Dari Solidariti ke Kepimpinan: Peranan Strategik Malaysia dalam Krisis Kemanusiaan Gaza
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ditubuhkan pada tahun 1969 sebagai respon kepada tragedi pembakaran Masjid Al-Aqsa. Peranannya kemudian dikembangkan bagi menjaga kepentingan umat Islam dan mempertahankan hak-hak mereka di pentas dunia. Namun, konflik kemanusiaan terburuk yang sedang berlaku di Gaza sejak Oktober 2023 telah memperlihatkan satu realiti pahit – ketiadaan kesepakatan OIC dalam menunjukkan tindakan yang bersatu, tegas dan berkesan. Meskipun rakyat Palestin menghadapi genosid yang dahsyat, kenyataan dan resolusi yang dikeluarkan kebanyakannya bersifat retorik, tanpa tindakan bersama yang nyata.