Cetak

Muhasabah Sesudah Ramadhan

Ditulis oleh Abu Bakar Bin Yang. Posted in Utusan Malaysia

Begitulah lumrah alam, yang datang pasti akan pergi. Tanpa disedari Ramadhan yang diberkahi dengan seribu macam keistimewaan telahpun meninggalkan kita. Mungkinkah kita diberi peluang lagi untuk bertemu dengan Ramadhan akan datang suatu yang belum pasti. Tetapi apa yang pastinya Ramadhan yang baru berlalu tentunya meninggalkan bekas untuk dikenang. Sama ada peninggalan bekas itu berkesan kepada diri yang berpuasa, hanya kita yang dapat menjawab. Walau apapun kesan yang ditinggalkan, kita telah diingatkan oleh satu peristiwa yang telah berlaku antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan malaikat Jibril a.s. yang cukup baik untuk kita renungkan Suatu ketika Nabi sedang menaiki anak-anak tangga mimbar masjid, maka Baginda telah mengaminkan doa-doa yang dibacakan oleh malaikat Jibril. Salah satu antara doa-doa Jibril a.s. itu ialah "Barangsiapa yang memasuki bulan Ramadhan, namun setelah keluar daripadanya dengan tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT., kemudian mati, maka ia dijauhkan daripada rahmatNya dan dimasukkan ke dalam neraka" Jibril berkata lagi, "Ucapkan "Amin". Maka kuucapkan "Amin"

Jika direnung, peritiwa ini sebenarnya menjadi amaran yang cukup menggerunkan kita semua. Ianya menimbulkan persoalan sejauh manakah kita telah mengisi Ramadhan ini dengan ibadah yang cukup untuk menagih keampunan Allah? Juga adakah kita berhasil untuk mendapat nilai taqwa sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah dalam al Quran? Persoalan-persoalan ini hanya mampu dijawab oleh kita sendiri yang terlebih mengetahui usaha dan nilai puasa yang kita lakukan. Beruntung dan bergembiralah mereka yang telah bersusah payah beramal untuk meraih keampunan dan keredhaan Allah, serta berdukacita dan rugilah mereka yang lalai dan leka sepanjang Ramadhan. Jika Ramadhan yang berlalu pergi itu tidak mampu memperbaiki dan meningkatkan kebaikan diri kita, maka pada bulan dan ketika manakah lagi yang boleh menjadi pendorong yang dapat mengubah diri kita ini?

Pun begitu, perlu diingat bahawa jika ibadah itu hanya di bulan Ramadhan, dengan anggapan ibadah itu seperti bermusim, sama seperti musim cuti sekolah, atau musim buah-buahan, atau musim pilihanraya maka rugilah juga kesudahannya. Sebenarnya tidak sukar untuk melihat tanda-tanda amal kebajikan kita sepanjang Ramadhan diterima atau ditolak. Jika selepas Ramadhan, taat dan patuh kita kepada Allah berkekalan, malah mampu mengubah diri menjadi manusia yang lebih baik maka itulah sebesar-besar nikmat kurniaan Allah. Tetapi jika apa yang berlaku adalah sebaliknya, maka hati-hatilah, kerana dikhuatiri kita termasuk dalam golongan yang diaminkan doa oleh Rasullullah dan dihumbankan ke dalam api neraka.

Jika di bulan Ramadhan kita mampu hadir ke masjid setiap hari untuk solat fardhu dan solat sunat Tarawih, tetapi selepas Ramadhan kita hilang kemampuan untuk ke masjid walaupun untuk bersolat fardhu. Jika di bulan Ramadan kita mengekang lidah dari berkata-kata yang dusta dan sia-sia tetapi membasahi lidah dengan membaca al-Quran dan berzikir, sebaliknya selepas Ramadhan lidah itulah juga yang memaki-hamun, mengadu domba, mengupat dan menyebar fitnah, dan mata serta telinga kita diisi sepenuhnya dengan hal-hal yang membawa kemurkaan Allah. Apakah hasil dan kesan yang sebegini memungkinkan ibadah kita sepanjang Ramadhan diterima Allah. Mudah-mudahan Allah melindungi kita dari termasuk dalam golongan yang sedemikian.

Sesungguhnya Ramadhan itu umpama satu madrasah pendidikan yang memupuk dan menghasilkan benih taqwa. Dari benih ini akan tumbuh pula pohon taqwa yang sangat diperlukan dalam mengharungi kehidupan ini. Dan dari pohon taqwa inilah lahirnya ibadah dan akhlak mulia yang menjadi penghias diri seorang Muslim. Juga dari rimbunan taqwa yang subur inilah juga lahirnya kekuatan untuk menangkis segala hasutan dan pujuk-rayu yang boleh membinasakan seorang Muslim.

