Articles
Islam Hadhari perkukuh Rukun Negara, Wawasan 2020
Suzalie B. Mohamad
Pegawai Penyelidik

05/05/2005 | Berita Harian

DISIPLIN membentuk minda beretika dan beradab dalam jiwa seseorang. Kepatuhan pada disiplin akan membentuk etika yang memberi panduan atau kaedah untuk bertindak di atas landasan kebenaran.

Kehidupan sosial tertakluk kepada dua perkara iaitu kawalan diri luaran dan dalaman. Kita tertakluk kepada undang-undang bertulis sebagai kawalan diri luaran. Sebagai kawalan diri dari sudut dalaman, kita bergantung pada etika.

Manusia bukan saja memerlukan undang-undang sebagai kawalan luaran untuk hidup lebih aman, malah etika menyumbang kepada aspek pelaksanaan undang-undang itu sendiri.

Hubung kait manusia dengan negara adalah seperti kuku dengan isi. Sebuah negara memerlukan rakyat, persempadanan, kerajaan dan asas rujukan. Komponen paling penting dalam sesebuah negara adalah rakyat. Ia sebagai entiti yang mampu merealisasikan apa yang negara perlu laksanakan. Rakyat yang menentukan kerajaan dalam persempadanan negara. Rakyat jugalah yang memerlukan asas rujukan (etika dan moral) sebagai landasan kebenaran.

Asas rujukan di sini merujuk kepada etika dan moral, yang hanya boleh diperoleh melalui agama. Oleh itu, didikan agama memainkan peranan penting untuk kesejahteraan hidup manusia.

Firman Allah bermaksud: "Hai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan ulil amri antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat mengenai sesuatu, maka kembalikan ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Surah an-Nisa, ayat 59)

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid dalam ucapannya pernah berkata, seseorang yang beretika dan bermoral ialah mereka yang 'berpegang kepada prinsip tanggungjawab bersama'.

Mereka juga, katanya, menunjukkan keperibadian unggul bukan saja berhubung dengan tanggungjawab awam, malah hal ehwal berkaitan peribadi dan tidak menunjukkan satu taraf cara kehidupan yang melebihi daripada kemampuannya.

Semua ciri itu hanya dapat dicapai apabila seseorang itu memiliki akhlak baik dan berintegriti.

Pendekatan Islam Hadhari yang digariskan oleh kerajaan berhasrat membina sebuah negara/masyarakat yang mengikat dua ciri iaitu sebuah negara/masyarakat madani dan umrani. Sebuah negara/masyarakat madani adalah tamadun yang membangun dari segi kemanusiaannya. Negara/masyarakat umrani pula membangun dari segi fizikal atau materialnya.

Islam Hadhari menggabungkan kedua-dua ciri itu. Oleh itu, prinsip Islam Hadhari mengukuh dan memastikan nilai dalam Rukun Negara dan Wawasan 2020 tidak dipinggirkan. Tidak hairan mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersungguh-sungguh mempromosikan Islam Hadhari ke serata dunia kerana pendekatan itu adalah praktikal.

Melalui pendekatan itu, faktor akhlak memainkan peranan penting dalam diri setiap anggota masyarakat. Akhlak, etika dan moral dalam pendekatan Islam Hadhari adalah asas yang memastikan maqasid syariyyah (objektif syariah) dapat dilaksanakan.

Hal itu kerana setiap ahli masyarakat yang berakhlak dan bermoral akan dapat memberi sumbangan sosial berlandaskan kebenaran dan keadilan. Tidak dapat dinafikan bahawa pegangan agama memainkan peranan penting dalam diri seseorang. Ia berkait rapat dengan moral dan undang-undang yang digubal berlandaskan moral. Landasan moral pula adalah agama.

Salah satu komponen terpenting dalam kepemimpinan itu adalah manusia (insan). Oleh itu, pemimpin berakhlak dan beretika wajib dibentuk melalui satu program dan pemantauan. Pemimpin kaya (umrani), tetapi kurang sifat madaninya (kemanusiaan) akan menghancurkan masyarakat/tamadun.

Sekiranya amanah dan tanggungjawab diberikan kepada pemimpin tidak berakhlak, maka tunggulah saat kehancuran masyarakat/tamadun itu. Ia bertepatan dengan maksud hadis: "Apabila suatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya hari kiamat."

