Sudah sering dikongsikan senarai kemahiran (skills) yang diperlukan bagi melayari arus perubahan pada abad ke–21 ini.
Antara yang kerap menarik perhatian adalah senarai yang dikemukakan secara berkala oleh WEF, Forum Ekonomi Sedunia (World Economic Forum).
Senarai yang dikeluarkan oleh WEF pada 2020 mempunyai susunan kepentingan seperti berikut: (1) penyelesaian masalah yang rumit (complex problem solving); (2) pemikiran kritis (critical thinking); (3) reka-cipta (creativity); (4) pengurusan manusia (people management); (5) penyelarasan hubungan dengan yang lain (coordinating with others); (6) kecerdasan emosi (emotional intelligence); (7) penilaian dan pembuatan keputusan (judgment and decision making); (8) semangat berkhidmat (service orientation); (9) perundingan (negotiation); dan (10) keanjalan akliah (cognitive flexibility).
Apabila dibandingkan dengan senarai yang dikemukakan oleh WEF pada tahun 2015, meskipun terdapat beberapa perbezaan dari segi susunan dan butiran, yang menarik secara umumnya pada kedua-dua senarai tersebut adalah ketaranya kepentingan keterampilan yang berkaitan secara langsung dengan kemampuan akliah insan, khasnya perkara 1, 2, 3, 7 dan 10 di atas, dalam mengharungi cabaran-cabaran abad ini.
Senarai yang dikemukakan oleh WEF dan badan-badan seumpamanya di Barat itu pasti sangat dipengaruhi oleh kerangka fahaman, sudut pandang dan pengalaman mereka, sebahagiannya dapat kita terima manakala sebahagiannya pula perlu disaring terlebih dahulu, jika pun tidak ditolak mentah-mentah.
Berkenaan kesedaran perihal kepentingan akal dan keupayaan akliah, Umat Islam sebenarnya tidak perlu menunggu senarai sebegitu dikeluarkan oleh pihak asing.
Ini kerana Islam sudah dari sejak awal menekankan keutamaan akal sepanjang masa, baik dalam kehidupan beragama mahupun dalam mengurus kehidupan duniawi masing-masing.
Penekanan sedemikian tidak pula bermakna bahawa kefahaman tentang akal dan kemampuan akliah dalam Islam sama dari segenap segi dengan apa yang dimaksudkan dalam Tamadun Barat.
Yang jelas, sebagaimana yang telah diterangkan oleh ramai para alim-ulama berpandukan ajaran al-Quran dan Hadis Baginda Nabi SAW, akal dalam Islam berkait erat dengan roh insan.
Malah, akal sesungguhnya salah satu gelaran atau nama bagi roh.
Ini bersalahan dengan apa yang kini dimaksudkan dengan minda (mind) di Barat, ekoran proses pensekularan yang berlaku dalam kalangan masyarakat terpelajar mereka sejak dari abad ke–17M.
Minda dalam fahaman mereka kini sama ada sudah disempitkan menjadi seerti dengan otak, iaitu satu bahagian jasad insan, ataupun diturunkan taraf kepada perkara epiphenomenal, yakni suatu perkara yang timbul dari sesuatu yang jasmani (otak, misalnya) tetapi tidak bersifat jasmani dan tidak pula bersifat rohani.
Justeru, sangat penting bagi orang-orang Islam kini untuk fahami semula bahawa roh insan turut digelar “akal” kerana roh tersebut giat melakukan tindakan yang menepati erti asal kata ‘a-qa-la dalam Bahasa Arab.
Pada dasarnya, kata tersebut bermaksud “mengikat” (rabt) dan “menahan” (kaff atau imsak).
Roh insan mendapat gelaran itu kerana ia memiliki kemampuan untuk mengikat dan menahan sekurang-kurangnya dalam dua keadaan yang saling berkaitan.
Dalam keadaan pertama, roh tersebut berkemampuan menambat (1) kata dengan kata; (2) kata dengan buah fikiran (idea); dan (3) buah fikiran dengan buah fikiran, ketiga-tiganya dikaitkan pula dengan satu-satu hakikat atau kejadian, baik hakikat itu di luar diri insan mahupun pada dirinya.
Dengan ikatan sedemikian, iaitu melalui tambatan yang berlaku dalam diri insan (inner self), maka roh insan itu dapat menahan buah fikiran sama ada daripada terungkai dari simpulan ingatan dan kefahamannya, ataupun daripada hilang dari tumpuan akal-fikirannya.
Kegiatan roh dalam keadaan di atas itu juga pada amnya dinamakan fikir (fikr) atau tafakkur.
Rangkaian fahaman yang terhasil daripada ikatan rohaniah (atau simpulan dalam diri) di atas itu sesungguhnya membentuk satu kerangka pandang akliah atau bingkai renungan rohaniah, yang diistilahkan dalam bahasa Arab sebagai basirah atau ru’yah.
Tatkala kerangka pandang demikian dipusatkan kepada pemerihalan perkara-perkara penting dan mendasar dalam kehidupan seseorang, maka kerangka tersebut dirujuk kini sebagai worldview dan ada ketikanya sebagai mindset.
Justeru, dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu, kita kerap kali menganjurkan renungan atau pandangan dengan “mata hati,” bagi membezakannya daripada pandangan yang berpandukan “mata kepala” atau “mata kasar” semata-mata, iaitu pandangan zahir yang dirujuk dalam bahasa Arab sebagai basar.
Dalam keadaan kedua, roh yang sama juga mempunyai kemampuan untuk mengikat jasad insan dari terjerumus dalam perbuatan-perbuatan dan keadaan-keadaan yang tidak baik yang akhirnya memudaratkan dirinya.
Ini sesungguhnya maksud “daya kawal diri” (self-control atau self-restraint) yang menjadi asas pembentukan keperibadian (character) seseorang insan.
Lazimnya, daya sedemikian terbit daripada ilmu dan kefahaman yang terpupuk baik dalam diri seorang insan yang sebenarnya berkait pula dengan keadaan pertama roh yang telah diterangkan secara ringkas di atas.
Semua ini, bersekali dengan pelbagai huraian susulan yang berikut daripadanya, perlu diketengahkan semula kepada khalayak terpelajar Muslim agar mereka terpandu dalam menyediakan satu counter narrative terhadap agenda atau kerangka berkenaan akal dan keupayaan akliah yang ditawarkan oleh Peradaban Barat. Dengan cara ini, akal Muslim tidak lagi menjadi pak turut kepada apa sahaja yang dimuntahkan kepada mereka daripada sumber as