Ungkapan yang biasa ditemui, belia dan beliawanis adalah harapan bangsa dan negara. Pemuda dan pemudi ataupun remaja dan belia masa kini adalah penyambung warisan kepimpinan dan kecemerlangan negara di masa akan datang. Mereka haruslah menyedari kenyataan ini. Sama ada mereka mahu atau tidak, mereka sewajarnya menyedia atau memperlengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran sebaiknya.
Cabaran mereka untuk beberapa tahun yang akan datang sudah tentu akan menjadi lebih mencabar lagi sebagaimana suasana kini yang sudah terlalu mencabar daya ketahanan mereka berbanding dengan suasana 10 tahun yang lalu. Jangkamasa 10 tahun bukanlah terlalu panjang, tetapi dalam tempoh tersebut, pelbagai penemuan baru dalam pelbagai bidang kehidupan, gaya hidup dan pemikiran muncul bertali arus tanpa dapat disekat lagi. Bagi mengahadapi suasana ini, menjadi tanggungjawab mereka untuk bersedia dengan langkah-langkah yang lebih berhati-hati, wajar dan proaktif.
Golongan belia bukanlah satu golongan pinggiran atau golongan yang kurang penting dalam pembangunan negara. Mereka tidak disisihkan. Malah mereka adalah satu golongan tersendiri yang memerlukan pendekatan yang juga tersendiri. Ini memandangkan kepada tahap perkembangan dan kemampuan mereka dalam mengharungi kehidupan yang memerlukan pendekatan tertentu. Lantaran menyedari sumbangan dan kepentingan golongan ini, Hari Belia disambut pada setiap tanggal 15 Mei setiap tahun. Dan pada kali ini, temanya adalah ‘Bersama Menghadapi Cabaran Alaf Baru’.
Tema Hari Belia pada tahun ini memberikan beberapa konotasi tersendiri sesuai dengan suasana semasa yang antara lain mengajak para belia negara ini supaya bersedia menghadapi apa jua bentuk cabaran alaf baru yang sukar untuk diduga. Sememangnya kesediaan dari pelbagai aspek, baik mental, emosi, fizikal, rohani, moral mahupun sosial, amat diperlukan bagi menghadapi alaf baru yang cabarannya itu memang sukar dijangkakan. Namun, persediaan yang jitu akan memungkinkan bahawa masa depan yang mendatang akan dapat dilalui dengan jayanya. Seterusnya, tema ini juga menyeru para belia negara ini supaya bersama-sama menghadapi peralihan zaman ini. Bagi mencapai tujuan ini, mereka dikehendaki bersatu dalam menghadapinya. Mereka dikehendaki bersatu kerana kesatuan mewakili satu golongan yang sudah cukup bersedia, bermuafakat, mempunyai hala tuju yang sama dan matlamat yang kukuh. Para belia juga harus sedar bahawa kesatuan itu harus diperolehi sama ada kesatuan dalam aspek pemikiran, kepemimpinan, hala tuju perjuangan dan matlamat. Para belia yang bersatu padu seperti inilah yang dimajukan oleh negara untuk mengharungi ranjau yang tidak tergambar untuk alaf baru.
Belia zaman ini seharusnya menyedari kedudukan, kelemahan dan kemampuan mereka. Kesemua itu mesti dijadikan iktibar dan pengajaran untuk mengharungi kehidupan alaf baru ini. Antara persoalan yang perlu mereka jawab adalah ke arah mana hala tuju mereka dalam membawa negara di alaf baru ini. Apakah peranan yang agak signifikan yang mereka mampu sumbangkan kepada agama, keluarga, bangsa dan negara. Bagaimanakah mereka akan mencorakkan senario moral dan sosial negara dalam alaf baru ini. Pencapaian yang bagaimana akan mereka tunjukkan dalam arena pendidikan negara. Sememangnya pencapaian akademik dan ilmu itu sentiasa menjadi ukuran dalam mana-mana masyarakat di dunia ini. Hakikat ini bukan sahaja bertepatan untuk alaf ini yang dikuasai oleh revolusi teknologi maklumat, tetapi telah dibuktikan pada zaman sebelum revolusi industri, malahan juga akan memainkan peranan utama pada masa hadapan nanti.
Kecemerlangan ilmu dan penyelidikan itulah yang akan membawa satu-satu masyarakat ke arah kehidupan yang semakin sempurna dan lebih cemerlang. Ilmu dan pengetahuan jugalah yang akan menjadikan satu-satu masayarakat itu dihormati dan disegani sebagai satu masyarakat unggul di dunia. Menyedari akan kepentingan ilmu ini, para belia harus menyedari apakah peranan dan sumbangan mereka dalam merancakkan lagi arus pembangunan ilmu. Apakah mereka mampu untuk mengembangkan lagi ilmu dan pengetahuan yang mereka ada untuk kesejahteraan orang lain atau sekadar menjadi pengguna pasif dan pemerhati sahaja.
Dalam era globalisasi ini, tidakkah para belia mempunyai keinginan untuk turut sama menyumbang ke arah pembinaan satu masyarakat dunia yang canggih dan bertamaddun tinggi serta unggul. Mereka tidak harus lupa, dalam ajaran agama Islam juga ada menekankan akan kepentingan ilmu ini. Dalam sebuah hadis Rasul Allah S.A.W ada menyebut yang bermaksud ‘sekiranya kamu inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu, jika kamu inginkan dunia, hendaklah juga dengan ilmu, dan jika kamu inginkan kedua-duanya, hendaklah juga dengan ilmu.’
