Kalaulah dengan mengucapkan “selamat menyambut deepavali” seseorang itu menjadi Hindu tentulah yang mengucapkan “selamat hari raya” menjadi Muslim! Semudah itukah kata-kata yang dilafazkan menukar hakikat seseorang? Persoalan ini tidak boleh dibicarakan secara semberono atau oleh orang yang bukan ahlinya. Ia boleh menyebabkan kekeliruan dan mengeruhkan keadaan.
Kata-kata yang dilafazkan, seperti juga perbuatan, tertakluk kepada niat penuturnya. Kalaulah niatnya mengisbatkan tuhan-tuhan yang disembah oleh penganut agama Hindu tentulah, dipandang dari sudut pandangan akidah Islam, kata-kata itu merupakan penzahiran pegangan penuturnya. Soalnya, adakah itu niat kebanyakan kita apabila kita mengucapkan “selamat menyambut deepavali” kepada sahabat-sahabat kita yang beragama Hindu?
Pada hakikatnya, kalaulah seseorang itu sememangnya berpegang kepada pegangan agama Hindu, dia bukan lagi Muslim, walaupun tanpa mengucapkan apa-apa ucapan. Maksudnya, bukan ucapan yang menentukan akidah seseorang, tetapi apa yang diyakini di dalam hatinya.
Dalam negara kita, sudah menjadi tradisi masyarakat untuk mengucapkan selamat kepada pihak-pihak yang merayakan hari kebesaran agama masing-masing. Ucapan itu hanyalah sebagai tanda persahabatan dan muhibbah, tidak lebih daripada itu.
Bagi seorang Muslim, adalah menjadi tanggungjawabnya memelihara akidahnya dari penyelewengan dan keraguan. Akidah adalah simpulan mati yang tidak boleh dirungkai lagi; jika tidak ia bukanlah akidah. Dengan sebab itu akidah Islam mesti diasaskan kepada ilmu yang benar, yang memberikan keyakinan dan kepastian. Dalam soal akidah seseorang itu tidak boleh bertaqlid: yakni mengikuti pegangan orang lain tanpa mengetahui dalil-dalilnya. Dia mesti berdikari dan berusaha mencari ilmu yang mencukupi sehingga tiada sebarang keraguan dalam jiwanya terhadap dasar-dasar agamanya.
Kewajiban pertama seorang Muslim ialah mengenal Tuhannya kerana itulah asas kepada kewajiban-kewajibannya yang lain. Segala kekeliruan tentang agama pada hakikatnya berakar-umbikan kekeliruan tentang soal-soal ketuhanan. Hanya yang kenal siapa dirinya dan siapa Tuhannya tidak akan mencampur-adukkan kebenaran dengan kepalsuan, apatah lagi dikelirukan oleh persoalan yang remeh-temeh.
Dalam suasana masyarakat yang berbilang agama dan kepercayaan, timbul keperluan khusus untuk memahami perbezaan asasi antara agama-agama. Walaupun menjadi dasar kerajaan untuk memupuk perpaduan, tidaklah bermakna kita harus menafikan bahawa wujud perbezaan-perbezaan mutlak antara agama. Sebaliknya, hanya dengan memahami perbezaan itulah akan wujud sikap hormat-menghormati yang tulen, yang membuka ruang kepada perbincangan-perbincangan yang bermanfaat kepada semua pihak.
Perayaan-perayaan besar yang dirayakan di negara kita, tidak boleh dinafikan, adalah merupakan perayaan-perayaan agama. Apa yang diraikan dalam setiap perayaan itu melambangkan pegangan para penganutnya. Justeru, apabila konsep kongsi raya diketengahkan banyak pihak, khususnya masyarakat Islam, menyuarakan bantahan. Kebimbangan pihak yang membantah itu bukanlah langsung tidak berasas. Yang pasti kita tidak berkongsi maksud dan tujuan yang sama apabila kita merayakan perayaan-perayaan yang berkenaan. Yang kita kongsi ialah kegembiraan, bukan sebab kepada kegembiraan itu. Oleh sebab itu, apabila satu pihak mengucapkan selamat dan tahniah kepada pihak yang lain yang dimaksudkan ialah kegembiraan itu, bukan sebabnya. Sekiranya ini difahami dengan baik tidak akan timbul sebarang keraguan atau perasaan yang bukan-bukan.