Sekali lagi saya amat tertarik dengan pandangan pemikir ulung Islam Profesor Dr. Yusuf al-Qardhawi yang menawarkan beberapa pilihan yang terbaik ketika kita berhadapan dengan satu situasi yang agak membingungkan dan amat sukar untuk diambil keputusan, sama ada mengenai isu hukum hakam, kemasyarakatan, politik dan sebagainya.
Beliau menulis bukunya yang amat terkenal, iaitu fiqh al-awlawiyyat atau feqah keutamaan untuk menjadi panduan bagi kita membuat keputusan yang terbaik dalam keadaan yang tersebut bagi mencari penyelesaian terbaik dan menjaga sesuatu kepentingan atau apa yang diistilahkan sebagai maslahah dalam agama kita.
Masyarakat yang serba kompleks dan serba mencabar pada hari ini memang sentiasa berhadapan dengan seribu satu konflik, pertentangan pendapat, pertelagahan anutan dan ideologi, perebutan kuasa dan sebagainya. Maka dalam mengatasi masalah ini menurut Profesor al-Qardhawi “keharmonian agama dan masyarakat hendaklah diberikan keutamaan yang paling tinggi iaitu mengatasi kepentingan individu dan kumpulan yang tertentu.”
Kita, umat Islam di Malaysia, merupakan rakyat majoriti kecil. Tetapi dengan persefahaman sesama sendiri, dan persefahaman dengan kaum-kaum yang lain berdasarkan keharmonian dan saling bantu membantu, ditambah pula oleh hak kesamarataan dalam ekonomi dan berkongsi kuasa dalam politik, dengan dilindungi oleh dasar demokrasi dan kedaulatan undang-undang, maka negara telah banyak membangun dengan cemerlang dalam merealisasikan peruntukan dalam perlembagaan bahawa Islam merupakan agama rasmi negara.
Bagi orang yang mempelajari sejarah pembangunan Islam di negara kita, dan menyaksikan realiti yang wujud, dengan kemajuan institusi dan model orang-orang Islam Malaysia di dalam berbagai-bagai aspek pembangunan fizikal dan kerohanian, maka kemajuan yang telah dicapai agak sukar untuk dinafikan, apa lagi diperkecil-kecilkan.
Islam di negara ini membangun agak dinamik dan sistematik, imejnya amat positif dan diakui oleh kawan dan lawan, di dalam dan di luar negara. Hal ini menjadi lebih penting kerana negara yang mempunyai umat Islam majoriti kecil ini dapat mengamalkan Islam secara praktikal dan sederhana dalam suasana aman dan damai.
Maka dalam konteks inilah saya beranggapan bahawa mesej Profesor al-Qardhawi bahawa keharmonian Islam dan umatnya itu seharusnya dipelihara dan diberi keutamaan, merupakan mesej yang perlu disebarkan secara meluas ke seluruh persada tanah air yang harus didengari dan dihayati oleh semua rakyat dari segala peringkat.
Hal ini menjadi lebih relevan dalam konteks kegawatan ekonomi dan politik yang melanda negara kita masa kini dan mengancam kesepaduan ummah yang seolah-olah sedang menempa kehancuran sesuai dengan matlamat yang diidam-idamkan oleh musuh Islam, sama ada musuh dalam selimut atau musuh yang berdiri secara terang¬terangan menentang agama dan umatnya.
Mengikut mesej Feqah Keutamaan apabila berlaku konflik kepentingan yang tertentu di antara golongan-golongan tertentu, maka kajilah kepentingan mana yang harus diutamakan dan maslahah mana yang termasuk dalam daruriyyat atau keutamaan mutlak yang harus didahulukan.
Maka dalam hal ini Profesor al-Qardhawi menekankan sekiranya terdapat pertentangan kepentingan, utamakan kepentingan jamaah di atas kepentingan individu, kepentingan umum di atas kepentingan kelompok, kepentingan perdamaian di atas permusuhan, kepentingan jangka panjang yang baik di atas kepentingan jangka pendek yang merugikan.
Dalam negara demokrasi, keputusan majoriti yang dibuat berdasarkan sistem syura, haruslah dicabar melalui sistem yang sama, bukan secara kekerasan, tidak beradab dan beretika. Dalam Islam wujud sistem syura dan perwakilan yang mewakili jemaah untuk menyalurkan pandangan dan bantahan. Maka dalam dunia moden, Parlimen dan pilihanraya merupakan saluran terbaik untuk membuat keputusan.
Malah dalam membuat keputusan dan menyuarakan pandangan maka kepentingan umum, adab dan etika mestilah benar-benar dihormati dan dipelihara, agar orang-orang Islam tidak dianggap sebagai orang-orang yang radikal, emosional, tidak bertamadun dan gambaran-gambaran negatif lain yang sering dilemparkan kepada masyarakat Islam, apa lagi masyarakat Islam sendiri kelihatan menepati tuduhan-tuduhan yang dilaung-laungkan itu.
Merujuk kepada kepentingan masa depan yang lebih menguntungkan inilah maka Rasulullah S.A.W. menerima beberapa syarat kaum musyrikin di dalam perjanjian al-Hudaibiyyah termasuk syarat yang amat tidak digemari oleh para sahabat sendiri, iaitu rombongan baginda tidak dibenarkan memasuki Mekah pada tahun berkenaan, sebaliknya mereka harus kembali ke Madinah dan datang semula pada tahun hadapan untuk memasuki Mekah secara aman dan diakui kewibawaannya.
Meskipun dibantah oleh sesetengah para sahabat, Rasulullah S.A.W. tetap mempertahankan keputusannya, kerana keputusan itu ada hikmah yang lebih baik untuk masa depan dari hanya terburu-buru melihat kepentingan semasa yang tidak banyak memberi hikmah.
Berdasarkan hal ini jugalah maka Islam sentiasa menekankan tentang kepentingan berilmu pada para pendokongnya agar segala keputusan dan tindakan yang hendak dilakukan mestilah berdasarkan ilmu yang mendalam, pemikiran yang matang, beradab dan berakhlak, bukan tindakan jalanan secara kekerasan, mengikut emosi dan sentimen, tidak bermoral dan beradab.
Jadi dalam perkembangan terbaru dalam melancarkan bantahan dan bangkangan, di manakah keutamaan kita, adakah institusi masjid dapat digunakan untuk tujuan memecah-belahkan ummah sebagai ganti lambang perpaduan dan kesatuan? Adakah tindakan liar di jalanan yang mementingkan sentimen golongan kecil dapat diberikan keutamaan daripada tindakan bersopan dan mengikut saluran yang lebih aman dan beradab serta berbudaya tinggi?
Adakah golongan kecil dapat mencanangkan perasaan benci dan keji atas nama keseluruhan rakyat yang tidak diwakilinya atas dasar andaian dan fanatik melulu semata-mata?
Saya sarankan ambillah pandangan Profesor al-Qardhawi secara keseluruhan, bukan yang hanya menyedapkan sentimen sendiri sahaja.