Dalam program kesihatan mental anjuran IKIM baru-baru ini, penulis mendapati ada beberapa kes rumahtangga yang jelas terlihat kesan dan pengaruh fahaman feminisme Barat dalam kalangan sesetengah wanita Islam di negara kita ini. Adalah diharapkan kes sebegitu hanyalah terpencil dan belum meluas lagi, namun kita tidak boleh berpeluk dada kerana sekiranya tidak dibendung akan mampu menjadi parah. Hanya melalui satu kajian lebih menyeluruh di lapangan baharulah akan diketahui hakikat sebenar trend ini.
Faham Feminisme moden muncul di Barat sebagai gerakan membela wanita daripada penindasan patriarki dan sistem sosial yang berat sebelah. Ia menuntut kesamarataan hak dalam politik, ekonomi, dan juga institusi keluarga. Dalam konteks rumahtangga, feminisme menolak konsep kepimpinan lelaki seperti dalam ajaran Islam (qiwāmah – rijalul Qawwam) dan menegaskan bahawa suami dan isteri mesti berkongsi hak serta tanggungjawab secara sama rata tanpa perbezaan peranan. Daripada perspektif Islam, tuntutan kaum feminisme ini ternyata tidak selari dengan peranan yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Sebelum kurun ke-19, wanita Barat dipandang hina dan hanyalah sebagai tempat lelaki memuaskan nafsu; melahirkan anak dan mengurus rumahtangga atau sebagai ibu dan isteri sahaja tanpa ada peranan langsung dalam masyarakat. Kemudian mereka dibenarkan bekerja namun terhad kepada sekadar menjadi jururawat menguruskan pesakit, guru dan peranan-peranan yang lain. Dari segi upah pula, mereka diberi upah jauh lebih rendah berbanding lelaki.
Berbeda dengan Islam, sejak kedatangan Islam seawal abad ke-7 lagi, seawal itu jugalah Islam mengangkat dan menghormati maruah wanita dan meletakkan mereka kepada martabat yang tinggi. Islam tidak menolak hak wanita, malah agama inilah yang mula-mula mengangkat martabat mereka sebagai insan yang berakal, berhak memiliki harta, memberi persetujuan nikah, dan mendapat ganjaran amal yang setara di sisi Allah. Namun, Islam tidak menganggap kesamarataan mutlak sebagai bentuk keadilan. Islam menilai keadilan berdasarkan fitrah, tanggungjawab, dan kedudukan setiap pihak dalam kerangka Syariah. Namun malangnya faham feminisme Barat menolak perbezaan peranan dalam rumahtangga seperti mana anjuran Islam itu tadi. Sikap sebegini ternyata bertentangan dengan prinsip asas Islam yang berteraskan tawḥīd dan adab.
Feminisme moden berpaksikan falsafah liberal-sekular yang menjadikan kebebasan individu sebagai nilai tertinggi. Ia memisahkan agama daripada kehidupan sosial dan menilai keadilan semata-mata berdasarkan hak individu tanpa mengambil kira hikmah penciptaan dan wahyu Tuhan. Dalam kerangka ini, sebarang perbezaan peranan dianggap diskriminasi, walaupun perbezaan itu berpunca daripada sifat biologi atau tanggungjawab semula jadi.
Sebaliknya, Islam berpaksikan tauhid, iaitu pengakuan bahawa seluruh kehidupan — termasuk hubungan lelaki dan perempuan — tunduk kepada hukum Allah Yang Maha Esa. Dalam sistem tauhid, keadilan bukanlah kesamarataan mutlak (absolute equality), tetapi “meletakkan sesuatu kena pada tempatnya” Prof. DiRaja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan dalam bukunya Islam and Secularism perihal “ketiadaan adab” (loss of adab) kerana berleluasanya “kezaliman,” iaitu meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya yang sebenar. Sedangkan “keadilan ialah menempatkan sesuatu pada tempatnya yang benar” “Tempat” yang dimaksudkan harus difahami bukan sekadar dalam bentuk hakiki, fizikal atau spatial semata; tetapi juga “tempat” dalam aturan hierarki dan martabat yang abstrak atau maknawi. Seperti mana seorang anak lelaki tidak dipakaikan tudung atau baju kurung; atau anak perempuan dipakaikan songkok dan baju Melayu kerana itu tidak bertepatan dengan tempat sokong/tudung secara fizikalnya; begitu jugalah peranan lelaki dan perempuan itu juga tidak sama dalam kehidupan ini dari segi kedudukan martabatnya, lebih-lebih lagi dalam sebuah rumahtangga. Oleh itu, menyamakan peranan lelaki dan perempuan tanpa mengambil kira fitrah masing-masing adalah bentuk ketidakadilan (injustice) menurut pandangan Islam yang menyimpang dari segi martabat kedudukannya yang sebenar.
Menolak Kepimpinan (Qiwamah) Lelaki
Golongan feminis mendakwa konsep “lelaki sebagai pemimpin” (al-Nisā’, 4:34) bersifat patriarki dan menindas wanita. Mereka menafsirkan kepimpinan ini sebagai dominasi kuasa. Namun, tafsir Islam klasik seperti al-Qurṭubī dan al-Rāzī menjelaskan bahawa kepimpinan (qiwāmah – Rijalul Qawwam)ialah tanggungjawab, bukan keistimewaan. Ia berasaskan dua sebab:
- Allah menganugerahkan kelebihan semula jadi dari segi biologi lelaki (kekuatan, kemampuan bekerja);
- Lelaki dipertanggungjawabkan menanggung nafkah dan perlindungan terhadap keluarga.
