Cetak

Puasa Dan Jiwa Merdeka

Ditulis oleh Mastura binti Mohd Zain. Posted in Utusan Malaysia

Bulan Ogos sering dikaitkan dengan tarikh kemerdekaan negara. 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat negara kita mencapai kemerdekaan. Kita mengingati dan menghargai perjuangan pahlawan di masa lalu. Tanpa pengorbanan mereka, tidak mungkin negara dapat mencapai kemerdekaan.

Walau bagaimanapun jiwa yang merdeka bukan saja bebas daripada kongkongan kuasa penjajah tetapi juga bebas dari sebarang penjajahan bentuk baru. Setakat bebas dari penjajahan secara fizikal tetapi kehidupan masih terbelenggu dengan corak pemikiran Barat tidak dianggap merdeka dengan erti kata sebenar-benarnya.

Budaya Barat yang negatif, cara berfikir yang tidak berlandaskan wahyu, hiburan yang melampau, pakaian yang menjolok mata dan lain-lain adalah penjajahan dalam bentuk baru. Jangan dibiarkan sejarah penjajahan berulang kembali kerana pemahaman sempit kita tentang erti kemerdekaan.

Mereka yang berjiwa merdeka tidak mudah terikut-ikut dengan budaya orang lain yang kononnya dianggap moden. Bagi orang Islam merdeka bukan setakat bebas dari penjajah, tetapi juga tidak cepat meniru budaya yang bukan berasal dari agama Islam.

Bulan puasa yang sedang umat Islam jalani ini merupakan masa yang sangat sesuai untuk menguatkan jiwa. Dari segi bahasa puasa ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan dan minum. Dari segi istilah syaraknya pula, puasa ialah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa.

Di antara hikmah dan faedah puasa ialah ia menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah, Allah mengkehendaki semua hambanya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ketaatan dan taqarrub kepadaNya.

Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat-sifat keras hati dan keterlaluan. Puasa juga untuk membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin.

Dalam Surah al-Baqarah, ayat 183 Allah berfirman maksudnya, "Wahai orang-orang yang beriman kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa".

Mengikut Sayyid Qutb ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredhaanNya. Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati.

Pada bulan Ramadhan umat Islam dianjurkan berebut-rebut mengejar pahala. Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim maksudnya, "Apabila datang Ramadhan nescaya dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan".

Dalam Hadith lain riwayat Ahmad, al-Bukhari, al-Nasa'i dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah maksudnya: "Setiap amalan anak Adam digandakan, satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda hingga sampai 700 kali ganda mengikut kehendak Allah; firman Allah s.w.t: ‘Kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya, dia meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Aku. Dalam hadith lain riwayat Syaikhan dan al-Nasa'i maksudnya, "bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbukanya dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi".

Oleh itu kelebihan dan keistimewaan ibadah berpuasa mampu membentuk peribadi seseorang menjadi lebih sabar, kuat dan kental menghadapi cabaran dan ujian hidup. Sifat-sifat rohani yang kental inilah yang diperlukan untuk mendapatkan jiwa yang merdeka.

Perjuangan bagi memiliki jiwa merdeka ini harus berterusan generasi ke generasi kerana tidak ada gunanya merdeka jika jiwa masih terjajah dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan agama. Jangan kita biarkan sejarah penjajahan berulang kembali dalam pelbagai bentuk.

Umat Islam masih jauh ketinggalan berbanding umat yang lain. Mereka seringkali dianggap mundur, miskin, lemah, kurang berdaya saing dan lain-lain.
Pada peringkat antarabangsa pula umat Islam dilabel sebagai pengganas dan ramai dihina dan ditindas di luar negara.

Maka gunakanlah peluang madrasah Ramadhan ini bagi menyuburkan sifat-sifat rohani yang kental dan mempunyai daya ketahanan diri agar umat Islam memiliki jiwa yang merdeka dan tidak mudah dijajah sewenang-wenangnya.

Statistik

86821
Hari IniHari Ini108
SemalamSemalam150
Minggu IniMinggu Ini608
Bulan IniBulan Ini2886
KeseluruhanKeseluruhan86821

Hadis Pilihan

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda : "Apabila seorang suami memanggil isterinya ke ranjang, tetapi tidak diperkenankan oleh… Baca lagi

Riwayat Abu Hurairah r.a

MS ISO 9001:2008

"Memahami Islam Membina Peradaban"