Setiap kali musim banjir atau hujan lebat berpanjangan melanda negara, persoalan yang sama kembali berlegar: adakah kita benar-benar bersedia? Di Malaysia, banjir bukan lagi isu bermusim yang terhad di kawasan Pantai Timur seperti lazimnya, malah semakin kerap melanda pusat bandar utama, termasuk ibu negara. Kejadian banjir kilat yang berlaku baru-baru ini di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, sehingga menenggelamkan jalan raya, merosakkan kenderaan dan melumpuhkan aktiviti harian, menjadi peringatan jelas bahawa risiko banjir kini bersifat nasional dan tidak mengenal sempadan geografi atau status bandar raya.
Kuala Lumpur yang sinonim dengan pembangunan moden, bangunan pencakar langit dan sistem infrastruktur canggih, masih terdedah kepada limpahan air dalam tempoh hujan singkat. Ini menimbulkan persoalan besar tentang keupayaan sistem saliran bandar, perancangan guna tanah dan kesiapsiagaan menghadapi perubahan iklim. Jika ibu negara sendiri mudah terkesan, bagaimana pula nasib kawasan lain yang lebih terdedah?
Banjir kilat di Kuala Lumpur baru-baru ini memperlihatkan beberapa kelemahan struktur. Sistem perparitan yang tidak mampu menampung hujan luar biasa, longkang tersumbat, serta pembangunan padat di kawasan tadahan air telah memburukkan keadaan. Walaupun projek tebatan banjir bernilai tinggi telah dan sedang dilaksanakan, kejadian ini menunjukkan bahawa pendekatan sedia ada masih belum mencukupi untuk menghadapi ekstrem iklim baharu.
Lebih membimbangkan, banjir bandar memberi kesan ekonomi segera. Kenderaan rosak, peniaga kecil menanggung kerugian, pekerja lewat atau gagal ke tempat kerja, dan kos pembaikan ditanggung sendiri oleh rakyat. Dalam banyak kes, mangsa tidak dilindungi oleh sebarang pelan perlindungan kewangan.
Apa yang berlaku di Malaysia bukan unik. Ini kerana perkara yang sama turut berlaku kepada negara Asean. Banjir yang berlaku Aceh di Indonesia dan Hadyai bukan sahaja merosakkan infrastruktur, tetapi turut menjejaskan aktiviti ekonomi dan sekaligus menjejaskan kehidupan penduduk. Apapun pengalaman Aceh menunjukkan bahawa kelewatan dalam adaptasi dan kelemahan tadbir urus bencana boleh membawa krisis kemanusiaan yang berpanjangan. Manakala pengajaran penting dari Hatyai ialah bandar moden sekali pun tidak kebal tanpa perancangan jangka panjang yang bersepadu.
Perbandingan ini seharusnya membuka mata bahawa Malaysia berada di landasan risiko yang sama jika pendekatan adaptasi iklim tidak diperkukuh sekarang. Ini kerana setiap kali banjir berlaku ia turut membawa kos tersembunyi yang besar. Selain kerugian harta, terdapat kesan psikologi, gangguan pendidikan, masalah kesihatan dan kehilangan pendapatan. Golongan B40 dan M40 paling terkesan kerana kebanyakan mereka biasanya tinggal di kawasan berisiko dan tidak mempunyai perlindungan kewangan mencukupi.
Menurut Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (United Nations Framework Convention on Climate Change), adaptasi (iklim) merujuk kepada pelarasan dalam sistem ekologi, sosial atau ekonomi sebagai tindak balas kepada rangsangan iklim yang sebenar atau dijangka dan kesan atau impaknya. Ia merujuk kepada perubahan dalam proses, amalan dan struktur untuk mengurangkan potensi kerosakan atau untuk mengambil kesempatan daripada peluang yang berkaitan dengan perubahan iklim.
