Sudah tentu keseronokan bekerja yang dicapai inilah akan menjadi nadi serta tonggak kepada kecemerlangan organisasi. Slogan ‘pekerja gembira adalah pekerja yang produktif’ seringkali juga dikaitkan dengan situasi di mana pekerja yang menyukai atau berasa seronok dalam kerjayanya.
Suasana kerja yang didukung oleh sikap dan nilai keseronokan bekerja mampu untuk mewujudkan amalan positif yang menjadikan kerja yang dibuat itu sebagai ibadat, komitmen yang tinggi di kalangan pekerja, dapat menyuntik semangat seharian bekerja serta sedia membantu dan bekerjasama antara majikan dan sesama pekerja. Hubungan baik ini juga mampu menatijahkan kerja secara bermuafakat dan bekerjasama. Pepatah Melayu menyebut, ‘Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’.
Pun begitu, dalam keseronokan bekerja juga jangan kita lupa nasihat-menasihati rakan sejawat dan budaya tegur menegur (budaya menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran) lakukannya secara berhikmah supaya rakan sejawatan juga dapat menerima teguran dengan baik.
Apabila para pekerja berjaya mewujudkan suasana yang seimbang, dalam kehidupan di tempat kerja secara tidak langsung ia akan memberi kesan baik juga kepada kesihatan mental dan fizikal, pekerja tidak akan berasa tertekan apatah lagi dalam memenuhi tuntutan hidup yang semakin mencabar.
Walau bagaimanapun, di sebalik keseronokan bekerja ini ada juga pekerja yang tidak selama-lamanya berada dalam keadaan seronok dalam pekerjaan mereka. Ini kerana sudah menjadi satu trend perilaku manusia tidak lekang mengalami pelbagai perasaan seperti malas, jemu, segan, bosan dan sebagainya terhadap kerja mereka.
Jika ditanya berkaitan dengan diri pekerja terhadap kerja yang dilakukan, tentu sekali ada yang menyatakan bahawa mereka sangat meminati kerja yang dilakukan. Tidak kurang juga ada yang menganggap kerja itu satu bebanan dan membosankan. Malah ada yang berfikir untuk mendapat pekerjaan yang baharu. Kesemua perkara ini adalah berkaitan dengan sikap terhadap kerja.
Barangkali perasaan ini dialami ekoran sikap terhadap pelbagai faktor dalaman dan luaran atau persekitaran organisasi. Bagi sesetengah pekerja yang telah menghabiskan setengah usianya dalam organisasi sering dapat kita lihat tiga situasi yang berbeza. Yang pertama apabila pekerja itu dapat menunjukkan prestasi yang tinggi dan nilai komitmen yang cemerlang dalam organisasi manakala kategori pekerja yang berikutnya ialah pekerja yang semakin menurun prestasi serta nilai komitmennya, manakala satu lagi kategori iaitu pekerja yang masih lagi berada pada tahap yang serupa sejak awal penglibatan sebagai pekerja.
Persoalannya mengapa keadaan ini berlaku? Barangkali sikap negatif terhadap kerja ini berpunca dari sikap pekerja itu sendiri terhadap majikan atau sikap para pekerja sesama rakan sejawatan atau pendirian mereka terhadap gaji dan imbuhan yang diberi tidak setimpal dengan kerja yang diusahakan, kebajikan terabai, penghargaan yang tidak diikhtiraf atau kemungkinan skim persaraan yang tidak menarik dan macam-macam lagi. Lazimnya sikap tersebut berkaitan dengan komponen penilaian yang boleh menggambarkan sejauh mana perasaan pekerja terhadap kerjayanya.
Hasil daripada sikap negatif ini maka akan lahirlah pekerja yang bersikap menentang dan mula berasa tidak lagi seronok untuk bertugas. Dan di sinilah menunjukkan perkaitan yang jelas tentang sikap dan perilaku. Apabila ini berlaku maka kita akan dapat melihat kesan kepada penghasilan kerja yang kadang kalanya sekadar melepaskan batuk di tangga; kerja tidak dilakukan dengan kesungguhan yang tinggi.
Walau bagaimanapun, ini tidaklah bermaksud bahawa sikap terhadap kerja adalah merupakan satu-satunya punca yang menentukan nilai keseronokan bekerja. Barangkali ada yang tidak seronok bekerja antara lain kerana faktor kesesakan; perjalanan yang terlalu panjang untuk sampai ke tempat kerja, arahan kerja tidak jelas dan di luar kemampuan, masalah kesihatan, masalah dengan rakan sejawat dan majikan, tiada jaminan kerja, dan sebagainya.
Begitu juga, kesan persekitaran kerja juga turut mengundang persepsi pekerja terhadap keseronokan di tempat kerja. Apabila persekitaran di tempat kerja tidak kondusif, sesak, gelap, dan kualiti peredaran udara yang tidak baik turut menjejaskan prestasi dan produktiviti pekerja. Malah menurut satu kajian, terdapat perkaitan antara keseronokan dan kepuasan terhadap persekitaran mampu mempengaruhi perilaku pekerja dalam organisasi dalam mewujudkan kesan terhadap hubungan sosial dan kerjasama.
Justeru, bagi mewujudkan keseronokan bekerja kita sebagai pekerja Muslim cubalah mulakan dengan memupuk nilai dan sikap keseronokan bekerja dalam diri kita terlebih dahulu. Apabila kita berjaya mencetuskan keseronokan dalam diri terhadap kerjaya kita, nescaya kegembiraan, ketenangan, keceriaan dan keselesaan juga dapat dicetuskan kepada rakan sejawat yang lain.
Kesimpulannya, memang benar sikap, tindakan dan amalan kita menjadi penentu kepada keseronokan bekerja di samping beberapa faktor persekitaran lain yang turut menyumbang kepada kecemerlangan organisasi serta mampu meletakkan pekerja maju dalam pelbagai bidang yang diceburinya.