Menurut al-Raysuni, maqasid al-syariah dimaksudkan sebagai beberapa matlamat yang ditetapkan syariah untuk dicapai demi maslahah manusia. Matlamat itu pula merujuk kepada perkara-perkara yang asas bagi kehidupan manusia di dunia dan akhirat, yang biasanya merujuk kepada lima perkara iaitu agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Ada juga sarjana atau tulisan berkisar maqasid yang turut meletakkan maruah atau kehormatan sebagai perkara-perkara yang perlu diberi penekanan sebagai tujuan pensyariatan agama Islam.
Apa pun bentuk pemerintahan yang memerintah dan mentadbir urus negara sudah tentu meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan. Dari sudut pemerintahan Islam, sudah tentu konsep maqasid al-syariah itu akan diletakkan sebagai titik tolak, neraca bahkan sasaran kerana kesejahteraan rakyat dari perspektif Islam berada dalam lingkungan maslahah ummah.
Maka agama Islam melalui para cendekiawan dan intelektual Islam telah membina satu disiplin yang dapat menjadi pembimbing kepada pihak pemerintah agar dapat memainkan peranan mereka secara efektif dan realistik, dan pada masa yang sama sentiasa berada dalam lunas-lunas syariah. Kaedah ini disebut sebagai siasah syar’iyyah.
Terdapat beberapa definisi siasah syar’iyyah yang diusulkan oleh para sarjana Islam. Antaranya Abdul Wahab Khallaf yang mendefinisikannya sebagai, “menjalankan tadbir urus awam terhadap negara Islam (dawlah Islamiyyah) dengan perkara yang membawa kebaikan kepada manusia dan mengelakkan kemudaratan daripada mereka, dalam keadaan tadbir urus itu tidak melanggar batas syarak walaupun ia tidak menepati pandangan imam-imam mazhab (atau dengan kata lain, walaupun dalam perkara yang tidak disepakati oleh ulama mujtahidin).”
Bagi mengguna pakai konsep siasah syar’iyyah dalam konteks negara secara praktikal, pertimbangan perlu juga dibuat dengan melihat latar belakang dan susur-galur sejarah kemasyarakatan dan pemerintahan negara. Tanah air ini dahulunya bersifat homogen; ditadbir oleh pemerintahan beraja; menerima syariat dan perundangan Islam secara agak komprehensif; dan dengan pengaruh adat resam Melayu yang kuat.
Sejarah negara ini telah menyaksikan episod penjajahan demi penjajahan yang diselusuri oleh raja dan rakyatnya yang kemudian mencapai kemerdekaan selepas siri-siri rundingan dengan kerajaan British. Akhirnya negara ini mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Walaupun berlaku perubahan terhadap sistem pemerintahan dan politik negara, pelaksanaan siasah syar’iyyah tetap mempunyai ruang yang tersendiri, dan hal ini mendapat tempat untuk dibincangkan dalam kalangan ahli akademik.
Dalam perjalanan politik negara, rakyat negara ini juga telah menyaksikan gelombang politik yang baharu walaupun kita masih mengekalkan sistem pemerintahan secara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Walaupun perubahan politik yang berlaku pada kali ini begitu terasa dan ketara tetapi pelaksanaan kaedah siasah syar’iyyah harus diberi tempat yang penting oleh pihak pemerintah, atau sekurang-kurangnya oleh kalangan politikus Muslim yang mewakili rakyat. Hal ini adalah kerana maslahah ‘ammah (kepentingan awam) rakyat merupakan fokus utama dalam mengguna pakaian kaedah siasah syar’iyyah.
Dalam membicarakan kaedah ini menariknya Abd Rahman Taj menyebut bahawa ia adalah kaedah fiqah yang berubah-ubah mengikut keadaan, masa dan persekitaran. Ia adalah pola-pola yang berubah disebabkan faktor persekitaran.
