Paparan selesainya kes guru mendera pelajar di akhbar baru-baru ini bukanlah bermaksud masalah tersebut telah selesai sepenuhnya. Masalah ‘penderaan’ guru terhadap pelajar ini sebenarnya bukan sekadar ‘penderaan’ itu sahaja tetapi mesti dilihat dari kacamata yang lebih luas. Kacamata yang lebih luas ini termasuklah tentang hilangnya sikap hormat pelajar, ibu bapa dan masyarakat terhadap guru serta mutu guru masa kini.
Adalah lebih mudah menuding jari daripada memahami punca sebenar bagi sesuatu masalah. Begitu juga masalah guru-pelajar yang menjadi buah mulut masyarakat kini. Dalam banyak keadaan, guru akan dipersalahkan. Apakan tidak, guru sebagai manusia dewasa, wajib, dalam apa keadaan sekalipun menahan sabar dengan kerenah pelajarnya. Namun, adakah ini wajar? Guru juga manusia bukan? Oleh itu, sebagai manusia, guru juga mempunyai kekurangan. Apatah lagi untuk menghadapi kerenah pelajar yang terlalu ‘kurang ajar’.
Masalah guru-pelajar yang dibentangkan kepada kita kini sebenarnya tidak menceritakan keseluruhan masalah tersebut. Adakah pernah diceritakan tentang pelajar meludah guru atau pelajar yang menghina guru dengan carutan-carutan tertentu. Ataupun kisah guru dibelasah keluarga pelajar hanya kerana menegur atau cuba membetulkan keadaan. Dalam keadaan begini, mampukan guru bersabar? Kalau ibu bapa sendiri tidak mampu mendisiplinkan anak-anak atau mendidik anak menghormati orang lain, apatah lagi guru. Oleh itu, kalau ibu bapa telah gagal maka wajarkah guru pula dipersalah?
Walau bagaimanapun, kenyataan ini tidak juga boleh melazimkan guru untuk memukul pelajar sehingga tahap mencederakan. Sebagai seorang dewasa yang sempurna, guru juga perlu ada penilaian yang wajar dalam dirinya. Dia perlu tahu had yang membolehkannya menghukum pelajar. Namun, persoalan had akan menjadi begitu kabur bilamana perasaan menguasai diri. Oleh itu, guru memerlukan kekuatan tertentu agar dapat bertindak mengikut had yang dibenarkan. Dalam hal ini, salah satu kekuatannya adalah sokongan daripada ibu bapa dan masyarakat sendiri.
Apa yang dipaparkan di atas sebenarnya adalah cubaan untuk menjuruskan perbincangan masalah guru-pelajar kepada perbincangan dan pemerhatian yang lebih adil. Adil di sini membawa maksud, masalah ini dilihat secara keseluruhan yang memihak kepada pihak yang benar dengan tujuan untuk menyelesaikan masalah dengan sebenarnya. Dalam hal ini, tindakan guru yang menghukum keterlaluan sememangnya perlu dibincangkan dan tingkahlaku buruk pelajar juga perlu diberi perhatian.
Tidak lupa juga peranan Kementerian Pelajaran, ibu bapa dan masyarakat umum. Laporan-laporan penderaan pelajar di akhbar kerapkali kita baca tetapi jarang sekali kita melihat guru diberi peluang membela diri dan seterusnya memahami cabaran-cabaran yang dihadapi guru. Oleh itu, penelitian masalah ini secara keseluruhan dan mendalam sangat perlu agar ianya boleh diatasi dengan sebenar-benarnya.
Mari kita sorot kembali kisah guru-pelajar satu ketika dahulu. Dulunya, guru adalah insan penting dalam masyarakat. Mereka dihormati dan menduduki taraf yang tinggi dalam masyarakat. Bukan lagi asing bagi ibu bapa dahulu menyerahkan anak beserta sebatang rotan untuk dididik guru tersebut. Berdasarkan pengalaman penulis sendiri, bapa penulis pernah bertemu dengan guru dan meminta anaknya ini dididik dengan pelbagai ilmu yang wajar. Permintaan ini tidak berhenti di sini kerana bapa penulis menyambung permintaannya dengan ayat ini: “Pukullah anak saya jika dia nakal atau malas dengan syarat tidak buta atau tuli”. Permintaan ini telah dinyatakan di hadapan penulis sehingga menimbulkan rasa takut dan bertekad belajar bersungguh-sungguh di samping mendengar kata guru. Pengalaman ini bukan hak exclusive penulis tetapi telah menjadi kebiasaan ibu bapa dahulu.
