Isu pensijilan halal bukan sekadar persoalan teknikal dalam perdagangan atau piawaian produk, tetapi merupakan satu dimensi utama dalam identiti negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang bermasyarakat majmuk. Paling penting, dalam konteks semasa, pensijilan halal adalah lambang kepada nilai agama Islam bagi menyatakan bahawa sesuatu perkara itu sah dan sesuai untuk digunakan, dimakan, dibuat, atau diamalkan tanpa menyalahi aturan agama.
Maka, apabila dalam rundingan tarif dengan Amerika Syarikat berlaku cubaan untuk meliberalisasikan standard halal, ini bukan sahaja soal perdagangan — tetapi juga memperlihatkan satu babak penting dalam soal menjaga maruah negara dan mempertahan kedaulatan Islam.
Segalanya bermula apabila Amerika Syarikat, dalam laporan tahunan 2025 “National Trade Estimate Report on Foreign Trade Barriers” antara lain melabelkan standard halal Malaysia, serta keperluan ekuiti Bumiputera dalam syarikat asing, sebagai “halangan dagangan” utama. Susulan itu, Amerika Syarikat mengenakan tarif balasan sebanyak 24% ke atas pelbagai import dari Malaysia – satu langkah yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengeksport tempatan kerana Amerika adalah rakan dagangan utama negara.
Antara tekanan Amerika kepada Malaysia ialah cadangan supaya negara melonggarkan piawaian halal dan mengiktiraf sijil halal yang dikeluarkan oleh badan pensijilan di Amerika tanpa meneliti standardnya. Bagi kerajaan Amerika, keperluan pensijilan halal yang ketat yang diterapkan Malaysia merupakan cabaran kepada akses pasaran yang adil. Namun, bagi kerajaan Malaysia, perkara ini adalah “garisan merah” yang langsung tidak boleh dirunding kerana membabitkan maruah negara dan kepentingan ummah.
Amerika Syarikat mencadangkan bahawa Malaysia harus melonggarkan piawaian halal supaya sijil pensijilan halal yang dikeluarkan oleh badan-badan di Amerika – tanpa audit rapi oleh JAKIM – juga boleh diterima masuk ke pasaran Malaysia. Cadangan ini jika dilaksanakan berisiko menggugat integriti pensijilan halal Malaysia, dan membuka ruang bagi produk yang tidak memenuhi piawaian syariah sebenar memasuki pasaran negara.
Namun kerajaan Malaysia dengan jelas menyuarakan pendirian prinsip: piawaian halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah tidak boleh dikompromi dan tetap menjadi kawalan utama. Rundingan ini juga menyaksikan penguatkuasaan prosedur baru, di mana badan pengesahan halal di Amerika Syarikat yang telah menjalani audit dan pengiktirafan ketat oleh JAKIM adalah dibenarkan mengeluarkan sijil halal bagi tujuan eksport ke Malaysia. Ini mempercepat proses tanpa menjejaskan piawaian halal Malaysia.
Kepentingan Mempertahankan Standard Halal: Perspektif Agama
Halal adalah satu konsep yang menjadi pegangan hidup bagi umat Islam, yang bukan sahaja merangkumi aspek makanan dan minuman tetapi juga cara hidup, pengurusan, dan perdagangan. Dalam Islam, memastikan makanan dan produk yang digunakan adalah halal adalah wajib kerana ia berkait rapat dengan soal ibadah, ketakwaan dan ketaatan kepada syariat.
JAKIM sebagai agensi utama negara mempunyai mandat untuk memastikan sesuatu produk halal memenuhi standard syariah secara menyeluruh. Proses pensijilan halal yang dilakukan adalah menyeluruh dan rapi, merangkumi sumber bahan mentah, proses penyembelihan mengikut tuntutan Islam, pengurusan kebersihan, kawalan penyimpanan dan pengedaran.
Sebarang kompromi dalam piawaian ini berpotensi menimbulkan keraguan dan was-was kepada umat Islam terhadap status halal produk tersebut. Risiko ini akan menghancurkan kepercayaan masyarakat Muslim yang berpegang teguh pada nilai agama, dan seterusnya boleh menjurus kepada masalah sosial dan ketegangan dalam masyarakat.