Jika Ramadhan yang dilalui tidak berupaya untuk melahirkan walau sekelumit benih taqwa, maka apakah nasib yang bakal ditempoh sepanjang tahun oleh seorang Muslim. Rupa bentuk kehidupan yang bagaimanakah bakal dibina tanpa diasaskan kepada taqwa melainkan hidup yang sentiasa mengundang padah dan malapetaka. Di mana padahnya, adalah pada iman dan agama Islam, dan binasanya pula adalah pada diri dan masa depan. Yang demikian itu bukan sifat orang Muslim, orang Mukmin dan orang yang bertaqwa. Kerana sesungguhnya hanya yang bertaqwa itu ialah yang benar-benar di atas petunjuk Allah dan benar-benar beroleh kejayaan.

Seiringan dengan berlalunya Ramadhan, kita akan meraikan Aidilfitri. Kita raikan Aidilfitri dengan takbir, tasbih dan tahmid. Tetapi pernahkah kita bertanya, apakah sebenarnya yang kita raikan? Sesungguhnya, yang kita raikan pada hakikatnya ialah diri kita sendiri sebagai seorang Muslim. Kita raikan anugerah terbesar pemberian Allah iaitu Din, agama yang telah memuliakan kita, memberi harga diri kepada kita, dan yang telah memelihara martabat kemanusiaan kita. Agama Islam itu adalah agama yang telah disempurnakan oleh Allah, agama yang menjadi penyempurna nikmat Allah kepada kita, dan yang telah diredhaiNya sebagai jalan hidup. Maka pada saat kita menyambut dan meraikan Aidilfitri, pujilah Allah di atas nikmat ini.

Menerusi agama Islamlah kita terpelihara daripada menjadi hamba kepada dunia, nafsu dan harta benda. Dengan agama Islam juga kita bebas merdeka daripada menjadi hamba kepada sesama manusia. Agama itu jugalah yang menjadikan kita berdiri mulia, walaupun di saat umat Islam dihina, ditindas dan dipijak hampir di setiap inci dunia ini.

Bahkan agama itu juga menjadikan kita gigih dan cekal untuk terus bertahan walaupun diasak dari segenap sudut. Ditindas hak asasi kita sebagai makhluk yang bernama manusia, ditindas pemikiran, ditindas semangat perjuangan, ditindas ekonomi, ditindas kemasyarakatan, ditindas siasah dan ditindas pada setiap sudut kehidupan yang ada. Tetapi pernahkan kita merasakan agama Islam yang kita genggam erat ini semakin rapuh dan terkulai layu? Tentu tidak sama sekali. Bahkan tekanan itulah yang menjadikan kita semakin yakin bahawa ianya adalah ujian untuk orang yang mempunyai benih-benih taqwa dan juga sunnatullah yang menjanjikan kemenangan mutlak bagi mereka yang berjaya menempuhnya. Kerana kita yang dianugerahkan benih taqwa tidak akan bertolak-ansur dengan aqidah agama Islam, malah perintah Allah kita junjung dan julang dengan lebih tinggi dan bersemangat, dan menjadi lebih tegas dan berani memuliakan agama tersebut. Semuanya ini adalah kerana kita sedar bahawa di saat meraikan Aidilfitri adalah saat yang sesuai untuk diisi dengan kefahaman yang mantap dan semangat juang yang tinggi. Iaitu semangat mahu melihat kalimah Allah itu ditinggikan mengatasi segala yang lain.

Meraikan Aidilfitri bukan saatnya untuk kita bermegah dengan pencapaian keduniaan dan kebendaan. Kerana pencapaian kebendaan semata-mata dengan tidak diasaskan kepada taqwa tidak akan memberikan sebarang jaminan keselamatan sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Sangat penting untuk kita mengambil iktibar daripada peristiwa kejatuhan Baghdad di zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah. Bagaimana pada tahun berkenaan, umat Islam telah berada di kemuncak kelalaian dan kecuaian terhadap perintah Allah SWT. Bahkan pada tahun berkenaan juga umat Islam di Baghdad terlupa untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri lantas mengqadha'nya selepas Maghrib. Maka wajar di saat itu Allah timpakan kebinasaan kepada mereka walaupun pada masa itu Baghdad adalah qiblat tamadun dan ilmu pengetahuan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pengajaran bagi mereka yang mahu menggunakan akal.

Statistik

83976
Hari IniHari Ini41
SemalamSemalam98
Minggu IniMinggu Ini419
Bulan IniBulan Ini41
KeseluruhanKeseluruhan83976

Hadis Pilihan

Diriwayatkan dari 'Aisyah r.a.: Setiap kali akan melakukan perjalanan, Nabi s.a.w akan mengundi isteri-isterinya yang akan menyertainya. Nabi s.a.w menggilir… Baca lagi

Riwayat 'Aisyah r.a

MS ISO 9001:2008

"Memahami Islam Membina Peradaban"