Apa yang cuba dipaparkan ini menunjukkan bahawa ibu bapa menaruh kepercayaan yang tinggi kepada guru. Walaupun meletakkan syarat, namun secara umumnya mereka membenarkan si anak dirotan. Ini mungkin juga disebabkan pemahaman mereka tentang hukum merotan yang dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu.
Begitulah tinggi dan hormatnya masyarakat dahulu terhadap guru. Hal ini sangat berbeza sekarang. Tindakan mendidik anak dengan merotan dirasakan tidak sesuai lagi. Ibu bapa kini tidak mahu merotan anak sehingga mereka ‘naik kepala’. Sikap ‘naik kepala’ ini perlu diperbetulkan. Jika ibu bapa tidak mampu melakukannya, maka gurulah yang perlu mengambil tindakan. Tindakan ini perlu kerana ditakuti anak-anak yang pincang akan masuk ke dalam masyarakat dan akhirnya akan memincangkan masyarakat itu sendiri.
Kisah Muhammad bin Idris (Imam Shafie) adalah lebih menarik lagi. Sepertimana yang diketahui umum, beliau merupakan seorang yang sangat cintakan ilmu dan sanggup pula merantau jauh untuk mendapatkan ilmu tersebut. Dalam usaha memperoleh ilmu ini, Imam Shafie sedar bahawa salah satu syarat penting mendapat ilmu yang berkat adalah dengan menghormati gurunya. Oleh itu, beliau sangat memuliakan guru. Terdapat satu kisah di mana semasa menuntut ilmu dengan Imam Malik, Imam Shafie begitu sayang kepada gurunya sehinggakan apabila Imam Shafie menyelak helaian bukunya, beliau melakukan dengan perlahan dan berhati-hati agar tidak mengganggu guru yang dicintainya itu.
Begitulah besarnya kecintaan Imam Shafie kepada gurunya. Menghormati dan menyayangi guru bagi beliau bukan semata-mata kerana guru itu tetapi kerana kecintaan beliau kepada ilmu dan Penciptanya. Oleh itu, benarlah kata-kata Socrates, seorang ahli falsafah Yunani bahawa tanpa ilmu yang sebenar, amalan baik adalah mustahil dan dengan ilmu sebenar, amalan baik adalah kepastian. Socrates meletakkan ilmu sebagai keutamaan tertinggi dan kesemua kejahatan berpunca dari kejahilan. Dalam hal ini, kejahilan terhadap ilmulah yang membawa kepincangan. Pelajar yang jahil ilmu, bersikap biadap. Guru yang kurang ilmu, bertindak menghukum membabi buta, ibu bapa yang tidak berilmu, mudah melenting dan menyalahkan orang serta masyarakat yang jahil ilmu menghukum tanpa periksa. Manakala, Kementerian Pelajaran yang kurang ilmu, akhirnya menjadikan ilmu itu sendiri mangsa kejahilan.
Berbalik kepada kisah Imam Shafie, penghormatan yang diterima gurunya, iaitu Imam Malik dan guru-gurunya yang lain, adalah juga kerana tingginya ilmu dan akhlak si guru. Oleh kerana itu, sewajarnyalah mereka dihormati. Dalam keadaan kini, jika guru-guru ingin kembali dihormati, maka mereka perlu menunjukkan tahap ilmu dan kerja yang par excellence. Ini kerana untuk memperoleh penghormatan, seseorang perlu berusaha mencapainya. Bagi ibubapa pula, jika mereka tidak berjaya mendidik dan memperbetul tingkahlaku buruk si anak lalu menyerahkan tugas ini kepada guru dan sekolah, maka fahamilah keadaan guru ini.
Sesungguhnya, anak-anak tuan-tuan dan puan-puan bukanlah satu-satunya pelajar di sekolah. Akhir sekali, kepada Kementerian Pelajaran dan ahli masyarakat, berilah sedikit sokongan kepada guru. Sokongan ini bukanlah dalam bentuk wang ringgit atau benda tetapi yang paling penting kefahaman mereka dan teguran membina bagi memperbetulkan keadaan yang pincang.