Prinsip-prinsip dalam siasah syar’iyyah bagi mempertahankan kepentingan umum ini perlu diserapkan ke dalam setiap dasar atau polisi yang diwujudkan dan dilaksanakan oleh pihak pemerintah. Oleh sebab maslahah itu bersifat dinamik dan universal, ia tidak hanya menyentuh isu-isu tertentu seperti undang-undang semata-mata, maka perhatian perlu diberikan kepada apa sahaja perkara yang menjadi soal kesejahteraan manusia dan masyarakat. Perkara yang membanggakan kita ialah prinsip-prinsip ini sebahagiannya telah pun dilaksanakan oleh pihak kerajaan, contohnya dalam soal kesihatan rakyat.
Tindakan dan keputusan kerajaan dalam menghadapi epidemik virus 2019-nCoV adalah sebahagian daripada siasah syar’iyyah. Ternyata dalam situasi ini pihak kerajaan telah berjaya melakukan tindakan yang cekap dan berkesan sehingga mendapat pujian daripada wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sekalipun pada awalnya fenomena ini telah menimbulkan kegusaran dan panik dalam kalangan masyarakat awam. Tindakan cekap oleh pihak kerajaan yang sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa menepati konteks maqasid al-syariah dalam perlindungan diri dan nyawa.
Contoh seterusnya yang boleh dilihat dari perspektif siasah syar’iyyah adalah tentang subsidi kos menunaikan ibadah haji kepada bakal haji secara muassasah. Dalam hal menunaikan ibadah haji, salah satu syarat untuk melaksanakannya ialah kemampuan oleh bakal haji. Perkara berkaitan dengan kemampuan ini perlulah dilihat dalam beberapa aspek termasuklah kos operasi yang perlu ditanggung oleh setiap individu bakal haji. Subsidi yang disuntik ke dalam kos pelaksanaan ibadah tersebut sebenarnya inisiatif pihak kerajaan yang boleh berubah dari semasa ke semasa. Perkara ini selari sebagaimana yang telah disebutkan oleh Abd Rahman Taj sebelum ini. Walaupun demikian sekiranya pada masa-masa akan datang pihak kerajaan merasakan subsidi ini perlu disemak semula dan diubah disebabkan faktor-faktor persekitaran, ia perlulah dilakukan secara hikmah dan mengambil kira kepentingan rakyat dari pelbagai aspek kerana ia telah pun dilaksanakan dalam tempoh yang lama sebelum ini.
Selanjutnya, sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini pemeliharaan maruah adalah sebahagian daripada maqasid al-syariah, dan siasah syar’iyyah adalah medium kepada maqasid al-syariah. Dalam sebuah Hadis daripada Abu Musa, Rasulullah SAW bersabda yang antaranya bermaksud, “Seorang mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan yang mana bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain.”
Antara pengajaran yang boleh diambil daripada mafhum hadis ini ialah setiap orang Muslim adalah bertanggungjawab untuk menjaga nama baiknya sebagai seorang Muslim, kerana jika ia cuai untuk menjaga nama baiknya, bukan sahaja ia telah merosakkan maruah dirinya tetapi reputasi umat Islam juga boleh menjadi rosak keseluruhannya. Ibarat setitik nila merosakkan susu sebelanga.
Apabila umat Islam negara ini terpaksa melalui pengalaman telah dimalukan oleh individu yang cuai untuk menjaga nama baiknya di tempat yang dimuliakan agama, maka pihak kerajaan perlu melihat semula prosedur yang berkaitan dan memperkemaskannya supaya ia tidak berlaku lagi. Apa pun masalah yang dihidapi oleh individu-individu tertentu, jika mereka berpotensi untuk mencemarkan maruah dan nama baik masyarakat Islam dan negara, ada baiknya mereka dihalang untuk meneruskan tujuan mereka kerana dalam syariah terdapat konsep sadd al-zara’ iaitu menyekat kemudaratan.
Siasah syar’iyyah boleh dirumuskan sebagai pendekatan atau jalan menuju kepada ketakwaan dalam urusan-urusan kehidupan yang tidak mempunyai nas-nas yang jelas. Ia penunjuk kepada keimanan supaya kehidupan kita sentiasa mendapat rahmah. Selari dengan maksud firman Allah SWT dalam ayat 156 surah al-A’raaf iaitu, “…dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu; Maka akan Aku menentukannya bagi orang-orang yang bertakwa, yang menunaikan zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.”