KUALA LUMPUR: Masyarakat di negara ini diingatkan menjauhi budaya koboi yang mementingkan diri, tidak mengikut undang-undang dan tradisi, tidak menghormati orang lain serta tidak menampilkan nilai terbaik, bagi memastikan matlamat menjadikan kehidupan lebih maju dan bertamadun dicapai.
Felo Kehormat, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, berkata kehidupan yang didasari budaya koboi hanya merasai nikmat kehidupan yang sementara, tidak tenteram dan dipenuhi dengan budaya kebiadapan.
Budaya koboi hendaklah dikikis dalam kehidupan kerana ia menyebabkan kita saling bergaduh, hidup tidak teratur dan memusnahkan sistem nilai serta moral masyarakat.
Ia juga menimbulkan keresahan, rendah akhlak dan menjadikan seseorang biadap. Sebab itu sekarang, berlaku gejala sosial di negara kita.
Sebab itu sekarang, ada murid memberontak dan melawan guru, guru bergaduh sesama guru dan juga pekerja menipu majikan kerana terpengaruh dengan budaya koboi,� katanya yang baru menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1426.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja Implikasi Paradigma Terhadap Pemikiran, Sikap dan Keberkesanan Diri, pada Bengkel “Islam Hadhari – Etika Bekerja: Menuju Ke Arah Keimanan dan Ketakwaan Kepada Ilahi”, di sini, semalam.
Bengkel dua hari anjuran Pusat Perundingan dan Latihan IKIM bertujuan mengetengahkan etika bekerja Islam yang diterangkan menerusi al-Quran, sunnah dan kisah sahabat.
Lebih 180 peserta menyertai bengkel terdiri daripada kakitangan kerajaan, swasta, pertubuhan mewakili agama Sikh, Buddha, Hindu dan Kristian serta ahli akademik.
Mengikut sejarah, kata Dr Muhammad Uthman, budaya koboi ini terbentuk daripada pengalaman rakyat Amerika yang hidup dengan masyarakat Red Indian.
Katanya, mereka bertindak merampas tanah dan harta milik rakyat tempatan hingga menyebabkan berlaku pergaduhan, permusuhan dan pembunuhan.
“Budaya itu pada mulanya menular menerusi filem, tetapi kini, ia mempengaruhi gaya hidup masyarakat kita hingga menyebabkan mereka lebih mementingkan diri sendiri, tidak mengikut undang-undang dan tradisi, tidak menghormati orang lain serta tidak menampilkan nilai terbaik dalam keluarga,” katanya.
Justeru, Muhammad Uthman menyeru masyarakat mengubah budaya biadap dan ganas itu kepada budaya hidup saling bekerjasama serta hormat menghormati, ibarat berada dalam sebuah kapal angkasa.
Kita sekarang ibarat berada dalam kapal angkasa. Orang yang berada di bawah tidak boleh menebuk lubang untuk mendapatkan udara bersih kerana sikap itu adalah budaya koboi.
Caranya, kita perlu mengikut saluran. Naiklah tangga untuk ke atas, minta izin dan berdiplomasi dengan orang atasan untuk mendapatkan udara itu.
“Jika tebuk lubang bukan saja kita yang mati, tetapi seluruh kelasi lain akan mati dan kapal angkasa itu pula akan musnah,” katanya.
Ketika menjawab soalan peserta mengenai tuntutan Islam Hadhari dalam budaya bekerja, beliau berkata, setiap individu hendaklah bekerja keras dan saling membantu antara satu sama lain untuk memastikan usaha kerajaan itu berjaya.
Islam Hadhari menuntut kita supaya bekerja keras keras membantu negara kerana Allah. Jika kita ikutkan budaya budaya koboi, kita hanya menempah maut.
“Jadi, Islam Hadhari hanya akan berjaya jika kita membentuk metafora (ibarat) seperti dalam kapal angkasa iaitu berlumba-lumba dengan fungsi masing-masing ke arah kebaikan bersama walaupun berbeza dari segi agama, bangsa dan kedudukan,” katanya.
Sumber : Berita Harian 23/2/2005