Pada minggu ini saya menulis dalam tema serupa pada minggu lepas, iaitu tafsiran Perlembagaan. Pentafsiran Perlembagaan secara holistik dengan memberi pemberatan serupa kepada semua peruntukan Perlembagaan dan faktor semangat, sejarah dan niat Perlembagaan semasa penggubalannya adalah dua isu pokok dalam tulisan lepas.
Jika kembali kepada teori pentafsiran Perlembagaan, terdapat lima panduan utama dalam pentafsiran Perlembagaan. Panduan tersebut ialah, (1) teks dan struktur Perlembagaan; (2) niat semua mereka yang terlibat dalam penggubalan; (3) keputusan atau penghakiman terdahulu; (4) kesan atau akibat ke atas hal berkaitan sosial, politik dan ekonomi sekiranya mahkamah membuat tafsiran alternatif, dan terakhir, ialah (5) Undang-undang semula jadi, iaitu tafsiran yang mengambil pendekatan agama atau ketuhanan.
Tiga pertama panduan pentafsiran di atas dipersetujui oleh cerdik pandai pemikir Perlembagaan. Namun, mereka berselisih pendapat mengenai pemberatan kepada ketiga-tiga itu.
Bagi panduan keempat, ada ahli Perlembagaan yang mencadangkan bahawa ia tidak relevan. Hujah yang dikemukakan ialah Perlembagaan harus ditafsir sebagaimana ia ditulis dan faktor di luar Perlembagaan tidak eprlu diambil kira. Bagi negara-negara yang tidak mementingkan kedudukan agama, panduan kelima sudah tidak lagi diterima sebagai panduan tafsiran, walaupun niat asal semasa Perlembagaan meletakkan kepentingan peraturan agama itu.
Dalam teori tafsiran Perlembagaan, mereka yang menyokong panduan teks, struktur dan niat Perlembagaan itu biasanya dipanggil “originalists” dan mereka yang memberatkan keputusan penghakiman terdahulu, kesan tafsiran ke atas sosial, politik serta ekonomi dan menerima peraturan agama dikenali sebagai “bukan originalists.” Bagi negara kita pelabelan ini mungkin tidak begitu relevan kerana kelima-lima panduan itu masih relevan.
Setiap peruntukan Perlembagaan kita hendaklah dibaca secara serentak dengan memberikan niat dan semangat asal semasa penggubalannya. Pada masa sama, sebagai sebuah Perlembagaan yang dibentuk atas kerjasama, toleransi dan muhibbah, kesan tafsiran Perlembagaan ke atas keadaan sosial, politik dan ekonomi juga hendaklah diberi pertimbangan. Begitu juga dengan kedudukan peraturan agama. Agama sehingga kini masih kekal elemen penting yang termaktub dalam Perlembagaan.
Sekiranya pendekatan kembali kepada teks dan struktur Perlembagaan serta pendekatan niat Perelmbagaan tidak dapat menyelesaikan masalah pentafsrian, maka tiga panduan lain, iaitu keputusan kehakiman sebelumnya, kesan tafsiran dan peranan peraturan agama hendaklah di ambil kira.
Oleh itu, dalam mentafsir Perlembagaan negara, kita tidak boleh mengenepikan mana-mana panduan tafsiran di atas kerana Perlembagaan kita mempunyai elemen-elemen tertentu yang memagari serta membentuk masyarakat kita. Kita mempunyai sejarah Perlembagaan; kita mempunyai dokumen-dokumen sejarah Perlembagaan yang boleh memberikan panduan dalam mentafsir Perlembagaan dan seterusnya kita juga mempunyai agama dalam undang-undang tertinggi ini.
Adalah diakui bahawa tidak mudah untuk menerima panduan-panduan pentafsrian ini kerana adakalanya setiap satu boleh menzahirkan kesan yang berbeza. Dalam keadaan ini, keutamaan hendaklah dipilih oleh mahkamah yang diberikan amanah menjaga Perlembagaan. Sebagai penjaga kepada Perlembagaan, mahkamah hendaklah sentiasa bijaksana dalam mengimbangi panduan-panduan tafsiran tersebut.
Adalah juga peranan mahkamah untuk memberikan hujah-hujah yang mantap dan bijaksana dalam membezakan niat, teks dan struktur perlembagaan sekiranya mahkamah mahu memberi pemberatan kepada tafsiran alternatif, terutamannya kesan pentafsiran Perlembagaan ke atas sosial, ekonomi atau politik, contohnya. Dengan kata lain, mahkamah hendaklah memberi justifikasi untuk menjelaskan pemberatan kepada mana-mana satu panduan tafsiran yang dipilihnya.
Selain itu, Perlembagaan kita mempunyai gabungan peruntukan fleksibel dan rigid. Perlembagaan kita juga agak terperinci. Apabila peruntukan itu fleksibel, ia boleh ditafsir untuk kesesuaian keadaan tanpa perlu merujuk kepada niat dan struktur Perlembagaan. Sifat fleksibel Perlembagaan ini membolehkan ia disesuaikan dengan perubahan dan kehendak semasa berbanding ketika ia mula digubal. Namun, bagi peruntukan Perlembagaan yang rigid, ia membolehkan kita mengekalkan niat dan semangat Perlembagaan sebagaimana teks dan strukturnya.
Tidak ada peruntukan Perlembagaan yang menyebut bahawa ia perlu ditafsir secara anjal atau terhad. Oleh itu, ia amat bergantung kepada kebijaksanaan mahkamah dalam menentukan panduan tafsiran yang perlu diambil perhatian mengikut kesusaian bagi mengekalkan yang rigid dan meraikan yang fleksibel dan sekaligus mengekalkan jatidiri negara.