Banyak sekali yang diperkatakan tentang serangan ke atas negara Amerika. Satu serangan yang meranapkan menara berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York dan sebahagian bangunan Pentagon di Washington, yang merupakan kemegahan negara yang paling berkuasa, gagah dan canggih di dunia hari ini.
Dari hari pertama serangan itu berlaku sehingga ke saat ini, saya percaya media Barat akan terus menerus mendramakan ratapan dan tangisan kaum keluarga, sanak saudara, teman taulan dan seluruh rakyat negara Barat, tentang kehilangan dan kematian mangsa serangan Menara Kembar dan nadi pertahanan Amerika di Washington itu.
Suntingan berita, gambar-gambar mangsa yang mengerikan dan ungkapan kata yang memilukan hati serta esakan dan linangan air mata yang didramakan itu sesungguhnya amat menyayat hati dan menarik simpati sesiapa sahaja yang menonton gambaran sedih yang dipaparkan itu.
Saya merasa amat kagum dengan kecekapan penulis skrip berita dan para wartawan yang melaporkan berita-berita korban serangan ini, yang disiarkan secara berulang-ulang kali, yang amat menusuk ke dalam hati nurani manusia dan mengusik perasaan para penonton. Laporan itu juga mampu membawa semua orang di seluruh dunia ini akan berfikir bahawa inilah satu-satunya serangan kejam yang pernah berlaku dalam sejarah umat manusia dalam era moden ini.
Sebenarnya saya tidak sama sekali menafikan tentang kekejaman serangan tersebut yang mengorbankan banyak jiwa manusia yang tidak bersalah. Di sebalik serangan itu terdapat juga beberapa isu yang mungkin dapat didebatkan seterusnya. Namun atas alasan apa sahaja pun, serangan seperti itu tidak seharusnya berlaku di dalam sejarah tamadun manusia moden ini, sama ada di Barat atau di Timur, di Amerika atau di mana-mana sahaja.
Drama sedu-sedan kaum keluarga mangsa, ucapan-ucapan sedih yang meratapi kematian mangsa, ditambah pula dengan doa dan restu semasa diadakan acara sembahyang di merata-merata tempat, termasuk yang terakhirnya pada hari Ahad lepas di sebuah stadium yang besar dengan acara-acara yang memilukan, sesungguhnya amat membangkitkan emosi dan perasaan, apa lagi melihat ramai orang yang menangis tersedu-sedan dalam acara-acara itu.
Sebagai manusia, kita tentulah bersimpati dan merasa sedih dengan pengorbanan ribuan nyawa manusia dalam serangan kilat yang sekali gus menghancurkan nilai-nilai kemanusiaan dan memusnahkan imej kekebalan negara gagah perkasa itu.
Namun segala tangisan dan sedu-sedan yang didramakan di dalam media itu, maka sebenarnya kisah-kisah sedih itulah juga yang dialami oleh banyak umat manusia lain, di daerah dan di benua lain, iaitu yang berlaku di merata pelosok dunia yang kejam ini, bukan hanya di Amerika.
Apakah segala peristiwa yang dialami oleh rakyat Palestin saban hari dengan kematian anak-anak kecil dan orang tua serta ribuan nyawa manusia lain yang tidak berdosa itu tidak perlu diberikan perhatian dan ditangisi dengan sedih? Apakah nyawa mereka amat murah dan tidak berharga seperti nyawa orang-orang yang terkorban di New York dan Washington itu? Apakah senario kematian akibat bedilan peluru musuh, mereka yang kejam itu tidak dianggap ganas dan liar?
Serangan ke atas Amerika itu sebenarnya mengandungi banyak cerita simbolik yang perlu ditafsirkan di sebalik perbuatan ganas dan jahat. Ramai orang Barat sendiri yang mentafsirkannya sebagai satu serangan ke atas dasar Barat yang berunsurkan penjajahan, kapitalis dan konsumerisme. Seorang ahli Parlimen British melahirkan pandangannya bahawa usaha memerangi dan menangkap atau membunuh Osama bin Laden akan berakhir dengan kelahiran puluhan Osama yang lain, sekali pun Osama yang diburu itu akan dapat dimusnahkan dari muka bumi ini.
