“Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri….”
Lirik lagu dendangan Biduanita Saloma ini menggambarkan bahawa dalam dunia perkahwinan atau rumah tangga selisih faham antara suami isteri itu sesuatu yang lumrah. Yang membezakan antara satu pasangan dengan pasangan yang lain adalah pendekatan yang akan dipilih oleh individu atau pasangan berkenaan. Ada pasangan yang boleh bertolak-ansur serta bersabar dan keharmonian dapat dikembalikan dengan mudah. Sebagaimana dalam lirik lagu berkenaan menyebut, “Buang yang keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi.”
Benarlah sebagaimana yang disebut lagu ini dalam liriknya bahawa keharmonian dan kejernihan dalam hubungan rumah tangga sebenarnya boleh memberi keteguhan dalam keperibadian seseorang sebagai pasangan. Barangkali juga ia memberi mesej bahawa sikap seseorang yang suka mengusahakan keadaan kembali menjadi jernih dalam hubungan suami isteri menggambarkan pasangan yang mempunyai personaliti yang teguh.
Sebaliknya wujud pasangan suami isteri yang sukar bekerjasama untuk membina keharmonian dalam rumah tangga, sama ada salah seorang ataupun kedua-duanya. Hal ini mengakibatkan kedua-duanya sukar melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai suami isteri bahkan sebagai ibu bapa kepada anak-anak yang wujud dalam perkahwinan.
Terdapat banyak sebab kepada wujudnya konflik suami isteri. Antaranya ialah nusyuz di pihak isteri atau suami berbuat kezaliman terhadap isterinya; suka berbohong atau mengelak daripada bercakap benar; suami atau isteri tidak melaksanakan peranan dengan penuh tanggungjawab atau melepaskan kewajipannya kepada pihak satu lagi; membuat tuduhan secara melulu terhadap pasangan; dan suami atau isteri meninggalkan pasangan atau rumah kediaman tanpa sebab yang nyata. Dalam hal ini orang ketiga juga boleh menjadi punca kepada keretakan rumah tangga, dan pihak ketiga juga boleh memburukkan lagi situasi mencabar yang dihadapi oleh suami isteri. Konflik yang berpanjangan antara suami isteri disebut sebagai syiqaq, sekiranya tidak diselesaikan atau dirawat maka rumah tangga tersebut akan mengalami kehancuran, dan berakhir dengan peNceraian.
Syiqaq dan pertelingkahan dalam perkahwinan merupakan fasa permusuhan atau “peperangan” suami isteri. Sebenarnya fasa ini adalah tahap yang amat mencabar bagi setiap individu (pasangan) untuk mengawal emosi dan bersikap rasional. Rasa tidak puas hati serta sakit, benci dan dendam berbaur-baur dalam jiwa. Dalam kehidupan hari ini dengan media sosial boleh diibaratkan sebagai jendela terbuka yang boleh memperlihatkan setiap aktiviti kita kepada orang lain, di mana-mana kita mudah mendapati penghuni dunia maya yang berkongsi rasa secara terbuka. Kita juga mudah melihat pasangan yang berkonflik, menjadikan media massa sebagai gelanggang pertempuran antara mereka. Malangnya bertempur dan berperang di media sosial tidak akan memenangkan sesiapa kecuali kepada pihak yang hanya mendiamkan diri, dan tidak membalas serangan-serangan yang dilemparkan oleh pihak satu lagi.
Usah sesekali menganggap bahawa media sosial adalah forum yang boleh digunakan untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pasangan. Idea sebegini sebenarnya kurang tepat dan akan hanya memerangkap diri sendiri, kecualilah sekiranya berlaku penganiayaan yang melampau bagi mendapatkan pertolongan daripada orang awam. Setiap individu yang menghadapi masalah rumah tangga perlu berfikir secara objektif bagi mendapat penyelesaian yang tepat untuk dirinya. Sebagai contoh, apakah sebenarnya yang ia mahukan sebagai penyelesaian apabila mendapati pasangannya curang? Adakah dengan menguar-uarkan kecurangan pasangan yang disertakan dengan pelbagai bukti kecurangan di media sosial, masalah beliau boleh selesai?
Sebenarnya amat tidak wajar mendedahkan bahan-bahan bukti untuk dikongsi di media sosial. Warga maya mempunyai tahap pendidikan, latar belakang dan dinamika pemikiran yang pelbagai yang akan menghasilkan bermacam-macam maklum balas dan persepsi, serta tidak mustahil reaksi yang akan diberi oleh warga maya adalah sesuatu yang langsung tidak terduga oleh sesiapa.
Apabila berlaku salah faham, pertelingkahan dan syiqaq antara suami isteri, kaedah yang paling tepat adalah dengan merujuk agensi, badan atau golongan profesional dalam bidang berkaitan. Masalah pasangan nusyuz atau curang; suami culas membayar nafkah isteri atau anak; suka berfoya-foya; memanipulasi harta pihak satu lagi; pasangan yang cenderung dengan jantina sejenis seperti lesbian atau gay; pasangan tidur berdengkur hingga mengganggu tidur pihak satu lagi; dan seribu satu bentuk kesalahan sebenarnya tidak perlu dan tidak bijaksana dinyatakan dalam media sosial secara terbuka.
Begitulah keadaannya apabila pasangan mempunyai aib tertentu yang hanya pihak satu lagi tahu, atau hanya kalangan ahli keluarga yang maklum berkenaan dengan keaiban tersebut. Aib tersebut wajib disimpan dan dirahsiakan oleh pasangan, tetapi sekiranya aib berkenaan ternyata menjejaskan kesejahteraan hidup berumah tangga, maka aib tersebut bolehlah dinyatakan di hadapan hakim dengan tatacara dan prosedur tertentu bagi mencapai matlamat yang dihasratkan.
Permusuhan dan persengketaan yang berlaku oleh pasangan, tidak perlu didedahkan secara terbuka kerana penceraian boleh sahaja dilakukan di dalam kamar hakim dalam keadaan yang tertutup. Mendedahkan keburukan pasangan sama ada ia benar apatah lagi tidak benar hanya memaparkan kelakuan dan akhlak buruk pelakunya. Kita juga perlu menjadi individu yang celik undang-undang, kerana setiap individu di negara ini dilindungi daripada ancaman fitnah melalui undang-undang seperti Kanun Keseksaan, Akta Fitnah 1957 (Akta 286) dan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Kesejahteraan hidup tentunya akan terus terpelihara sekiranya masalah yang dihadapi diselesaikan mengikut saluran yang betul.