Ditulis oleh Wan Roslili Bt. Abd. Majid. Diterbitkan
Selain norma-norma dan resam budaya, asas agama yang kuat yang melingkungi kehidupan umat Islam sering diperkatakan. Menariknya perkara ini turut disebut oleh Geoffrey Symcox, profesor dalam bidang sejarah di UCLA University apabila menjelaskan tentang keunikan perjalanan pengembara kelahiran Maghribi iaitu Ibn Battutah. Menurut Prof Symcox, Ibn Battutah dalam pengembaraannya, seterusnya bergerak daripada sebuah masyarakat Islam kepada masyarakat Islam yang lain sehingga ke China. Dengan yang demikian, beliau bergerak dalam konteks agama, undang-undang, dan norma-norma yang biasa bagi dirinya. Hal ini, berbeza daripada pengalaman Marco Polo, yang tidak mempunyai masyarakat sedunia yang segama dengannya yang membolehkan beliau begerak dalam kalangan mereka.
Lebih memudahkan lagi perjalanan pengembara Muslim kurun ke-14 itu ialah tamadun gemilang yang diasaskan oleh umat Islam. Tamadun tersebutlah yang menyediakan lanskap kembara yang begitu unik dan cemerlang untuk pengembara yang berjaya merentas tiga buah benua itu. Meskipun hari ini umat Islam telah kehilangan tamadun gemilang yang melonjakkan nama baik agama serta umatnya pada mata dunia, namun kehidupan mereka umumnya masih kuat disokong asas-asas agama yang utuh, iaitu akidah, syari`ah, dan akhlak. Kesyumulan agama yang dianuti umat Islam memperlihatkan bahawa ia tidak hanya mencakupi urusan peribadi. Sebaliknya turut meliputi aspek atau dimensi kemasyarakatan. Hal inilah yang membezakan umat Islam dengan masyarakat barat. Masyarakat barat jelas menekankan bahawa urusan peribadi tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan masyarakat dan negara.
Oleh yang demikian, mereka begitu menjunjung hak atau kebebasan yang dimiliki individu berbanding dengan kepentingan masyarakat apatah lagi negara. Sehubungan itu juga kita dapat melihat, kesalahan tertentu yang dilakukan anggota masyarakat hanya dianggap sebagai salah satu bentuk kebebasan. Sebagai contoh ialah perzinaan dan hubungan sumbang mahram yang tidak dianggap sebagai dosa atau jenayah. Syarat yang ditetapkan mereka hanyalah perbuatan tersebut dilakukan semata-mata atas dasar kerelaan dan pilihan sendiri.
Bagi masyarakat Islam, selain bertanggungjawab memelihara hubungan dengan Allah, pada masa yang sama, mereka perlu memastikan hubungan dengan sesama manusia terjalin dengan sempurna. Manakala ikatan persaudaraan antara mereka dengan saudara segama pula memikulkan tanggungjawab khusus yang perlu dilaksanakan. Selain wajib melindungi dan menunaikan hak serta kepentingan saudara mereka yang tertentu, umat Islam dipertanggungjawabkan untuk tidak membiarkan saudara mereka bergelumang dalam kemungkaran. Apatah lagi kemungkaran tersebut dilakukan secara terbuka dan tanpa segan silu sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan anggota masyarakat lainnya. Inilah juga hakikatnya matlamat syari`ah (maqasid al-syari`ah) yang bertujuan mengekalkan maslahah manusia dan memelihara mereka daripada sebarang bentuk kemudaratan.
Disebabkan kepentingan hubungan kemasyarakatan ini, maka agama Islam mengasaskan sistem politik dan kemasyarakatan untuk dijadikan panduan. Salah satu prinsip penting dalam sistem berkenaan ialah hisbah, iaitu menyeru kebaikan dan menghalang kemungkaran (al-amr bil ma`ruf wa al-nahy `an al-munkar) yang diasaskan oleh Nabi SAW. Sistem ini selanjutnya diteguhkan lagi pada zaman pemerintahan Khalifah `Umar RA dan khalifah-khalifah lain disebabkan keperluan dan perkembangan semasa. Pelaksanaan sistem tersebut oleh Nabi SAW dan khalifah-khalifah Islam yang agung jelas menunjukkan maslahah peribadi dan anggota masyarakat seluruhnya terpelihara.
Pelaksanaan prinsip menyeru kebaikan dan menghalang kemungkaran tersebut tidaklah sehingga memberi maksud agama Islam menggalakkan perbuatan mendedahkan keaiban individu atau anggota masyarakat. Bahkan hakikatnya perbuatan ini dikeji oleh agama sebagaimana tergambar dalam ayat berikut yang bermaksud, “…dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan atau keaiban orang….” (Surah al-Hujurat 49 : 12). Sistem hisbah atau penguatkuasaan undang-undang ini kini dapat dilihat dilaksanakan dalam bentuknya yang pelbagai di seluruh dunia. Di negara ini, semangat atau prinsipnya diserapkan dalam pelbagai bentuk peraturan atau undang-undang, termasuk undang-undang syariah. Pada asasnya penggubalan undang-undang syariah tersebut bertujuan memelihara agama dan maslahah kehidupan bermasyarakat. Justeru, seluruh umat Islam bertanggungjawab untuk memberikan sokongan terhadap apa juga bentuk perundangan dan peraturan yang diwujudkan bagi mencapai maksud berkenaan. Iltizam kita yang tinggi untuk menegakkan asas agama, termasuklah mengekalkan kebaikan dan menghalang kemungkaran, sebagaimana diungkap oleh al-Qur’an menjadikan kita umat terbaik yang membawa manfaat yang besar kepada manusia umumnya.
Amat malang seandainya sebahagian kita yang tidak memiliki pengetahuan tentang asas-asas penting agama ini turut menyokong agenda barat dalam memaksakan norma-norma mereka dalam kehidupan umat Islam. Haruslah diambil pengajaran daripada amaran yang diberikan oleh Nabi SAW dalam Hadith Baginda, iaitu daripada Abu Sa`id al-Khudri RA yang bermaksud, “Nabi Muhammad SAW bersabda, “Kamu semua akan mengikut jejak langkah orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka memasuki lubang dab sekalipun, kamu tetap mengikuti mereka. Kami bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Siapa lagi (jika bukan mereka)?” (Muslim)