Ramadan kali ini meninggalkan kita dengan satu pengajaran yang begitu bermakna, iaitu, kita tidak sentiasa memerlukan manifesto yang gah untuk bersatu. Forum besar dan slogan perpaduan yang lantang dilaung-laungkan tidak semestinya berkesan untuk menyatukan jiwa. Sebaliknya, mungkin, yang lebih berkesan ialah hidangan ringkas, beberapa biji kurma, segelas air sejuk yang menyegarkan, dan detik menunggu azan Maghrib bersama-sama. Dalam suasana inilah, kita belajar dan menyuburkan semula makna kebersamaan.
Iftar jamaie, iaitu majlis berbuka puasa secara berjemaah, sering dilihat sebagai tradisi lazim dalam kalendar Ramadan. Namun jika direnung dengan lebih mendalam, mutakhir ini, ia menjadi suatu amalan yang menghubungkan ibadah dengan kemanusiaan, dan mengikat jiwa-jiwa yang pada zahirnya berlainan warna kulit, dan berbeza loghat dan hahasa. Sesungguhnya, ia adalah salah satu ajaran Islam yang menghimpunkan manusia dengan mengenepikan apa jua perbezaan.
Al-Quran menegaskan bahawa tujuan besar puasa adalah pembinaan takwa. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 183: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.” Takwa dalam makna yang paling hidup bukan sekadar kemampuan menahan lapar dan dahaga, tetapi keupayaan menundukkan ego, melunakkan hati, dan memperhalus hubungan sesama insan. Dalam erti kata lain, iftar jamaie ialah antara medan paling praktikal untuk menterjemahkan takwa ke dalam tindakan sosial.
Tradisi berkongsi makanan dan menjamu orang lain begitu dititik beratkan sejak zaman awal Islam. Rasulullah SAW bersabda: “Makanan dua orang cukup untuk tiga orang, dan makanan tiga orang cukup untuk empat orang.” Hadis ini mengajar kita bahawa keberkatan bertambah apabila nikmat dikongsi. Para sahabat memahami roh ini dengan sangat mendalam. Bagi mereka juadah berbuka bukan sekadar memenuhi keperluan diri, tetapi peluang berbuat baik. Dalam sejarah Islam yang lebih luas, semangat ini berkembang menjadi budaya kebajikan dan keterbukaan. Di kota-kota Islam di zaman kegemilangan Abasiyyah (750–1258M) dan Uthmaniyyah (1299–1923M), Ramadan diraikan dengan membuka pintu kepada rakyat, fakir, musafir dan tetamu. Iftar jamaie di Andalus, Toledo dan Granada diadakan secara besar-besaran di masjid-masjid dan tempat-tempat awam.
Maka, apabila Malaysia hari ini menganjurkan program-program iftar berskala besar di dataran awam, masjid-masjid utama, dan ruang-ruang komuniti, kita sebenarnya bukan mencipta sesuatu yang baharu. Sebaliknya, kita sedang mempertahankan dan menghidupkan warisan Islam, iaitu warisan yang meletakkan juadah sebagai bahasa rahmah dan meja berbuka sebagai medan silaturahim.
Dalam konteks masyarakat majmuk, iftar jamaie memberikan makna yang jauh lebih besar. Apabila majlis-majlis iftar dibuka kepada sahabat-sahabat bukan Muslim, maka yang sedang berlaku bukan hanya sebuah acara keagamaan, tetapi satu bentuk pendidikan masyarakat. Dalam suasana seperti ini, Islam tidak diperkenalkan melalui polemik, tetapi melalui pengalaman yang sebenar.
Hakikatnya, banyak salah faham terhadap Islam terbit dek kerana jurang. Maka, iftar jamaie ternyata telah merapatkan dan menutup jurang ini. Seseorang yang hadir ke majlis iftar di masjid atau ruang awam akan melihat sendiri bagaimana umat Islam menunggu azan dengan tertib, berbuka dengan sederhana, meraikan tetamu dengan sopan, dan menjadikan ruang ibadah sebagai ruang keramahan. Pada saat itu, Islam tidak lagi wujud sebagai gambaran abstrak yang dibentuk oleh stereotaip palsu. Sebaliknya, Islam wujud sebagai pengalaman yang dapat dirasa dan mudah difahami. Iftar jamaie menjadi dakwah bil hal, yang tidak menuntut ceramah dan hujah, dan tidak bergantung kepada retorik yang berlebihan. Ia hanya memerlukan keikhlasan, dan ruang untuk orang lain hadir tanpa rasa terasing mahupun rasa terancam. Ternyata, satu hamparan iftar yang terbuka lebih berkesan daripada seribu ucapan tentang toleransi.
Dalam kerangka yang lebih luas, ia adalah diplomasi sosial Malaysia. Tatkala dunia menilai Islam melalui lensa konflik, ekstremisme dan ketegangan geopolitik, negara kita telah menggunakan peluang yang sangat besar ini apabila menampilkan naratif Islam yang sebenar ─ damai, matang dan beradab. Iftar jamaie yang disertai dan dialami masyarakat bukan Islam, tetamu antarabangsa dan pelancong menjadi satu wadah memperlihatkan betapa Islam ialah satu agama yang menyeru kepada keamanan dan keharmonian.
Justeru, iftar jamaie wajar dilihat sebagai aset peradaban negara. Ia harus dipelihara bukan hanya sebagai acara tahunan yang bersifat simbolik, tetapi sebagai identiti masyarakat yang bertamadun. Penganjurannya perlu terus diperkasa dengan ketulusan dan keimanan; dan bukan sekadar mengejar angka kehadiran atau nilai publisiti.
Inilah yang paling meyakinkan bagi masyarakat majmuk Malaysia. Sebuah majlis iftar dengan mudahya menyatukan hati, membetulkan persepsi yang negatif, dan seterusnya menyedarkan yang hakikatnya kita mempunyai lebih banyak persamaan dari perbezaan.

