Gejala buli merupakan satu gejala gangguan mental yang sering berlaku tetapi amat jarang didedahkan kepada masyarakat umum. Walaupun ada kejadian buli yang terlepas kepada umum seperti yang dilaporkan oleh pihak media, namun sebenarnya banyak lagi yang tersembunyi, lebih-lebih lagi kejadian buli yang melibatkan golongan pekerja dalam organisasi pekerjaan.
Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada kejadian buli. Faktor ekonomi, sosial dan psikologi memainkan peranan penting. Tekanan hidup dan bebanan kewangan mampu mendorong seseorang untuk mengugut orang lain membayar sejumlah wang sebagai pampasan, justeru membantu meringankan bebanan kewangan yang dialami. Selain itu, faktor pengaruh rakan sebaya, dan kesan negatif media sosial turut mendorong orang lain menjadi pembuli. Kajian psikologi juga mendapati majoriti pembuli pernah mengalami peristiwa trauma dibuli atau menyaksikan situasi buli dalam keluarga, yang akhirnya memberi kesan kepada perkembangan emosi dan mental mereka apabila dewasa, sehingga akhirnya terjebak sebagai pembuli. Malah, pembuli juga didapati mengalami symptom kebimbangan, kemurungan dan gangguan daya tumpuan berbanding individu normal.
Gejala buli sering dianggap sebagai kes terpencil. Namun hakikatnya, ia adalah pembunuh senyap, yang akan berakhir dengan kecederaan dan kematian. Situasi ini menunjukkan terdapat perbezaan dalam kalangan masyarakat apabila menilai betapa seriusnya kejadian buli. Keadaan ini amat mengelirukan dan menjejaskan kefahaman terhadap fenomena buli serta mempengaruhi fakta kes berkaitan rekod dan dokumentasi kejadian.
Senario dalam negara menyaksikan kes buli di tempat kerja tidak memiliki saluran khusus berkaitan pelaporan menjadikan rekod awam dan statistik kes sukar diperolehi. Bagi gejala buli di sekolah pula, terdapat beberapa inisiatif kajian yang dilakukan oleh para pengkaji dan merumuskan bahawa gejala buli sememangnya berlaku dan menunjukkan peningkatan saban tahun. Seiring dengan itu, data Kementerian Pendidikan pada peringkat sekolah menunjukkan bermula pada tahun 2008, sehingga tahun 2017, terdapat sebanyak 27, 129 kes buli yang berlaku. Tren ini membimbangkan dan strategi serta polisi pencegahan dan pendidikan perlu dipergiatkan.
Berkaitan dengan pelaporan kes yang sedia ada, beberapa perkara perlu diberi perhatian. Khususnya berpunca dari pelbagai kekeliruan dalam kalangan masyarakat berkaitan gejala ini, seperti hakikat sebenar buli, tanda gejalanya, dan langkah sebaik-baiknya bagi menyelesaikan gejala tersebut. Perbincangan gejala mental yang berkaitan dengan buli pula seringkali tidak didedahkan kepada khalayak umum. Malah, rata-rata gejala buli yang berlaku seakan-akan perlu dirahsiakan agar tidak terdedah kepada sesiapa, walau apapun caranya.
Perlu diingat bahawa wujud juga gejala buli yang berlaku secara terang dan nyata serta dilakukan secara berkumpulan, namun ia terbiar begitu sahaja kerana dianggap sebagai suatu sistem yang normal dan sudah terbiasa Apatah lagi, ia dilakukan oleh pihak atasan yang lebih berwibawa dan berkuasa, atau oleh golongan senior kepada golongan junior atas alasan untuk mendidik dan sebagainya. Akibatnya, ia disalah anggap sebagai standard pengurusan dan pentadbiran atau juga satu bentuk pengawalan tingkah laku sosial yang wajar, lantas menjadikan gejala buli dilihat sebagai normal dan wajar.
Di samping itu, akibat daripada kebanyakan kes buli berlaku secara tersembunyi, banyak kes buli terbiar begitu sahaja. Jika ada pun, biasanya ia muncul sebagai satu kes jenayah yang terpaksa diselesaikan secara perundangan di mahkamah. Kebanyakannya apabila ia melibatkan kecedaraan atau kematian, yang sudah pun terlambat. Walhal, jika kita bersikap prihatin, ia boleh diselesaikan secara aman pada peringkat awal lagi.
Secara umumnya, gejala buli melibatkan pemangsa dan juga mangsa. Gejala ini boleh berlaku di mana-mana situasi persekitaran yang melibatkan pelbagai aktiviti sosial manusia, sama ada di rumah, di organisasi pekerjaan, di jalan raya, atau di sekolah serta di universiti. Amat menjengkelkan apabila gejala ini berlaku dalam organisasi tempat kerja yang melibatkan kalangan individu profesional dan matang, dan mereka berkerjaya serta berstatus mulia, namun inilah hakikat kehidupan buli dan pembuli. Apatah lagi, jika terdapat isu kesihatan mental yang mendorong kejadian tersebut tetapi terlepas begitu sahaja tanpa rawatan wajar.
Simptom buli di tempat kerja bukan semata-mata melibatkan kata-kata kasar, berteriak dan mengecam. Ia lebih daripada sekadar kata-kata kasar. Malah, kata-kata kasar boleh jadi permulaan atau juga tanda-tanda awal bukan sahaja kepada gejala buli, tetapi kepada beberapa gejala kesihatan mental lain yang terlepas daripada melalui proses diagnosis klinikal yang standard. Menjustifikasi kata-kata kasar sebagai reaksi normal kepada tekanan kerja atas nama pengajaran merupakan satu normalisasi pendidikan yang tidak wajar dan tiada asas saintifik. Malahan, tidak pernah terdapat kajian kukuh yang membuktikan bahawa kata-kata kasar dalam pendidikan berupaya melahirkan pelajar atau graduan mahupun pekerja yang lebih cemerlang, pintar dan serba cekap.
