Bioteknologi menggabungkan dua perkataan, bio dan teknologi. Bio bermaksud kehidupan atau benda hidup. Jadi, secara mudah, bioteknologi adalah apa-apa teknologi yang menggunakan organisme hidup seperti tumbuhan, haiwan atau mikrob.
Melihat kepada manfaat-manfaatnya, bioteknologi akan menjadi satu bidang kajian yang utama. Pelbagai produk bioteknologi akan dihasilkan dan memasuki pasaran. Soalnya, apakah produk-produk ini akan diterima oleh masyarakat?
Dalam konteks Malaysia, yang mana lebih sedikit dari separuh warganya terdiri daripada umat Islam, penerimaan ini amat bergantung kepada pandangan Islam terhadap produk-produk tersebut. Pandangan ini pula bergantung kepada proses dan prosedur yang terlibat dalam penghasilannya.
Untuk melihat perkara ini, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menjalankan satu kajian yang bertajuk Pemahaman dan Penerimaan Bioteknologi di Kalangan Masyarakat Islam: Satu Kajian Kes di Shah Alam.
Kajian ini bertujuan untuk mengukur tahap kefahaman dan penerimaan masyarakat Islam terhadap bioteknologi dan mencadangkan langkah-langkah untuk meningkatkan kedua-dua aspek ini di kalangan mereka. Namun, tulisan ini hanya akan menyentuh tentang kefahaman mereka dan cara untuk meningkatkannya.
Dalam kajian ini, seramai 1,400 orang responden telah ditemu bual secara bersemuka dengan berpandukan kepada satu borang soal selidik. Hasilnya, hanya 66.7 peratus daripada mereka yang pernah mendengar perkataan bioteknologi. Dari peratusan ini pula, hanya separuh daripada mereka (50.2 peratus atau 469 orang) yang tahu apa itu bioteknologi.
Untuk mengukur sejauh mana kefahaman 469 orang ini, mereka diberi sebanyak 11 kenyataan yang berkaitan tentang bioteknologi dan diminta untuk menentukan yang mana kenyataan yang betul dan yang mana pula yang salah. Untuk setiap jawapan yang betul, mereka diberi satu markah. Responden yang memperoleh lima markah dan ke atas, dikira lulus – yakni, kefahaman mereka tentang bioteknologi adalah agak baik. Hanya 46.2 peratus (217 orang) dari mereka yang lulus. Apa yang boleh disimpulkan di sini ialah walaupun 469 orang ini mengatakan yang mereka tahu apa itu bioteknologi, masih ada beberapa maklumat tentang bioteknologi yang mereka tidak tahu.
Dapatan ini juga menunjukkan bahawa kefahaman responden terhadap bioteknologi adalah tidak menyeluruh. Ada aspek tentang bioteknologi yang mereka sangat faham dan boleh menjawab dengan betul seperti kenyataan bahawa kajian bioteknologi berjaya menghasilkan Dolly, seekor anak kambing biri-biri. dan pemindahan genetik membolehkan pokok rambutan tahan serangan penyakit.
Manakala, ada juga aspek bioteknologi yang mereka kurang faham dan menjawab dengan salah seperti kenyataan bahawa kacang soya yang menggunakan gen kacang Brazil tidak membawa alahan kepada manusia dan pengklonan berjaya menghasilkan seorang bayi perempuan. Ini mungkin ada kaitannya dengan publisiti yang diperoleh (atau tidak diperoleh) oleh responden tersebut.
Untuk mengukur dengan lebih lanjut tentang kefahaman responden tentang bioteknologi, mereka diminta untuk menjelaskan dengan perkataan mereka sendiri, beberapa istilah bioteknologi seperti pengklonan, makanan ubah suai genetik (GMF), bio-farmaseutikal, persenyawaan in-vitro (IVF), kejuruteraan genetik dan penghasilan organ tiruan.
Melihat kepada mereka yang menjawab `tak tahu’, dapat disimpulkan bahawa walaupun para responden ini mengaku bahawa mereka tahu apa itu bioteknologi, mereka tidak dapat menjelaskan idea asas tentang beberapa istilah bioteknologi. Ini menunjukkan bahawa kefahaman mereka tentang bioteknologi boleh dipersoalkan.
Data itu juga menunjukkan ada istilah yang boleh dijelaskan oleh ramai responden dan ada yang tidak. Ini menyokong kesimpulan awal bahawa fahaman responden adalah tidak menyeluruh. Maka, lebih banyak publisiti diperlukan untuk aspek-aspek yang kurang difahami seperti GMF, kejuruteraan genetik dan bio-farmaseutikal.
Namun, walaupun ramai yang tidak dapat menjelaskan istilah-istilah tersebut, berdasarkan kepada pengalaman di lapangan tersebut, didapati bahawa kebanyakan responden menyatakan bahawa mereka faham istilah-istilah itu tetapi tidak dapat menjelaskannya.
Ini menunjukkan tahap kefahaman mereka amat terhad. Bagaimanapun, ia tidak bermaksud bahawa mereka tidak faham apa-apa. Jadi, sekali lagi, maklumat tentang perkara ini perlu disebarkan dengan bahasa yang paling mudah agar masyarakat umum dapat memahaminya.
Jika kajian Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (Mastic) tentang sains dan teknologi, menunjukkan 27.3 peratus rakyat Malaysia tahu apa itu bioteknologi, kajian yang dijalankan oleh IKIM ini menunjukkan peratusan yang lebih rendah. Hanya 15.5 peratus yang faham tentang bioteknologi.
Kefahaman yang rendah di kalangan ummah tentang bioteknologi ini memerlukan lebih banyak maklumat disebarkan agar kita dapat meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penerimaan mereka terhadap bioteknologi.
Kita perlu ingat bahawa dengan bilangan penduduk Islam di negara ini, penerimaan mereka boleh mempengaruhi permintaan barangan di pasaran. Jika mereka tidak menerima produk bioteknologi hanya kerana mereka tidak faham (atau tersalah faham), maka produk-produk itu akan menjadi tidak laku. Ini bermakna, segala kajian bioteknologi yang dijalankan itu akan menjadi sia-sia.
Berkaitan dengan medium penyebaran maklumat, televisyen, surat khabar dan majalah adalah yang paling sesuai kerana sumber-sumber inilah yang disebutkan oleh responden bila ditanya dari mana mereka mendapat maklumat tentang bioteknologi.
Berkaitan dengan sumber yang dipercayai pula, majoriti responden menyebut institusi penyelidikan, organisasi keagamaan, sekolah/universiti dan persatuan pengguna. Jadi, medium-medium tadi perlulah bekerjasama dengan badan-badan ini dalam menyediakan maklumat tentang bioteknologi agar maklumat-maklumat itu bukan sahaja diketahui dan difahami, tetapi juga dipercayai oleh masyarakat.
Dalam pada itu, sebagai seorang Islam, ahli masyarakat juga perlulah berusaha untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang bioteknologi. Ini kerana ia amat berkaitan dengan kehidupan seharian kita.
Ia melibatkan makanan yang kita makan, ubat-ubatan yang kita gunakan, malah zuriat – dalam kes IVF (dan teknologi yang seangkatan dengannya) dan pengklonan manusia. Selain itu, pencarian ilmu ini juga memenuhi tuntutan Islam agar kita mencari segala macam ilmu yang berguna untuk kehidupan manusia.