu tentang ketamadunanan penting hari ini dan apakah faktor-faktor yang boleh membantu ke arah pembinaan dan kejayaannya dan juga sebaliknya apakah perkara-perkara yang boleh membawa kepada keruntuhannya? Ilmu tentang ketamadunan amat relevan dewasa ini kerana manusia sedang berada di persimpangan jalan. Kejayaan fizikal yang begitu tinggi melalui sains dan teknologi malangnya telah diiringi juga oleh falsafah dan pandangan semesta yang melihat hanya yang material itu wujud, penting dan beroperasi di dalam kehidupan. Secara mudah dapat digambarkan bahawa gerakan Enlightment (yang melihat akal manusia semata-mata sudah cukup sebagai panduan hidupnya) di barat dan falsafah scientisme telah mempengaruhi sistem-sistem pemikiran moden sehingga apa yang dilihat hari ini adalah peminggiran nilai-nilai murni yang menjamin hubungan baik yang diperlukan antara manusia sesama manusia, manusia dan persekitarannya yang pula banyak bergantung kepada hubungan manusia dan Tuhannya, di peringkat yang paling asas.

Justeru, walaupun kelahiran sesebuah tamadun itu banyak bergantung kepada kedudukannya yang strategik dari segi perolehan sumber-sumber semulajadi, dan lokasi geografi (misalnya kemunculan tamadun Cina di lembah Huang-Ho dan Yang Tsi, tamadun India di Lembah Ganges dan Brahmaputra, tamadun Mesopotonia di Lembah Tigris dan Euphrates, tamadun Mesir di Lembah Nil dan Tamadun Melaka di pinggiran Selat Melaka); kemunculan sesebuah tamadun banyak berkait dengan rangsangan keagamaan dan kerohanian.

Ajaran agama dan amalan rohani sebenarnya mendorong manusia supaya menghayati nilai-nilai kehidupan yang tulus dan suci yang menghasilkan kehiduapn yang bertamadun.

Kajian menunjukkan bahawa hanya apabila sesebuah masyarakat menghayati kehidupan beragama ia akan dapat membangunkan kehidupan seimbang yang merupakan resipi kepada kesempurnaan kemanusiaan dan keharmonian serta ketinggian budaya. Kemunculan tamadun Islam yang telah mencapai tahap ‘golden age'nya (8-14 Masehi) itu misalnya adalah dipengaruhi oleh ransangan nilai dan penghayatan cara hidup Islam bersumberkan risalah wahyu yang digembelingkan dengan penguasaan ilmu keduniaan yang mantap.

Dengan berasaskan prinsip-prinsip kespiritualan yang jitu tersebut, sesebuah masyarakat akan mampu melahirkan sebuah tamadun atau peradaban oleh kerana penghayatan moral dan akhlak yang terpuji yang termasuk di dalamnya kecintaan kepda ilmu, ketekunan, kerajinan, semangat berdisiplin dan kekreatifan. Nilai-nilai murni yang wujud pada pemimpin pula sudah pasti menggalakkan kepimpinan yang berhemah, bertanggungjawab dan jujur yang mendorong rakyatnya berganding bahu membangunkan negara atau tamadun. Penghayatan nilai-nilai murni telah ditekankan oleh tokoh-tokoh utama di dalam pelbagai tamadun seperti Lao Tse, Kung Fu Tze dalam tamadun Cina, Kautilya dan Sambara dalam tamadun India, serta al-Farabi, al-Mawardi, al-Ghazali dan Ibn Khaldun dalam tamadun Islam selain daripada tamadun ini bersumberkan al-Quran dan Hadith serta model sebenar diri dan perbuatan Rasulullah SAW.

Sebaliknya para sarjana sependapat bahawa kemerosotan sesebuah tamadun bukanlah disebabkan oleh hukum sejarah semata-mata. Kemerosotan, apatah lagi kejatuhan sesebuah tamadun boleh dielakkan sekiranya faktor-faktor berikut (yang kini dapat kita saksikan berulang lagi) boleh dibendung atau dielakkan di mana yang boleh:

•a) Ketidakadilan yang membiarkan jurang perbezaan yang begitu ketara di antara golongan kaya dan miskin seperti yang berlaku di penghujung tamadun Rom kurun ke-4 Masehi;

•b) Penindasan dan kezaliman berleluasa; sistem ketatanegaraan dan perundangan tidak dihormati dan dicabuli;

•c) Keruntuhan moral dan nilai di semua peringkat di dalam masyarakat yang menandakan musnahnya penghayatan budi pekerti yang murni dan mulia;

•d) Sikap tertutup dan tidak mahu belajar dari orang lain dan tidak mahu menerima perubahan terutamanya dari segi perubahan teknologi mahupun struktur politk, ekonomi dan sosial. Sikap tertutup ini boleh mencacatkan daya kreativiti dan inovasi sesebuah masyarakat tersebut;

•e) Malapetaka atau bencana yang mengakibatkan kerosakan secara besar-besaran yang merupakan satu faktor yang di luar kawalan manusia.