Pendekatan Islam Hadhari menggariskan 10 prinsip asas yang boleh diterima pakai dalam semua keadaan tanpa mengira masa, tempat dan perbezaan agama dan kaum. Semua prinsipnya sentiasa relevan dalam urusan kehidupan harian.

Prinsip yang digariskan itu hendaklah diterapkan sepenuhnya sekiranya kita ingin melihat sebuah negara yang seimbang dari semua aspek pembangunan rohaniah dan fizikal. Tambahan pula dengan senario kehidupan moden yang penuh dengan cabaran dan dugaan yang bersifat kebendaan.

Prinsip Islam Hadhari yang dimaksudkan adalah:-
 * Keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi.
 * Kerajaan adil dan beramanah.
 * Rakyat berjiwa merdeka.
 * Penguasaan ilmu pengetahuan.
 * Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif.
 * Kehidupan berkualiti.
 * Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita.
 * Keutuhan budaya dan moral.
 * Pemeliharaan alam semula jadi.
 * Kekuatan pertahanan.

Pelaksanaan prinsip itu dalam sistem berkerajaan membentuk sebuah negara yang berintegriti. Hal ini kerana jentera pentadbiran akan dipandu dengan penuh tanggungjawab sosial berlandaskan takwa kepada Maha Pencipta. Kesannya adalah suatu hari nanti, Malaysia akan dihormat dan dicontohi di peringkat antarabangsa.

Semua kebaikan bermula dari dalam diri kita. Dalam konteks yang lebih luas ia bermula dari dalam negara itu sendiri.

Oleh itu, pelaburan paling berkesan untuk meningkatkan kebaikan adalah dengan menghayati ajaran agama. Tidak ada kepuasan dan ketenangan paling tinggi dapat dicapai melainkan pendekatan/takwa diri kepada yang Maha Pencipta. Sebagai insan yang memimpin masyarakat, negara, menjaga alam persekitaran dan sebagainya, manifestasinya adalah satu order antarabangsa yang kondusif dalam pembinaan Hadharah (tamadun).

Pendekatan Islam Hadhari adalah satu kepelbagaian sumbangan Islam pada orde dunia yang boleh menyumbang kepada penambahbaikan orde dunia yang sedang kita duduki ini.

Back Back | Printer Friendly Printer Friendly | 52658 read
 
 

IKIM's Official Website
Jumaat
24 Ramadhan 1431

 
 Search @ IKIM
 
Newest
Capital Punishment for Infanticide - Are We Going in the Right Direction?
31/08/2010
Atasi Ancaman Kepupusan Terumbu Karang
27/08/2010
Merdeka: Perjuangan Yang Belum Selesai
27/08/2010
Examination, Memorization and Thinking
24/08/2010
Pembudayaan Inovasi dan Kreativiti dalam Organisasi
20/08/2010
Waspada Berbuka Di Luar
19/08/2010
Cabaran Terhadap Kreativiti dan Inovasi Dalam Kesihatan Mental
13/08/2010
 
Top Hits
Islam Hadhari bentuk modal insan berkualiti
59727 read
Nilai Islam asas bentuk masyarakat majmuk harmoni
55991 read
Islam Hadhari perkukuh Rukun Negara, Wawasan 2020
52658 read
Tamadun gemilang mesti selari kehendak syariat
51254 read
Peranan ummah jaga alam
48964 read
Islam Dan Pengurusan Bencana Alam
47715 read
Buli Tidak Selaras Dengan Pendekatan Islam Hadhari
45418 read


Page was generated in 0.0893 seconds


INSTITUTE OF ISLAMIC UNDERSTANDING MALAYSIA (IKIM)
- 234432-H
2, Langgak Tunku, Off Jalan Duta, 50480 Kuala Lumpur.
Tel : 03-62046200 Fax : 03-62014189
Email : info@ikim.gov.my

© 1992 - 2010  INSTITUTE OF ISLAMIC UNDERSTANDING MALAYSIA (IKIM)
" Strengthening Understanding of Islam Through Quality Performance "
Site Map  | Help  | Change Font Size [+] [-]
Syarat-Syarat  | Dasar Privasi  | Hak Cipta