Chairman’s Message

Perutusan Sambutan Maulidur Rasul 1442H oleh YABhg. Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 12 Rabiulawal 1442 Hijrah bersamaan 29 Oktober 2020

______________________________________________________________

Assalamu ‘alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala dengan limpah kurnia dan rahmatNya, kita dapat menyambut satu lagi peristiwa penting di dalam taqwim Islam iaitu sambutan Maulidur Rasul. Bulan Rabiulawal, adalah bulan bagi umat Islam memperingati dan memuliakan kelahiran junjungan besar baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi Wasallam. Marilah kita semarakkan sambutan itu dengan berbanyak-banyak berselawat kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi Wasallam

  1. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman:

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut Allah” (surah al-Ahzaab 33:21).

 Tujuan maulid diadakan adalah untuk memuliakan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi Wasallam sebagai utusan daripada Allah Subhanahu Wata’ala kepada umat Islam dan manusia pada masa kini.  Oleh itu sambutan Maulid al-Rasul hendaklah di isi, antaranya, dengan membaca Al-Quran, mengadakan tazkirah dan ceramah, mempelajari riwayat hidup baginda dan sirahNya, bersedekah, dan melakukan perbuatan-perbuatan baik yang lain.

  1. Hakikatnya, umat Islam pada hari ini hendaklah berpegang teguh kepada seluruh seruan dan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam untuk menyelamatkan dunia dan umat Islam yang sedang dihimpit oleh pelbagai kezaliman, salah tadbir, pecah amanah, keruntuhan akhlak, dan kerosakan alam, akibat perbuatan manusia yang jauh dari hidayah Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wata’ala mengumpulkan akhlak-akhlak yang mulia bagi Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam dalam firmanNya:

Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah daripada orang yang jahil” [surah al-A’raf 7:199]. Rasuullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam sentiasa mengingatkan umat Islam untuk, antara lain, memegang amanah.  Baginda bersabda (Riwayat Ahmad):

Jika kalian menjamin enam perkara untukku, nescaya aku akan menjamin syurga untuk kalian: Jika kalian diberi kepercayaan untuk memegang amanah maka laksanakanlah, tepatilah janji apabila kamu berjanji, jujurlah dalam berkata-kata, jagalah kemaluan kalian, palingkanlah pandanganmu dan tahanlah tangan kalian”.

  1. Dalam konteks kehidupan masyarakat yang berbilang agama, bangsa dan pelbagai kabilah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sentiasa menunjukkan keperibadian mulia sebagai seorang pemimpin yang memberikan contoh teladan, menjamin kerukunan dan keharmonian hubungan kaum dan agama. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menjadikan tali persahabatan dan ukhuwwah Islamiyyah sejak mula menegakkan negara Islam Madinah dengan sistem mu’akhah (persaudaraan) dan di letakkan dalam Piagam Madinah.

 

  1. Bertepatan dengan tema Maulidur Rasul pada tahun ini, “Ummah Rabbani Negara Harmoni”, maka, marilah kita mempertahankan kesucian agama Islam, dan menjaga keharmonian dan kesefahaman antara agama. Mengekalkan keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum, adalah tanggungjawab kita bersama. Sejarah telah membuktikan kelahiran umat Islam yang bijak, dan dapat mencari titik persamaan dan mengurangkan jurang perbezaan sehingga dapat membina perpaduan yang mapan.

 

  1. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1442H kepada seluruh umat Islam.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.