Articles
Pendapat Ulama' tentang Bank Susu Ibu
Dr. Haji Mat Saad Abd. Rahman,
Fellow Kanan Syariah, IKIM

05/05/2006 | Artikel Bahasa Malaysia

Isu Bank Susu Ibu diketengahkan ke pengetahuan umum negara ini pada 14 Mac 2006 yang lalu apabila Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Ybhg. Datuk Dr Ismail Merican menyebutnya dalam ucapan perasmian Seminar Isu-isu Perubatan Menurut Perspektif Islam di Dewan Besar, IKIM.

Tindakan membankan susu ibu asli ini berpunca dari dua masalah besar yang dihadapi oleh para bayi. Pertama, sebahagian mereka yang lahir sebelum masa memerlukan penjagaan rapi dan pembekalan susu ibu yang mencukupi. Pada kebiasaannya, mereka tidak dapat menerima susu lain selain susu ibu asli. Keduanya, sebahagian bayi yang lain, sama sekali tidak dapat menerima susu tiruan biarpun mereka lahir sesudah matang kandungan masing-masing. Kekurangan susu ibu asli bagi kedua-dua kelompok ini boleh menjejaskan kesihatan dan kehidupan mereka. Justeru, timbullah usaha mengumpulkan susu ibu asli daripada ratusan ibu dari pelbagai bangsa, agama dan negara. Susu ini disimpan secara saintifik di suatu tempat yang terjamin keselamatannya dan akan dikeluarkan berdasarkan permintaan dan keperluan yang mendesak daripada sebahagian bayi tertentu. Tempat penyimpanan itulah diistilahkan sebagai Bank Susu Ibu. Susu ini akan dikeluarkan berdasarkan permintaan atau keperluan yang mendesak daripada sebahagian penjaga/waris bayi tertentu secara komersial pada peringkat antara bangsa.

Sebenarnya isu ini bukanlah satu perkara baru dalam dunia kesihatan. Pada penghujung tahun 90an, dua ulama' terkenal, iaitu Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Dr. Ahmad al-Sharabasi telahpun membincangkannya di dalam buku masing-masing.

Ada dua persoalan yang berbangkit daripada isu ini, pertama ialah masalah penyusuan yang disebutkan sebagai al-rada`ah, dan kedua masalah hukum menjual susu manusia. Penumpuan dalam artikel ini hanyalah kepada persoalan Bank Susu Ibu.

Persoalan pertama merujuk kepada sabda baginda Rasulullah s.a.w. yang mengatakan bahawa apa yang diharamkan dengan sebab penyusuan adalah sama dengan apa yang diharamkan dengan sebab keturunan (riwayat al-Bukhari, 6:336; Muslim, 2:1072). Hadis ini menekankan beberapa hukum, antaranya ialah larangan berkahwin di antara seorang bayi susuan dengan saudara sesuannya, masalah `aurat dalam pergaulan harian dan masalah pembatalan wudu' di antara kedua-dua mereka kerana mereka adalah saudara seibu susuan.

Jika kita merujuk kepada tindakan al-rada`ah atau penyusuan seseorang bayi ia boleh berlaku menerusi hisapan mulutnya atau penuangan susu ke dalam mulut atau hidungnya (rujuk pandangan Mazhab Hanafi, Maliki dan Shafi`i). Ketiga-tiga cara ini boleh berlaku dengan penggunaan susu dari Bank Susu Ibu.

Hanya satu pendapat di dalam Mazhab Hanbali sahaja yang mengatakan bahawa penyusuan tidak akan berlaku kecuali dengan hisapan bayi pada puting ibu susuannya

Di sini akan berbangkit masalah bagaimanakah menentukan ibu susuan seseorang bayi dan seterusnya siapakah pula saudara sesuannya?.