Persatuan Psikologi Amerika ada memberi definisi menggambarkan bahawa gejala buli di tempat kerja sebagai “Penganiayaan kepada pekerja yang disengaja, dilaku secara berulang dan diketahui amat membahayakan kesihatan mereka, kebanyakannya dilakukan oleh pihak atasan seperti penyelia atau rakan sekerja.” Apa yang tersirat tetapi mudah difahami di sini adalah bahawa ia bukan peristiwa sekali dan tidak berlaku “secara tidak sengaja,” ertinya tindakan pembuli itu sebenarnya adalah disengajakan, dan boleh jadi amat terancang, dengan motif tertentu, sama ada dilakukan secara bersendirian atau pun secara bermuafakat membawa mudarat, bagi menyebabkan tekanan mental atau bahaya kepada mangsa dan keluarga mereka.
Atas sebab itu, gejala buli di tempat kerja juga sebenarnya telah mendapat pengiktirafan sebagai satu masalah kesihatan awam yang paling utama. Ini kerana ia menjejaskan secara langsung kualiti kesihatan mangsa buli dan juga kepada pemangsa. Kesan yang dialami oleh mangsa buli boleh muncul dalam pelbagai bentuk, sama ada fizikal mahupun psikologi dan sosial yang akhirnya menjejaskan tahap kesihatan dan kesejahteraan mereka serta produktiviti organisasi. Sesuatu yang lebih teruk, buli turut membawa kecederaan dan kematian yang disengajakan, walau pun pada asalnya boleh dielakkan.
Dalam konteks organisasi pekerjaan pula, struktur dan fungsi syarikat akan terjejas dan menjadi tidak stabil, lalu menjejaskan produktiviti dan daya saing syarikat. Golongan pekerja akan sentiasa berasa terancam, mengalami krisis kerisauan serta konflik pergaulan sesama rakan sekerja dan pihak pengurusan yang berlarutan. Akibatnya, tiada keharmonian dan akhirnya menjejaskan semangat kerjasama serta perpaduan dalam organisasi. Lebih banyak masa terbazir dan keuntungan syarikat pula lebih banyak dihabiskan untuk menampung perbelanjaan perubatan dan kesihatan akibat kesan mental dan fizikal mangsa buli, selain terpaksa membayar tuntutan nafkah ilat kepada pekerja yang terjejas teruk.
Gejala buli juga sebenarnya merupakan isu utama dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Dalam konteks ini, ia adalah salah satu faktor psikososial hazard yang memberi banyak ancaman terhadap kesihatan individu dan produktiviti organisasi. Menyedari betapa pentingnya kedudukan isu ini terhadap kesihatan mental dan fizikal serta kepada kestabilan organisasi, sudah pasti peranan berkaitan langkah kesedaran dan pencegahan kes buli dalam organisasi memainkan peranan yang amat besar kepada kesejahteraan golongan pekerja dan kestabilan organisasi serta pembangunan negara.
Apa guna pengiktirafan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bahawa buli itu adalah faktor psikososial hazard dalam organisasi pekerjaan, namun akhirnya tiada apa-apa yang bagus boleh dilaksanakan pada peringkat organisasi pekerjaan itu sendiri untuk menyelesaikan kerumitan bagi menyelamatkan mangsa dan nyawa mereka. Walaupun konflik itu boleh diselesaikan secara dalaman, tetapi lambat laun akan terlepas jua keluar, kerana ia merupakan polemik yang memerlukan penyelesaian jangka panjang. Dalam konteks keselamatan dan kesihatan pekerjaan ini, pembuli, mangsa buli dan persekitaran organisasi tempat mereka bekerja sebenarnya adalah faktor psikososial hazard yang turut sama berisiko mempromosi kejadian buli dan mengancam kesejahteraan semua pihak, akhirnya boleh mengundang kematian yang disengajakan.
Polemik inilah yang perlu difahami oleh semua pihak dalam organisasi. Golongan penyelidik pakar dan pengamal dalam bidang psikiatri pekerjaan, dan psikologi industri serta ergonomik perlu berani tampil ke hadapan dengan mengemukakan hujah saintifik dan berwibawa menerangkan elemen sistem sedia ada yang diwarisi sejak sekian lama, tetapi menyumbang kepada kejadian buli, agar dapat diperbaiki dan kesan buruk dapat dielakkan lebih awal. Pada peringkat organisasi, perlu wujud usaha pendidikan berterusan serta polisi pengurusan yang sistematik untuk mencegah gejala buli. Perhubungan yang baik dan harmoni sesama pekerja perlu ditingkatkan, kerana ia turut mampu mencegah kejadian buli.
Islam memandang serius gejala buli sebagai satu penganiayaan sesama manusia. Mencerca, memaki dan menggelar orang lain dengan nama yang hina amat dilarang walau apapun tujuannya kerana ia membawa kezaliman dan kerosakan. Ini bersesuaian dengan sebuah hadis Qudsi, Nabi Muhammad yang diriwayatkan daripada Abu Dzar al-Ghiffari r.a. bahawa Nabi SAW bersabda melalui firman Allah SWT, “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku, dan Aku juga mengharamkannya dalam kalangan kamu, maka janganlah kamu zalim-menzalimi,” riwayat Imam Muslim.