Justeru, dalam kes banjir, adaptasi iklim tidak boleh terus dilihat secara sempit sebagai pembinaan benteng konkrit, kolam takungan atau pembesaran sistem perparitan semata-mata. Walaupun infrastruktur fizikal penting, ia tidak akan berkesan jika tidak disokong oleh perubahan menyeluruh dalam cara kita merancang pembangunan, mengurus alam sekitar dan melibatkan masyarakat. Ketegasan dalam kawalan guna tanah perlu diperkukuh, khususnya di kawasan tadahan air, rizab sungai dan zon berisiko tinggi. Pembangunan yang mengabaikan penilaian impak alam sekitar akhirnya mengundang risiko yang ditanggung oleh rakyat biasa, bukan pemaju atau pembuat keputusan.
Pada masa yang sama, pemeliharaan hutan, paya bakau dan kawasan hijau bandar perlu dianggap sebagai benteng semula jadi yang sama pentingnya dengan struktur kejuruteraan. Sistem amaran awal pula mesti disampaikan secara jelas, pantas dan mudah difahami, agar rakyat mempunyai masa mencukupi untuk bersedia dan bertindak. Tanpa penyelarasan berkesan antara kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan, serta tanpa penglibatan aktif komuniti setempat, adaptasi iklim akan terus bersifat reaktif dan terhad kepada pengurusan krisis, bukan pencegahan risiko jangka panjang.
Dalam menghadapi realiti banjir yang semakin kerap dan tidak menentu, kesiapsiagaan kewangan masyarakat juga tidak boleh lagi dipinggirkan. Ramai mangsa banjir kehilangan kenderaan, rumah dan peralatan kerja, namun terpaksa menanggung kerugian sendiri kerana tiada perlindungan kewangan yang mencukupi. Di sinilah peranan pelan takaful perlu diperkasakan sebagai instrumen kesiapsiagaan nasional.
Berteraskan prinsip ta‘awun dan keadilan sosial, takaful menawarkan mekanisme perkongsian risiko yang selari dengan nilai Islam dan semangat kebersamaan. Namun, tahap kesedaran dan penyertaan masyarakat masih rendah, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Keadaan ini menuntut pendekatan lebih proaktif daripada kerajaan dan industri takaful, bukan sekadar menawarkan produk, tetapi memastikan pelan perlindungan bencana yang mampu milik, mudah difahami dan benar-benar memenuhi keperluan rakyat.
Sehubungan ini juga, pndidikan literasi kewangan berkaitan risiko iklim perlu dipertingkat, manakala insentif dan sokongan bersasar wajar dipertimbangkan bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas. Dengan perlindungan takaful yang kukuh, beban pasca-banjir tidak lagi sepenuhnya dipikul oleh individu atau kerajaan, sebaliknya dikongsi secara sistematik dan berkeadilan, sekali gus memperkukuh daya tahan sosial negara.
Isu banjir akhirnya kembali kepada persoalan tadbir urus. Keberanian diperlukan untuk menghentikan projek berisiko, menguatkuasakan undang-undang alam sekitar dan menolak kompromi yang mengorbankan keselamatan jangka panjang rakyat.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.” (Surah an-Nisa’, ayat 58)
Amanah kepimpinan dalam isu banjir bukan sekadar hadir ketika bencana, tetapi membuat keputusan yang mungkin tidak popular demi kebaikan negara.
Banjir di Kuala Lumpur, Aceh dan Hatyai membawa mesej yang sama: era baharu iklim memerlukan pendekatan baharu. Malaysia tidak boleh terus bersifat reaktif. Adaptasi iklim mesti menjadi agenda nasional yang menyeluruh, berpihak kepada rakyat dan berteraskan keadilan sosial.
Kesiapsiagaan perlu merangkumi infrastruktur, tadbir urus, kesedaran komuniti dan perlindungan kewangan seperti takaful. Jika langkah ini diambil dengan serius, banjir mungkin tidak dapat dielakkan sepenuhnya, tetapi penderitaan rakyat boleh diminimumkan.

