Ilmu sains adalah “Ilmu Allah” yang telah dianugerahkanNya kepada manusia untuk mencari keredhaanNya. Sains adalah ilmuNya yang Quddus apabila ia telah dibersihkan dari segala unsur-unsur yang palsu. Sesungguhnya inilah di antara tugas penting bagi sekelian para saintis Muslim dewasa ini, yang juga merupakan satu cabaran kepada umat Islam di negara kita Malaysia khasnya dan juga kepada dunia Islam seluruhnya.
Salah satu daripada daripada pendekatan sains yang amat penting untuk memahami konsep keTuhanan ialah rahsia yang terdapat pada banyak ayat-ayat al Quran. Di antaranya ialah rahsia yang terdapat pada makna ayat as Samad. Ianya terdapat di dalam al Quran pada ayat yang kedua dalam surah al Ikhlas, iaitu sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
“Allah ialah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu.”
Dari segi bahasa, as Samad membawa beberapa makna, antaranya,
1. Lengkap, Sempurna, Bersih, Keseluruhan, Tempat Pergantungan
2. Kuasa mutlak yang menguasai segala-galanya
3. Kekuasaan yang tiada tolok bandingnya
Sementara makna yang diterangkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w pula ialah, “Kekuasaan yang sebenar dan mutlak, di mana segala sesuatu bergantung kepadaNya, dan Dia pula tidak bergantung kepada sesiapa.” Oleh itu, as Samad, adalah Kekuasaan Allah yang mana segala makhluk bergantung harap kepadaNya untuk hidup di alam ini. Dari segi saintifiknya, memang tidak dapat dibuktikan Zat ini wujud seperti jisim-jisim yang lain, tetapi kehadiran dan kewujudan Zat Allah, as Samad ini dapat dirasai di dalam kehidupan kita pada setiap saat.
Oleh itu, amat penting bagi kita untuk melihat alam sekeliling ini, dan membuktikan kehadiran mereka sebagai tanda-tanda wujudnya Allah dan KekuasaanNya.
Cuba kita perhatikan, diri kita sebagai contoh. Telah didapati bahawa dalam kehidupan manusia, kita memerlukan as Samad, atau Kekuasaan Allah ini sekurang-kurangnya 16 kali dalam satu minit. Adakah pernyataan ini benar? Untuk memastikannya, mari kita lihat dan kaji manusia itu sendiri.
1. Tubuh manusia adalah terdiri daripada atom-atom yang halus yang tidak dapat dilihat oleh mata. Dikatakan bahawa terdapat kira-kira 7 x 1028, atau 10 bilion bilion bilion atom terdapat dalam tubuh manusia. Apakah hubungan atom-atom ini dengan as Samad?
Dari segi saintifiknya, atom adalah jisim yang bergerak dengan kepantasan 10 bilion pergerakan sesaat. Pergerakan ini penting dan diperlukan bagi memastikan supaya nukleus dapat wujud. Oleh kerana proton yang terdapat dalam nukleus adalah bercas positif, dan neutron pula neutral, maka secara logiknya, pergerakan yang pantas ini akan membuatkannya pecah dan musnah. Tetapi terdapat satu lagi tenaga nuclear yang menjadi tenaga pemegang kepada proton dan neutron ini, yang dinamakan “meson”, maka proton dan neutron dapat wujud dalam satu nukleus walaupun pada pergerakan yang amat pantas ini. Pertukaran tenaga antara meson, proton dan neutron berlaku pada kadar 10 bilion kali sesaat. Iaitu satu kadar pertukaran yang memerlukan kepada Kekuasaan as Samad untuk mengawasinya.
Sekiranya, kita melihat pula kepada elektron yang mengelilingi nukleus tersebut, para saintis telah mendapati elektron berpusing mengelilingi nukleus pada kadar 100,000 kali sesaat. Oleh kerana elektron mengelilingi nukleus dalam bentuk eklip atau membujur, maka pada titik yang terdekat dan terjauh daripada nukleus ini elektron tersebut memerlukan kepada Kekuasaan as Samad untuk memastikan ianya tidak tersasar keluar daripada perjalanan mengelilingi nukleus. Dan telah didapati terdapat kira-kira 14 x 1029 elektron terkandung di dalam tubuh manusia. Oleh itu, ini bermakna tubuh manusia memerlukan sekurang-kurangnya 70 x 1037 kali Kekuasaan as Samad untuk memastikan manusia itu dapat wujud dan hidup. Bayangkanlah bagaimana keadaan tubuh manusia sekiranya hanya satu detik sahaja Allah menarik kekuasaanNya, as Samad, maka sudah tentu akan musnah dan matilah manusia tersebut.
2. Dari segi keperluan sel terhadap as Samad pula, para saintis telah mendapati terdapat kira-kira 2000 makmal kecil dan halus, iaitu mitokondria dan saluran golgi, yang sentiasa bekerja dan memproses bahan kimia tanpa berhenti. Setiap makmal-makmal kecil ini sentiasa di bawah penguasaan as Samad untuk menjalankan program-program yang telah ditetapkan untuknya.
Setiap makmal-makmal kecil ini meneruskan operasi memproses bahan kimia pada kadar 15,000 kali se saat. Jadi ini bermakna keperluan sel-sel ini kepada kekuasaan as Samad untuk terus beroperasi dengan sempurna adalah sebanyak 30 juta sesaat. Sekiranya difikirkan keperluan manusia dalam sehari, dengan jumlah sel di dalam tubuh manusia yang dianggarkan sebanyak 30 trilion itu, bermula daripada pembentukan darah dalam sum-sum tulang hinggalah kepada proses-proses yang lain, maka sudah tentulah keperluan kepada pengawasan as Samad adalah tidak terhitung banyaknya.
3. Dan apakah pula peranan as Samad di dalam mengawasi organ-organ dan sistem kehidupan yang beribu-ribu yang terdapat pada tubuh manusia, bermula daripada masuknya bahan makanan ke dalam perut sehinggalah ianya dicernakan dan menjadi darah? Sekiranya, satu sahaja daripada sistem yang beribu-ribu ini terganggu dan tidak diawasi oleh as Samad maka sudah tentu manusia itu akan jatuh sakit dan barangkali akan mati. Kerana manusia itu, jika hendak dihitung seperti yang telah dibincangkan sebentar tadi, maka dari segi fisiologi dan biologinya memerlukan kepada as Samad sebanyak 4 x 1037 kali sesaat. Contohnya, kita lihat sahaja kepada limposit, iaitu sejenis bahan yang dicipta oleh Allah di dalam tubuh manusia, yang peranannya ialah untuk melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit. Jika bahan limposit ini tidak diawasi oleh as Samad maka sudah pasti, manusia itu akan diserang dengan berbagai-bagai jenis kuman dan bakteria yang akan membawa berbagai-bagai jenis penyakit.
Sebenarnya, rahsia di sebalik Kekuasaan as Samad ini, bukan hanya terbatas kepada manusia sahaja, tetapi ianya adalah merupakan asas kehidupan kepada semua makhluk yang hidup di alam ini. Kerana sesungguhnya, keupayaan untuk atom, planet, matahari, galaksi dan segala-galanya untuk terus hidup adalah terletak kepada pergantungan mereka kepada as Samad.
Oleh itu sebagai seorang Islam, kita tidak sewajarnya angkuh dan sombong dalam menjalani hidup ini, kerana sehebat mana kedudukan kita, dengan kekuasaan dan pangkat yang kita dimiliki, semuanya itu adalah tertakluk di bawah pengawasan as Samad. Dan Allah boleh menarik balik nikmat yang diberikan itu pada bila-bila masa.