Menolak qiwāmah lelaki bermakna menolak struktur amanah kepertanggungjawaban yang ditetapkan Allah — seolah-olah manusia lebih tahu daripada Pencipta. Walaupun mungkin ada sesetengah wanita pada hari ini yang turut mempunyai pelbagai kelebihan seperti fizikal lebih kuat daripada lelaki; atau ilmu dan kelulusan; atau pangkat dan bergaji lebih besar daripada suami, itu semua tidak menjadikan mereka berhak menuntut menjadi pemimpin dalam sebuah rumahtangga. Ada sesetengah wanita hari ini hanya kerana sudah memiliki pendapatan dan pangkat yang lebih tinggi daripada suami, mengambil tindakan memfailkan perceraian kerana merasakan sudah boleh berdikari dan tidak lagi memerlukan seorang suami di sisi. Adakah sejahil itu fahaman mereka ini terhadap peranan suami dalam sebuah rumahtangga hanya dalam menyediakan wang ringgit?
Dalam masa yang sama wanita juga tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya sekiranya para suami tidak menjalankan peranan mereka sebagai suami, dengan tidak menyediakan nafkah wajib dalam sebuah keluarga. Ulama, khususnya mufassir menyebut bahawa bagi lelaki yang sedemikian maka sifat amanah kepimpinan qiwamah (Rijalul Qawwam) itu dengan sendirinya tergugur. Golongan terpengaruh dengan faham feminis hari ini tidak memiliki kepercayaan terhadap keberkatan sebuah rumahtangga dan kemuliaan seorang suami, sedangkan Baginda SAW pernah bersabda, bermaksud: “Jika aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku akan memerintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya….” (hadis riwayat Imam Tirmizi, Ibn Majah dan Imam Ahmad). Bahkan ketaatan kepada suami itu juga boleh menjadi salah satu pintu bagi seorang wanita untuk masuk Syurga Allah SWT seperti mana firman Nabi SAW: “Apabila seorang wanita menunaikan solat lima waktunya, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya (maruah dan kesuciannya), serta taat kepada suaminya, maka akan dikatakan kepadanya: ‘Masuklah kamu ke dalam syurga melalui mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.’” (Hadis Riwayat Ahmad, dan Ibn Ḥibbān)
Tuntutan Kesamarataan Mutlak (Absolute Equality)
Pendokong feminis menuntut agar semua keputusan dalam rumah tangga mesti dilakukan secara “equal partnership,”, di mana suami dan isteri memegang kuasa sama rata. Pada mereka, rumahtangga adalah sebuah kontrak perkongsian, seperti mana kontrak perniagaan yang meletakkan saham 50-50 antara dua orang pemilik saham yang berkongsi. Walaupun kelihatan adil di permukaan, prinsip ini menafikan konsep hierarki tanggungjawab. Dalam Islam, suami ialah pemimpin yang dipertanggungjawabkan di hadapan Allah terhadap keluarganya: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya.” (Hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim). Namun itu tidak bermakna suami harus bersifat “diktator” dalam sebuat rumahtangga. Islam mengiktiraf bahkan menggalakkan perbincangan (musyawarah) antara suami dan isteri, namun tanggungjawab dan keputusan akhir tetap dipikul dan dibuat oleh suami. Kesamarataan mutlak akan menimbulkan kekeliruan tentang siapa yang bertanggungjawab jika berlaku perbezaan pendapat. Dalam hal ini, isteri sepatutnya memahami bahawa Islam meletakkan suami sebagai ketua keluarga. Seperti mana yang sering disebut sebuah kapal itu tidak boleh ada dua nakhoda, dan begitulah bahtera rumahtangga juga sepatutnya hanya memiliki seorang nakhoda, iaitu sang suami.
Al-Attas menulis bahawa dalam sistem sekular, “equality” menjadi berhala baru yang menghapuskan konsep hierarchy of being — padahal hierarki adalah sebahagian daripada keharmonian kosmos Islam. Imam Al-Ghazali pula dalam Iḥyāʾ ʿUlūm al-Dīn pula menjelaskan bahawa suami ialah “ra’is al-bayt” (ketua rumah) dan isteri ialah “ʿimadat al-bayt” (tiang rumah). Tanpa tiang, rumah tidak berdiri; tanpa ketua, rumah hilang arah. Ini bukan dominasi, tetapi tawāzun — keseimbangan yang menghasilkan kebahagiaan.
Sakinah, Mawaddah dan Rahmah
Matlamat perkahwinan bukan perebutan kuasa, pertandingan dominasi atau persaingan, tetapi bertujuan mencari keredhaan Allah SWT. Redha Allah itu hadir dalam bentuk ketenangan (sakinah), kasih (mawaddah), dan rahmah. Allah berfirman: “dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah SWT ialah Dia menciptakan bagi kamu daripada kalangan kamu pasangan-pasangan yang dengannya, kamu memperoleh sakinah, mawaddah dan rahmah (Surah al-Rum 30:21). Sebuah rumahtangga yang mendapat redha Allah itu pula tidak akan terhenti hanya sekadar sebuah kehidupan di dunia yang sementara ini sahaja, bahkan Allah SWT akan mengumpulkan keluarga yang beriman dan mendapat keredhaan-Nya di dunia ini dahulu, dalam Syurga kelak seperti mana janji Allah SWT: “Dan orang-orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat mereka dalam keimanan, Kami himpunkan zuriat mereka itu dengan mereka (dalam Syurga); dan Kami tidak mengurangkan sedikit pun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat (bertanggungjawab) dengan apa yang telah dikerjakannya.” (al-Ṭūr, 52:21).
Begitulah indahnya rumahtangga yang diasaskan atas dasar mencari keredhaan Allah dan bukannya sekadar sebuah ikatan kontrak ala-perniagaan seperti mana berlaku di Barat. Islam menolak ekstremisme kedua-dua pihak: patriarki yang menindas, dan feminisme yang menafikan fitrah.