Apa yang cuba digambarkan oleh media Barat dan dibesar-besarkan tentang pembunuhan kejam ini nampaknya telah berjaya mencapai objektifnya, iaitu untuk menutup kelemahan sendiri dan meraih simpati dunia, terutamanya negara-negara Islam sendiri yang kebanyakannya masih bergantung kepada Barat yang kaya, kuat dan gagah perkasa itu.
Tumpahan air mata yang banyak digambarkan itu benar-benar menarik rasa belas kasihan seluruh manusia dari semua pelosok dunia, dan melupakan sama sekali lelehan air mata orang yang tidak berdosa di Iraq, Bosnia, Palestin dan orang malang dari negara lain yang lemah, mundur dan miskin.
Apakah air mata orang Barat itu pun sebenarnya lebih mahal dan lebih suci daripada air mata ibu-ibu yang kehilangan anak kecil di negara lain di tangan musuh mereka yang disokong oleh Barat.
Dari sudut yang lain, di sebalik drama dan sajak serta ungkapan bahasa yang indah dan menyayat hati itu, kita orang Islam sendiri haruslah mulai menyedari kembali tentang teori pertembungan tamadun dan budaya di antara Barat dan Islam. Teori ini perlu diperdebatkan semula dengan secara serius agar tamadun dan budaya kita tidak akan tenggelam di dalam pertembungan ini, apatah lagi dunia ini telah diberi takrif sebagai telur yang dibelah dua, sama ada kita akan termasuk dalam umat yang bertamadun bersama-sama dengan Amerika Syarikat, atau termasuk ke dalam golongan pengganas. Dengan itu golongan manusia ini tidak lagi akan menjadi umat pertengahan. Menyertai golongan yang menentang pengganas, atau menjadi golongan pengganas, sedangkan golongan yang menentang pengganas itu adalah diterajui oleh Barat.
Satu hal lain yang perlu dipolemikkan dengan meluas dalam masyarakat Islam ialah tentang erti perjuangan yang termasuk dalam gagasan jihad. Jihad tidak seharusnya disalahertikan sebegitu rupa, dan jihad tidak seharusnya termasuk dalam pengertian bahawa matlamat mengharuskan cara. Masyarakat Islam seharusnya dididik tentang kesalahan membunuh orang dan membunuh diri, kerana perbuatan ini nampaknya akan menjadi satu perkara yang lumrah dalam menterjemahkan perjuangan Islam mengikut pengertian jihad yang kabur itu.
Tegasnya kejadian serangan di Amerika yang biasanya hanya dapat dilihat di dalam filem-filem Hollywood, iaitu yang merupakan lakonan box office, sebenarnya mempunyai banyak hikmah dan cerita yang dapat dibaca dan dianalisis oleh semua pihak. Amerika dan sekutu-sekutu Baratnya tentu dapat membacanya dan mengetahui kenapakah serangan itu berlaku, dan negara-negara Islam yang berporak-poranda dan miskin ini pun dapat membacanya dari kaca matanya sendiri. Tetapi yang amat rumitnya, kedua-dua belah pihak tidak mahu menyatakan bacaan yang sebenarnya di sebalik peristiwa itu. Kedua-duanya tetap berselindung dan bermuka-muka.
Negara-negara Islam tidak mahu menyatakan pendirian dan sikap yang sebenar kerana takut, lemah, mundur, berpecah belah dan masih bergantung kepada negara maju. Negara Barat tidak mahu mengubah dasar luar dan penjajahan budayanya kerana tidak mahu tunduk kepada tekanan. Dengan itu nampaknya benarlah bahawa dunia ini penuh dengan sandiwara dan drama, dan manusia hanya akan menjadi pelakonnya sahaja.