Tidak dapat dinafikan bahawa pada pandangan umum, Ramadan merupakan suatu bulan yang meletihkan dan melemahkan. Apa tidaknya, di bulan ini manusia dinafikan salah satu fitrah asasi yang selama ini memperkuatkan jasadnya dan meneruskan kelangsungan kehidupannya, iaitu makanan. Akibat dari penafian ini perut menjadi lapar, badan menjadi lemah dan banyak aktiviti yang perlu dikurangkan.
Namun, tiada siapa yang memaksa kita untuk melihat sesuatu hakikat hanya dari satu sudut sahaja. Lebih-lebih lagi apabila Tuhan mengurniakan kita akal fikiran untuk berfikir dan jiwa ruhani untuk merenung hakikat sesuatu dengan cara yang lebih mendalam dan melihat hikmah kebijaksanaan disebalik sesuatu hakikat kejadian termasuklah yang berkaitan dengan hakikat bulan Ramadan yang sedang kita lalui ini.
Ramadan dilihat melemahkan kerana kita hanya melihatnya dari sudut jasmani. Namun hakikat kejadian Allah tidak tertakluk kepada hakikat jasmani sahaja. Jika diteliti, manusia sendiri dijadikan Tuhan bukan sekadar sebagai makhluk jasmaniah.
Berdasarkan ajaran al-Qur’an, manusia merupakan makhluk dwi-fitrah yang dicipta berdasarkan dua unsur, roh dan jasad. Kedua-duanya, walaupun berkait rapat, dijadikan dari sumber dan unsur yang berbeza. Jasad dijadikan dari unsur tanah (al-Mu’minun 23:12) dan berasal dari air mani yang hina (al-Qiyamah 75:37), sementara roh merupakan hakikat halus dan tinggi yang ditiup terus dari Allah (al-Sad 38:72, al-Hijr 15:29). Roh adalah urusan Allah (al-Isra’ 17:85), justeru, hakikat dan rahsia ketinggiannya hanyalah berada pada ilmu Allah. Roh juga menurut al-Qur’an pernah mengangkat persaksian terhadap ketuhanan Allah sebelum ia digabungkan bersama dengan jasad dan diturunkan ke dunia ini. (al-A’raf 7:172)
Kedua-dua unsur yang membina manusia ini mempunyai kelebihan dan perlu disempurnakan. Jasad disempurnakan kelebihannya melalui makanan. Justeru itu Allah menciptakan juga pada manusia shahwat yang melaluinya manusia akan tergerak untuk mengisi keperluan jasad.
Sementara roh disempurnakan kelebihannya dengan menimba ilmu, mengingati Tuhan (zikr) dan melakukan amalan ibadah sesuai dengan peranan manusia sebagai hamba Allah yang harus tunduk kepada Allah. Matlamat akhir kesempurnaan roh ialah untuk mencapai ketaqwaan kepada Allah (al-Hujurat 49:13).
Apakah hubungan antara roh dan jasad? Ruh, menurut huraian para ulama’ berwibawa seperti Imam al-Ghazali, ialah raja yang memimpin keseluruhan jasad. Ia juga dikaitrapatkan dengan hati (qalbu) yang sebagaimana disebut dalam hadis, merupakan bahagian dalam diri manusia yang sekiranya ia berada dalam keadaan baik, maka baiklah keseluruhan jasad. Sebaliknya sekiranya ia rosak, rosaklah keseluruhan jasad. Kerosakan manusia bermula apabila roh dan hatinya tidak lagi berperanan sebagai pemimpin dan pemandu.
Satu lagi fitrah kejadian yang ciptakan Allah berkaitan roh dan jasad ialah kedua-duanya seringkali bertentangan dari segi arah tuju kewujudannya. Roh cenderung untuk ‘naik tinggi’ untuk menuju Penciptanya. Kedudukan roh yang tertinggi menurut al-Qur’an ialah yang kembali kepada Tuhannya dengan keadaan ia redha kepada Tuhannya dan ia di redhai (al-Fajr 89:28). Sementara fitrah jasad akan sentiasa menarik manusia ke bawah sesuai dengan asalnya dari tanah. Justeru itu, sekiranya keperluan jasad diberikan secara berlebihan, ia akan memberi kesan terhadap pembinaan roh dalam ertikata ia akan melambatkan proses untuk mengisi keperluan roh.
Sehubungan dengan itu, agama Islam mendisplinkan umatnya melalui ajaran Rasul untuk mereka berpada-pada dalam mengambil makanan. Sebuah hadis menyebut “Kami adalah kaum yang tidak akan makan sehingga kami lapar dan apabila kami makan, kami tidak akan (makan sehingga) kenyang.” Sementara Imam al-Ghazali memetik satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang mengatakan “sesungguhnya syaitan memasuki jasad manusia melalui saluran darah, maka hendaklah mereka mnyempitkan saluran darah mereka dengan berlapar.”
Kecintaan manusia terhadap makanan bukanlah satu rahsia. Sehubungan dengan itu, Ramadan merupakan bulan khusus yang ditentukan oleh agama bertujuan mendisiplinkan manusia untuk mengimbangi kerakusan manusia untuk mengisi keperluan jasad mereka. Selama sebulan manusia dinafikan hak dan fitrah mereka untuk makan sekurang-kurangnya pada sebahagian hari melalui ibadah puasa.
Maka dengan menjelangnya Ramadan, ia merupakan saat dan ketika yang memberi peluang kepada manusia untuk memperkukuhkan dimensi roh mereka yang merupakan hakikat dan intipati kepada kewujudannya. Dengan dinafikan hak jasad untuk mendapat kelebihannya buat sementara waktu, ia sebenarnya memberi ruang kepada roh untuk memperkukuhkan keadaan dan menyempurnakan kelebihannya. Dengan kata lain, lebih kuat roh seseorang akan lebih kuatlah kemanusiaannya. Ramadan adalah bulan yang menghidupkan dan memperkuatkan aspek sebenar manusia.
Justeru itu mereka yang melihat Ramadhan sekadar dari kaca mata jasmani, maka mereka akan terus kecewa kerana mereka melihat kepada dimensi yang sememangnya dibataskan oleh agama untuk memberi ruang dan peluang kepada pengukuhan roh manusia. Mereka harus menukar cara melihat Ramadhan melalui kaca mata iman dan akhirat. Sebab itulah hadis yang selalu diulang ketika Ramadhan ialah “Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh rasa iman dan muhasabah, maka akan diampunkan semua dosanya yang terdahulu.”
Kesimpulannya, Ramadan pada hakikatnya adalah bulan yang menghidupkan manusia berdasarkan hakikat berikut:
Pertama, kerana roh manusia adalah hakikat sebenar dirinya. Lebih kuat ruh seseorang, lebih hidup zat diri seseorang manusia.
Kedua, memandangkan kecenderungan fitrah roh dan jasad yang kadangkala bertentangan, keterlaluan melebihkan pengisian keperluan jasad akan melemahkan roh. Oleh yang demikian, puasa, walaupun memaksa jasad untuk tidak menikmati keperluan biasanya, sebenarnya dalam proses memperkuatkan roh.
Sekiranya ini benar-benar difahami, insyaallah, Ramadan akan menjadi bulan yang menghidupkan dan menginsankan.