Siri fiksyen sains terkenal, Dune karya Frank Herbert—yang baru-baru ini diangkat ke layar perak oleh Denis Villeneuve—mengisahkan Paul Atreides, seorang pemimpin muda yang muncul bukan sekadar sebagai panglima perang, tetapi sebagai simbol keadilan dan pembebasan.
Bagi kaum Fremen yang mendiami gurun di planet Arrakis, Paul adalah Mahdi yang dinanti-nantikan: penyelamat yang akan menumpaskan kezaliman dan membawa pengikutnya ke arah kemenangan dan kemerdekaan.
Paul berjaya menggulingkan Maharaja Padishah, menyatukan alam semesta, dan menguasai rempah berharga yang menjadi nadi kepada kelangsungan peradaban. Akan tetapi, perjuangan yang pada awalnya tampak suci itu berakhir dengan malapetaka. Suatu jihad fanatik tercetus yang meragut berbilion nyawa.
Herbert menulis Dune dalam suasana ketegangan era Perang Dingin, ketika ideologi, imperialisme, dan pemujaan terhadap tokoh karismatik sedang memuncak. Mesej utamanya jelas: niat yang murni pun boleh terpesong menjadi keganasan apabila kuasa diperoleh tanpa prinsip dan ditadbir tanpa batasan.
Paul yang memiliki kemampuan melihat masa depan, cuba mengelak bencana tetapi akhirnya memilih jalan tidak mengendahkan suara hati nuraninya sendiri. Para penyokong di sekelilingnya menjadi mabuk dengan semangat takdir, lalu mengangkatnya bukan lagi sekadar pemimpin, tetapi mitos yang wajib ditaati.
Walaupun Dune ialah sebuah karya fiksyen, temanya menyentuh realiti masa kini. Di banyak negara, kepercayaan terhadap kepimpinan semakin luntur. Rakyat cenderung menyokong tokoh kuku besi yang menjanjikan kestabilan dalam era yang penuh kacau bilau. Kebangkitan Donald Trump di Amerika Syarikat—digambarkan sebagai pencabar kepada golongan elit yang tidak lagi dipercayai—merupakan sebahagian daripada fenomena ini.
Sesiapa yang membaca Dune semata-mata sebagai kritikan terhadap agama hanya membacanya di permukaan. Kritikan Herbert sebenarnya tertumpu pada kepercayaan membuta-tuli yang terpisah daripada ilmu yang benar dan pertimbangan yang waras. Apabila suatu gerakan menjadi melampau, kebenaran dikorbankan. Pemimpin dijadikan idola, dan pemerintahan menjadi sekadar persembahan. Tamadun tidak kehilangan arah secara tiba-tiba, tetapi sedikit demi sedikit—apabila kuasa dicari tanpa hikmah dan digunakan tanpa akhlak.
Dalam pandangan alam Islam, kemunculan al-Mahdi banyak disebut dalam hadis Nabawi, khususnya dalam kitab-kitab Sunan dan Musnad, dan telah dijelaskan secara terperinci oleh tokoh-tokoh ulama Ahl al-Sunnah wa’l-Jama‘ah seperti al-Hafiz Ibn Kathir (abad ke-14), al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (abad ke-16), dan Imam Jalaluddin al-Suyuti (abad ke-16).
Al-Mahdi bukanlah seorang nabi, tetapi pemimpin adil yang dibangkitkan oleh Allah SWT untuk menegakkan keadilan dan menghidupkan semula Sunnah Rasulullah SAW. Gelarannya berasal daripada akar kata yang sama dengan huda (bimbingan), yang mengingatkan kita bahawa kedudukannya mesti berpaksikan ilmu—bukan kejahilan, nafsu atau populisme.
Sebaliknya, Ibn Khaldun (abad ke-14), dalam Muqaddimah-nya, meneliti pelbagai riwayat berkaitan dan menyatakan bahawa banyak yang lemah atau telah disalahgunakan untuk menghalalkan pemberontakan politik. Beliau tidak menolak kepercayaan tersebut secara mutlak, namun memberi amaran terhadap sikap taasub yang berkali-kali mengeksploitasi akhir zaman demi menutup kegagalan moral dan kepimpinan.
Maka, pengiktirafan terhadap Mahdi bukan soal emosi, tetapi kejelasan ‘aqal dan prinsip. Perkara ini lebih ketara dalam sistem demokrasi: masyarakat yang tidak menjunjung ilmu dan keadilan akan cenderung memilih pemimpin yang mencerminkan kekeliruan mereka sendiri.
Paul dalam Dune adalah tamsil kekeliruan masyarakat yang cenderung memilih penyelamat tanpa wahyu, pemimpin tanpa sempadan. Jihad yang dipimpinnya bukan berpandukan prinsip, tetapi digerakkan oleh momentum dan emosi masyarakat kebanyakan. Akhirnya, dia melangkah ke padang pasir dalam keadaan pasrah dan buta—secara fizikal dan simbolik—setelah melihat segala kemungkinan, namun tetap gagal mengubah takdir.
Pengamatan Herbert bukan sekadar khayalan bahkan sebuah eksperimen pemikiran. Ketika berlakunya revolusi “Arab Spring,” kejatuhan rejim tidak melahirkan pemerintahan yang adil, sebaliknya memunculkan kembali autoritarianisme dalam bentuk baharu. Kuasa terus dipusatkan, tetapi tanpa kecekapan dan keteguhan moral.
Pembantaian berterusan di Gaza hari ini mencerminkan kegagalan sistem kuasa yang tidak berpaksikan prinsip. Meskipun memiliki keupayaan, banyak negara serantau tetap gagal—atau enggan—membela rakyat yang dizalimi. Sebaliknya, masyarakat sivil di seluruh dunia Islam telah menunjukkan kejelasan moral yang luar biasa, memperjuangkan keadilan melalui suara rakyat.
Hal ini tidak akan mengejutkan pemikir seperti al-Mawardi (abad ke-11) yang menegaskan bahawa kuasa bukan hanya soal kekuatan, namun juga keupayaan menegakkan keadilan dan memelihara kesejahteraan awam.
Ibn Khaldun pula mengingatkan kita bahawa apabila kuasa terpisah daripada ilmu dan keadilan, keruntuhan adalah pasti. Bagi kedua-duanya, kelangsungan tamadun bergantung bukan pada mitos atau kekuatan, tetapi pada undang-undang, amanah, dan sifat menahan diri.Dune mengingatkan kita: peradaban tidak musnah semata-mata kerana perang, tetapi kerana keruntuhan wibawa moral dan akhlak. Apabila kerajaan gagal, masyarakat masih boleh bertahan. Tetapi apabila kedua-duanya rebah, kejatuhan bukan lagi soal jika, tetapi bila.