Sebagai teras yang diangkat sebagai pendekatan pembangunan negara, perbahasan mengenai Malaysia MADANI perlu terokai dan ditelusuri dengan mendalam termasuk dengan melihat hubungannya dengan pembinaan makna diri insan secara menyeluruh dan berjangka panjang.
Antara yang perlu diambil perhatian ialah implikasi makna yang penting dalam istilah MADANI yang menjurus kepada pembentukan diri individu, masyarakat dan persekitaran yang akhirnya bermuarakan peradaban dan tamadun. Jika dilihat dari sudut semantik bahasa Arab, istilah MADANI berkait rapat dengan istilah madinah yang bermaksud bandar. Jika diteliti dalam lipatan sejarah, perbandaran sememangnya menjadi ciri penting peradaban dan tamadun kerana ia merupakan tempat yang mempunyai sebahagian besar ramuan yang membina peradaban.
Ibn Khaldun, pemikir falsafah sejarah tersohor, meletakkan kewujudan bandar sebagai petanda kepada cerminan tertinggi sebuah peradaban yang diistilahkan sebagai ’umran hadari. Ini kerana bandar mencerminkan kepadatan penduduk, kemajuan ekonomi dan kepelbagaian pekerjaan, budaya dan kesenian yang berkembang serta struktur politik yang kukuh.
Hari ini, dalam banyak hal, bandar menjadi pusat berkembangnya nilai kehidupan sekular yang lebih banyak meminggirkan nilai keagamaan. Dalam penelitian Harvey Cox, seorang ahli teologi Kristian dan professor yang lama bertugas di Harvad Divinity School dan yang terkenal dengan karyanya The Secular City, zaman moden ditandai dengan dua ciri khas iaitu kemunculan tamadun perbandaran (urban civilization) dan kejatuhan tradisi keagamaan.
Tidak hairanlah apabila kita melihat penelitian yang dibuat oleh pengkaji peradaban dan tamadun moden lebih mirip untuk mengetengahkan aspek kebendaan sebagai ciri utama sesebuah tamadun dan peradaban. Peradaban yang tinggi, misalnya dicirikan melalui kemajuan dalam aspek-aspek seperti pertanian dan penternakan, revolusi perbandaran, penghasilan barang tembaga dan gangsa, perkembangan tulisan, kalendar, teknologi pengairan, perkembangan pengangkutan seperti kapal, penciptaan matawang, revolusi perdagangan dan industri.
Berlatarbelakangkan keadaan ini, bagaimana Islam menilai konsep perbandaran dan hubungannya dengan ketinggian sesebuah peradaban dan tamadun? Dalam Islam, konsep perbandaran seperti yang tercermin melalui istilah madinah mempunyai nuansa keagamaan yang kuat. Ini kerana faham perbandaran dalam Islam berinspirasikan Madinah al-Munawwarah, bandar yang diasaskan oleh Rasulullah yang bukan sekadar mencerminkan gambaran zahir perbandaran yang dicirikan dengan penempatan manusia, tempat perniagaan dan pertanian, akan tetapi yang lebih penting ia menggambarkan tempat terbitnya cahaya agama Islam yang sempurna dan manifestasi pelaksanaan kehidupan insan berlandaskan Syariah Islam yang menyeluruh.
Binaan pertama yang Rasulullah tegakkan di Madinah ialah Masjid Quba’, tempat untuk Rasulullah dan para sahabat bersujud dan beribadah tanda penyerahan diri yang tulus kepada Sang Pencipta. Malah, justeru disebabkan cahaya agama Islam mula berkembang secara menyeluruh dibumi inilah maka namanya yang dulunya dikenali sebagai Yathrib diubah kepada Madinah.
Jelas bahawa bandar dalam Islam bukan sekadar kawasan yang menempatkan penduduk yang padat atau tempat tertegaknya bangunan menjulang tinggi mencakar langit. Akan tetapi yang lebih utama ia adalah tempat tersebarnya nilai-nilai adab dan akhlak halus dan tinggi yang berteraskan prinsip-prinsip keagamaan dalam kalangan penduduknya. Di sini jelas terserlah hubungan mesra antara faham agama (din) dan tamadun, yang kedua-duanya terzahir dari akar istilah semantik yang sama.
Keadaan yang sama berlaku dalam faham peradaban dalam Islam. Peradaban dalam Islam adalah cerminan penzahiran adab pada tahapnya yang tertinggi. Ia timbul hasil dari pengukuhan aspek dalaman insan yang merujuk kepada sistem kepercayaan, nilai keruhanian, pegangan hidup dan kerangka pandangan alam yang kesemuanya berasaskan ilmu dan kebijaksanaan. Aspek dalaman yang tidak bersifat benda inilah, menurut Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karyanya, Risalah Untuk Kaum Muslimin yang menjadi dasar dan pemandu kepada aspek yang bersifat benda dalam pembinaan sesebuah peradaban. Ini disebabkan sifatnya yang kekal dan berkait dengan aspek yang juga kekal dalam diri insan iaitu jiwa ruhaniah dan akalnya.
Apabila adab terbina dengan baik dalam akal dan jiwa insan ia akan menjelma di luar dalam bentuk tindakan dan amalan yang akhirnya melahirkan peradaban yang baik. Adab menurut Prof al-Attas ialah pengenalan dan pengiktirafan diri insan terhadap tempat yang wajar bagi sesuatu, lalu bertindak secara adil terhadapnya.
Penekanan kepentingan aspek dalaman dalam pembinaan peradaban ini bukanlah ekskusif diberikan oleh ilmuwan Islam sahaja. Ia juga tercermin dalam penelitian sejarawan Barat penting seperti Arnold Toynbee, tokoh falsafah Sejarah dan prof. di Kings College London yang mahsyur dengan karyanya The Study of History. Di samping mentakrifkan peradaban sebagai usaha membina sebuah masyarakat yang hidup bersama dengan harmoni sebagai ahli dalam satu keluarga yang inklusif, beliau juga menekankan perkara yang bersifat ruhaniah (invisible) seperti sistem nilai dan buah pemikiran yang tinggi (ideas) sebagai antara elemen utama peradaban.
Sejarah juga melaporkan bahawa kehilangan aspek dalaman inilah yang telah meruntuhkan banyak peradaban. Tamadun Yunani, walaupun mempunyai ketinggian dari segi ilmu, namun akhirnya disebabkan teori ilmu yang ada tidak selari dengan amalan akhlakiah, ia menjadi pencetus kepada kejatuhan peradaban tersebut. Menurut Will Durant dalam karyanya, The Story of Civilization, di sebalik kehebatan tamadun Yunani melahirkan ramai pemikir-pemikir agung seperti Socrates, Plato dan Aristotle yang mengemukakan teori-teori penting termasuk berkaitan etika, namun dari segi penzahiran dalam masyarakat, mereka menggambarkan keadaan yang bertentangan dengan teori ilmuwan mereka. Misalnya, kaum lelaki Di Athens pada abad ke-5 sebelum Masihi termasuk sebahagian ahli fikir mereka, melakukan hubungan seks agak bebas termasuk dengan kaum sejenis.
Di sini letaknya kepentingan aspek agama dan akhlak dalam memandu pandangan alam yang membina sesebuah peradaban dan tamadun. Sesebuah peradaban yang terjelma dalam bentuk perbandaran yang pesat membangun, namun sekiranya paksi dan sauh agama dan akhlaknya mundur tidak akan kekal lama dan akan diruntuhkan dari dalam oleh kelemahan jiwa dan akal manusia yang mediaminya.