Dr. Yusuf al-Qaradawi ketika mengupas masalah ini, merujuk kepada firman Allah (surah al-Nisa' ayat 23) yang menyebut bahawa ibu-ibu kamu ialah mereka yang telah menyusukan kamu. Beliau mengatakan bahawa penyusuan yang melahirkan hukum haram perkahwinan dan lain-lain itu merujuk kepada perkataan rada`ah yang bermaksud penyusuan menerusi puting ibu ke mulut seseorang bayi, sambutan bayi berkenaan terhadap penyusuan itu dan pergantungannya dengan si ibu yang menampilkan suasana manja dan mesra (antara kedua-duanya). Dalam pengertian ini ada tiga perkara asas yang perlu diperhatikan, pertama: ibu yang tertentu yang memberi penyusuan, kedua: hisapan bayi pada puting ibu berkenaan dan kedudukan bayi di atas ribaannya atau dalam pelukannya yang menampilkan suasana pergantungan, kemanjaan kemesraan di antara bayi dengan ibunya. Berdasarkan kepada kedudukan ini beliau menyimpulkan bahawa rada`ah atau penyusuan yang menimbulkan hukum penyusuan sama sekali tidak akan berlaku di dalam isu penyusuan bayi menerusi Bank Susu Ibu kerana beberapa sebab; pertamanya: kita tidak dapat mengenalpasti personaliti ibu sebenar kerana susu itu dikumpul daripada ratusan ibu, keduanya: hisapan tidak mungkin berlaku pada puting seseorang ibu kerana bayi berkenaan akan diberikan susu menerusi hisapan pada puting botol susu atau pelbagai cara yang lain, dan ketiganya: bayi sama sekali tidak akan berada di atas ribaan ibu susu yang sebenar. Dengan itu tidak terdapat jalinan mesra di antara bayi dengan ibu. Justeru, beliau menyimpulkan bahawa tidak timbul lagi masalah halangan perkahwinan di antara sesama anak sesusuan dan masalah-masalah yang lain.

Bertolak dari kedudukan ini, usaha untuk mewujudkan Bank Susu Ibu seharusnya digalakkan kerana ia memberi sumbangan besar kepada keperluan bayi, khususnya, para bayi yang bermasalah dengan dengan susu tiruan. Ia merupakan amalan terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana prinsip syari`ah, malah ia adalah selaras dengan maqasid syari`ah yang antaranya bertujuan mengawal keselamatan diri manusia.

 

 

 

Back Back | Printer Friendly Printer Friendly | 3623 read
 
 

IKIM's Official Website
Jumaat
24 Ramadhan 1431

 
 Search @ IKIM
 
Newest
Capital Punishment for Infanticide - Are We Going in the Right Direction?
31/08/2010
Atasi Ancaman Kepupusan Terumbu Karang
27/08/2010
Merdeka: Perjuangan Yang Belum Selesai
27/08/2010
Examination, Memorization and Thinking
24/08/2010
Pembudayaan Inovasi dan Kreativiti dalam Organisasi
20/08/2010
Waspada Berbuka Di Luar
19/08/2010
Cabaran Terhadap Kreativiti dan Inovasi Dalam Kesihatan Mental
13/08/2010
 
Top Hits
Islam Hadhari bentuk modal insan berkualiti
59727 read
Nilai Islam asas bentuk masyarakat majmuk harmoni
55991 read
Islam Hadhari perkukuh Rukun Negara, Wawasan 2020
52657 read
Tamadun gemilang mesti selari kehendak syariat
51254 read
Peranan ummah jaga alam
48964 read
Islam Dan Pengurusan Bencana Alam
47715 read
Buli Tidak Selaras Dengan Pendekatan Islam Hadhari
45418 read


Page was generated in 0.0905 seconds


INSTITUTE OF ISLAMIC UNDERSTANDING MALAYSIA (IKIM)
- 234432-H
2, Langgak Tunku, Off Jalan Duta, 50480 Kuala Lumpur.
Tel : 03-62046200 Fax : 03-62014189
Email : info@ikim.gov.my

© 1992 - 2010  INSTITUTE OF ISLAMIC UNDERSTANDING MALAYSIA (IKIM)
" Strengthening Understanding of Islam Through Quality Performance "
Site Map  | Help  | Change Font Size [+] [-]
Syarat-Syarat  | Dasar Privasi  | Hak Cipta