Malaysia dilihat sebagai mercu tanda pensijilan halal yang diyakini tidak hanya di Malaysia tetapi juga oleh negara Islam lain di peringkat global. Oleh itu, mempertahankan piawaian halal bukan sahaja soal agama domestik tetapi juga imej dan pengaruh Islam Malaysia di arena antarabangsa.
Kepentingan Standard Halal dalam Dimensi Ekonomi
Dari segi ekonomi, industri halal kini adalah antara sektor yang berkembang paling pesat di dunia. Beberapa kajian menunjukkan bahawa nilai pasaran halal global telah melepasi AS$2 trilion. Menjelang 2030 pula, saiz pasaran halal global berpotensi berkembang sehingga AS$5 trillion. Peningkatan ini ada kaitan dengan peningkatan permintaan yang meluas serta berterusan dari negara-negara Islam dan bukan Islam yang memandang serius aspek kebersihan dan kualiti dalam kehidupan seharian.
Malaysia menguasai kedudukan strategik sebagai hab halal global yang dipercayai melalui kepakaran pengawalan piawaian tinggi oleh JAKIM. Sijil halal Malaysia diterima secara meluas di Timur Tengah, Asia Selatan, dan pasaran Barat seperti Amerika Utara dan Eropah.
Sekiranya Malaysia mengendurkan kawalan halal, ini bukan sahaja akan melemahkan reputasi halal di Malaysia, malah akan merugikan pengeluar yang telah melabur besar dalam memastikan produk yang dihasilkan memenuhi standard ketat. Selain itu, peluang eksport bernilai berbilion ringgit boleh lesap kerana kita kehilangan kelebihan persaingan di pasaran global yang sangat kompetitif.
Dengan sistem pensijilan halal yang kukuh dan terintegrasi, produk makanan, kosmetik, farmaseutikal, dan pelbagai produk lain yang dikeluarkan oleh pengusaha Malaysia dapat meraih keyakinan yang tinggi daripada masyarakat pengguna dan ini memudahkan produk-produk tersebut menembusi pasaran antarabangsa.
Perubahan Prosedur: Kecekapan Tanpa Mengorbankan Ketegasan
Satu kemenangan penting dalam rundingan ini ialah Malaysia berjaya memperhalusi prosedur pensijilan halal agar lebih cekap dan pantas. Dengan membenarkan sijil halal dikeluarkan oleh badan pengesahan halal di Amerika Syarikat yang diiktiraf oleh JAKIM, proses perdagangan dapat dipercepatkan tanpa menjejaskan kawalan mutu.
Pendekatan ini membolehkan pengeluar Amerika meluluskan sijil halal mereka dengan lebih cepat dan menjimatkan masa serta kos proses eksport. Pada masa sama, JAKIM mempertahankan pengawasan dan audit ketat sebagai garisan akhir memastikan kesahihan dan integriti setiap sijil halal.
Ini menunjukkan Malaysia bersikap pragmatik dan inovatif dalam menangani cabaran era globalisasi dan perdagangan moden, tanpa melepaskan pegangan teguh terhadap prinsip agama dan piawaian nasional.
Kejayaan Malaysia mengekalkan piawaian halal dalam perundingan yang kompleks dengan Amerika Syarikat adalah contoh terbaik bagaimana negara berprinsip mampu berdiri teguh dalam era perdagangan dunia yang penuh cabaran. Ia adalah kemenangan ketegasan mempertahankan nilai agama sambil mengadaptasi inovasi proses yang memudahkan urusan perdagangan.
Malaysia bukan sahaja menjaga maruah agama dan identiti nasional, malah terus memperkukuh sektor ekonomi halal yang menjadi tunjang pertumbuhan dan peluang masa depan. Dalam dimensi sosial, piawaian halal yang kekal konsisten membantu menjaga keharmonian dan kepercayaan rakyat berbilang kaum.
Harapan kita ialah masyarakat pengusaha, pengguna dan kerajaan terus berganding bahu memelihara standard halal Malaysia. Cabaran pasti ada, namun dengan komitmen, inovasi dan pengawasan berterusan, Malaysia akan terus menjadi peneraju halal global yang disegani, membuktikan bahawa prinsip, kecekapan, dan kemajuan boleh berjalan seiring demi kebaikan bersama.