Di samping itu, para belia juga harus berperanan sebagai agen yang mampu untuk membimbing masyarakat ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Sememangnya mereka amat perlukan bimbingan dari golongan yang lebih dewasa, tetapi pada masa yang sama mereka juga perlu membimbing diri mereka sendiri. Mereka mesti mempunyai inspirasi dalaman diri mereka bahawa mereka adalah sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab ke atas diri, rakan, keluarga dan bangsa, serta agama dan negara sendiri. Walaupun bukan semua orang itu boleh menjadi pemimpin kerana batasan masa dan peluang, tetapi dengan latihan dan pendidikan, mereka boleh menjadi pemimpin yang baik. Untuk para belia, antaranya mereka boleh menjadi pemimpin kepada rakan-rakan mereka sebagai pembimbing. Bimbinglah rakan sendiri supaya tidak terus dibelenggu oleh masalah ketagihan dadah yang sudah terlalu kronik, supaya meninggalkan perlumbaan motor haram, perjudian, arak, gangsterism, perlakuan sumbang dan pelbagai lagi. Dalam agama Islam sendiri, membimbing manusia ke arah kesejahteraan dan kebaikan adalah satu tuntutan yang wajib dilaksanakan. Ini bertepatan dalam Al Quran, surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud:
‘Kamu adalah sebaik-baik golongan untuk umat manusia kerana menyeru kepada kebaikan dan menghalang kejahatan, serta beriman kepada Allah’.
Pada umumnya, peranan para belia masa kini dan akan datang sudah pasti akan menjadi lebih mencabar kemampuan dan ketahanan mereka. Sebagai pewaris negara di masa hadapan, mereka mesti memperlengkapkan diri sendiri dengan pelbagai kelengkapan dan persediaan yang secukupnya umpama para pejuang yang sentiasa berlatih bagi menghadapi musuh di medan perjuangan. Seterusnya, bagi menghadapi semua ini, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mendidik pemikiran dan sikap supaya menjadi lebih positif dan proaktif. Untuk menjadi proaktif, idealisme dan keazaman yang tinggi amatlah perlu. Begitulah saranan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sempena perutusan Hari Belia Negara 2000, para belia harus mempunyai idealisme tinggi untuk mencapai kejayaan kerana tanpanya, tamaddun dan kehidupan mereka tidak akan maju dan sukar untuk mencapai kejayaan cemerlang.
Secara rumusannya, antara beberapa cabaran yang akan dihadapi oleh para belia menjelang alaf baru ini adalah seperti berikut:
1. Cabaran teknologi maklumat
Teknologi maklumat menjadi satu cabaran yang amat ketara kerana pelbagai bentuk maklumat kini dapat diperolehi dengan amat mudah. Memang banyak kebaikan seperti menambahkan pengetahuan dan maklumat awam. Semua ini timbul kerana adanya sumber maklumat yang terlalu canggih seperti sistem satelit, internet, telefon bergerak, aplikasi sistem maklumat tanpa wayar dan sebagainya. Ini memberi kesan amat ketara dalam hubungan antara individu, kenegaraan, hubungan sosial, kewangan dan industri serta sebagainya. Mungkin akan timbul keraguan dari segi ketepatan dan kesahihan maklumat yang disebarkan. Begitu juga dengan penipuan yang sudah pun wujud melalui sistem internet dan keruntuhan moral dan sosial masyarakat akibat penyalahgunaan sistem yang sama.
2. Cabaran pemikiran dan budaya
Pemikiran dan pandangan beberapa individu dan sesetengah negara terutamanya negara maju yang lebih bersifat menjajah dan menakluk menjadi lebih dominan dalam alaf ini. Contoh seperti pemikiran globalisasi, pembelaan alam sekitar dan isu hak asasi manusia yang lebih subjektif sifatnya sehingga menimbulkan persengketaan dan perang mulut. Namun, masalah penerimaan dalam keterpaksaan terus berlaku kerana kesan ancaman politik dan ekonomi serta ketenteraan yang akan timbul kelak. Sementara pengaruh budaya lebih bersifat menjajah ekoran kebebasan dan pengaruh media dan teknologi maklumat.
3. Cabaran mental dan emosi
Cabaran ini adalah terlalu subjektif. Tetapi, dalam apa juga tamaddun dan kehidupan manusia, individu yang merasakan dirinya kekurangan, tidak mampu dan kurang upaya atau ketinggalan daripada individu dan masyarakat lain akan menerima tekanan mental dan emosi yang lebih hebat lagi. Seterusnya, tekanan mental dan emosi akan menjadi lebih ketara lagi apabila sesebuah tamaddun manusia itu semakin maju dalam pelbagai aspek kehidupan. Ini dapat dilihat dari status gejala sosial, seperti kes rompakan, peras ugut, pembunuhan dan bunuh diripenyalahgunaan dadah dan alkohol serta (penyakit mental), dan lain-lain.
4. Cabaran moral dan sosial
Daripada penilaian sejarah tamaddun manusia, daya tahan moral dan sosial manusia akan menjadi semakin pudar dengan bertambah majunya kehidupan mereka. Budaya keselesaan (complacency), individualistik dan materialistik lebih menguasai kehidupan mereka. Tahap kebergantungan kepada pemahaman moral dan keagamaan terus lusuh dan longgar. Ini dapat dibuktikan berikutan timbulnya beberapa gejala yang sememangnya dilarang keras oleh ajaran agama seperti perzinaan dan bersekedudukan, pembunuhan, arak dan alkohol, perjudian serta sebagainya.
Lantaran ini, menjadi tanggungjawab para belia kini untuk mendidik dan mempersediakan diri dengan pelbagai keupayaan yang ada. Tetapi bagaimanakah kaedah untuk mendapatkan persediaan yang benar-benar mantap? Mereka mestilah mengambil peluang yang sedia ada ini agar tidak menyesal di kemudian hari kerana menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna lagi.