Dialog ialah sebuah komunikasi dua hala antara individu (pihak) yang mempunyai pegangan atau pandangan yang berbeza mengenai subjek atau perkara yang tertentu, dengan tujuan ingin mencapai kebenaran yang bertambah lagi daripada pihak yang satu lagi. Mungkin takrifan ini kelihatan mudah dan tidak penting. Anggapan ini tidak tepat kerana di dalam banyak situasi yang kononnya merupakan suatu dialog, dialog sebenarnya tidak berlaku kerana ada pihak yang menganggap dirinya sudah pun mempunyai penyelesaian mahupun kebenaran mutlak mengenai sesuatu perkara dan apa yang dia inginkan daripada rakan dialognya hanyalah penerimaan semata-mata.

Hari ini pakar bidang dialog menggelarkan zaman ini sebagai Zaman Dialog (The Age of Dialogue) yang menggantikan Zaman Monolog yang telah pun berlalu. Pertukaran pemikiran ini berlaku lantaran berlakunya anjakan paradigma yang diakibatkan oleh perkembangan teknologi informasi dan komunikasi yang begitu pesat. Dalam konteks Barat yang zaman kepenjajahannya terbiasa dengan pandangan yang merendahkan tamadun-tamadun lain, dialog telah menjadi satu keperluan baru akibat kesedaran yang muncul mengenai betapa pelbagainya masyarakat manusia di dunia ini dari segi geografi, budaya dan agamanya.

Dari perspektif lain pula, contohnya dari sudut pandangan kita di dunia/Kepulauan Melayu ini, dialog telah berlaku sejak awal lagi hasil pertembungan bangsa Melayu setempat dengan yang lain melalui aktiviti perdagangan yang membawa bersamanya proses intelektualisasi dan keagamaan, untuk sekian lama. Oleh itu sepatutnya kemahiran berdialog yang baik dan berhemah telah sebati dengan masyarakat kita. Namun dalam konteks dialog dihargai secara sedar di dalam masyarakat hari ini ia bukanlah merupakan sesuatu yang menjadi keutamaan sehinggalah dua dekad kebelakangan ini.

Untuk dialog menjadi mekanisme perpaduan yang berkesan, di antara lain kita memerlukan pendedahan ilmiah (sejarah, sistem kehidupan dan lain-lain) untuk memungkinkan kita membuat penilaian yang tepat mengenai sifat dan tamadun masing-masing. Penilaian yang tepat ini bukan hanya akan membantu kita meneruskan perasaan muhibbah antara budaya/tamadun sekali pun di masa yang sama kita mengakui wujud perbezaan ketara antara kita, tetapi juga dapat membantu memampankan konsep dan realiti kedudukan Melayu-Islam sebagai contoh. Dalam keadaan dunia dilanda oleh unsur-unsur yang mengikis tradisi, adalah tanggungjawab orang Melayu Islam misalnya untuk memberi kesedaran dan assurance/pengesahan (kepada yang bukan Melayu) tentang betapa idea "kedudukan" mereka tersebut adalah sesuatu yang positif bagi semua pihak. Di sinilah peri pentingnya dialog melalui mana kita boleh membincangkan perkara-perkara yang boleh atau perlu disepakati.

Kepimpinan Budaya Teras juga perlu dihayati bukan melalui pendekatan yang apologetik mahupun defensif tetapi melalui pendekatan yang fitrah dan berasaskan fakta sejarah, realiti kehidupan, keadaan dan sifat negara kita yang sebenarnya. Melalui dialog, boleh manfaatkan keadaan di mana tamadun-tamadun yang diwarisi rakyat Malaysia mempunyai persamaan yang penting dari segi adab dan kehidupan beradab, manusia dan kemanusiaan, kepentingan alam sekitar dan keperluan hidup berharmoni dengannya.

Generasi hari ini mungkin telah banyak melupai pelbagai hikmah dan peninggalan tamadun-tamadun yang diwarisi sehingga kadangkala kita merasakan kehidupan kita sudah kehilangan paksi dan arah tuju. Oleh kerana itu cara mengembalikan atau mencungkil semula khazanah tamadun ini perlulah dipergiatkan dan dialog adalah mekanisme utama proses tersebut.

 

Statistik

97108
Hari IniHari Ini94
SemalamSemalam219
Minggu IniMinggu Ini958
Bulan IniBulan Ini4217
KeseluruhanKeseluruhan97108

Hadis Pilihan

Diriwayatkan dari Aisyah r.a.: Aku tidak pernah melihat seseorang yang begitu terlihat sengsara kerana sakit selain Rasulullah s.a.w (7:549-S.A) Baca lagi

Riwayat Aisyah r.a.

MS ISO 9001:2008

"Memahami Islam Membina Peradaban"