Perkataan lestari amat biasa didengar ketika ini. Banyak perkara dikaitkan dengan perkataan tersebut, antaranya pembangunan lestari, alam sekitar lestari, bandar lestari, sekolah lestari, ekonomi lestari dan kehidupan lestari. Gabungan perkataan-perkataan ini seterusnya membentuk makna-makna berbeza bagi menerangkan konsep-konsep berbeza.
Kekerapan penggunaan perkataan lestari dan gabungannya dengan pelbagai perkataan lain menjadikan ia “sedap didengar” tetapi tidak bermakna maksudnya benar-benar difahami. Malah, kemungkinan besar, keluasan penggunaannya sehingga meliputi pelbagai aspek kehidupan manusia, menjadikan maksud sebenar perkataan tersebut semakin terhakis.
Ketika ini, perkataan lestari hanya difahami sebagai “sesuatu yang baik” sedangkan makna sebenar perkataan itu juga meliputi pemeliharaan kelangsungan pelbagai “perkara baik” yang ingin dicapai manusia, misalnya memelihara kelangsungan ekonomi, kekuasaan politik, mutu alam sekitar dan sebagainya.
Ketidakfahaman atau kekeliruan akan makna sebenar kelestarian menjadikan usaha mencapainya laksana layang-layang melawan angin. Segala usaha telah cuba dilakukan tetapi hasilnya sukar kelihatan. Mungkin inilah yang menjadi punca ketidaklestarian kehidupan masyarakat masa kini.
Terdapat banyak petanda kehidupan tidak lestari masyarakat kini. Antaranya boleh dilihat melalui beberapa petunjuk misalnya penghasilan sisa pepejal. Saban tahun, penghasilan sisa pepejal di Malaysia semakin meningkat. Pada 2005, 19,000 tan sampah dihasilkan sehari dan dalam 2016, jumlah itu berganda kepada 38,200 tan sehari. Penghasilan sampah ini dijangka mencapai 45,900 tan sehari pada 2020. Isirumah merupakan penyumbang terbesar penghasilan sisa pepejal di negara ini (65 peratus).
Dari segi kitar semula pula, terdapat peningkatan yang agak baik iaitu daripada 10.5 peratus (2012) kepada 17.5 peratus (2016). Namun, kadar ini masih terlalu jauh jika dibandingkan negara-negara lain seperti German (65 peratus) dan Korea Selatan (59 peratus) pada 2013. Malah, lebih membimbangkan apabila isirumah, walaupun menghasilkan jumlah sampah terbesar, namun hanya mengitar semula pada kadar 9.1 peratus sahaja.
Melihatkan kepada peningkatan penghasilan sampah dan kurangkan kesedaran terhadap pengurangan sampah dan amalan kitar semula, maka boleh dikatakan bahawa gaya hidup tidak lestari masih menjadi identiti masyarakat Malaysia. Jika ini berterusan, adakah kelestarian boleh dicapai?
Prinsip-prinsip kelestarian mula diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ketiga (1976-80) dan seterusnya menjadi agenda penting dalam rancangan pembangunan berikutnya. Rancangan Malaysia Kelapan (2001-5) menyatakan bahawa “penekanan akan diberikan untuk menangani isu-isu alam sekitar dan sumber secara bersepadu dan holistik. Langkah-langkah akan diambil untuk mengenal pasti pendekatan pengurusan berhemah, kos efektif, dan sesuai, dan memberi pelbagai manfaat bagi memastikan pembangunan yang lestari dan berdaya tahan. “
Berdasarkan penjelasan di atas, walaupun kelestarian penting dan diiktiraf sebagai satu agenda penting negara namun tindakan atau usaha-usaha untuk mencapai dan menggabungkannya dalam pembangunan negara tidak begitu kelihatan misalnya dari segi penggubalan dasar dan penglibatan awam. Sebagai sebuah negara membangun, kita masih lagi memberikan keutamaan kepada pembangunan ekonomi dan ini tidak dinafikan memberi tekanan kepada alam sekitar dan sumbernya. Oleh itu, perkara ini perlu ditangani dan pengabaian perkara ini akan mewujudkan pelbagai rintangan termasuklah kepada pembangunan negara itu sendiri.
Usaha-usaha secara ikhlas dan tegas untuk mencapai kelestarian terutamanya kelestarian hidup perlulah digerakkan segera dan secara tersusun. Bagi tujuan tersebut, tulisan Joern Fischer et al. (2012) yang bertajuk Human Behaviour and Sustainability amat menarik untuk dikongsi di sini. Beliau mencadangkan lima usaha yang boleh digerakkan untuk mencapai kelestarian iaitu, pembaharuan institusi formal negara; mengukuhkan institusi masyarakat awam dan memupuk penglibatan mereka; mengawal penggunaan dan mengurangkan pertumbuhan penduduk; mempertimbangkan kesaksamaan dan keadilan sosial dalam membuat keputusan; serta menegakkan nilai dan sistem kepercayaan yang menjadi asas membentuk tingkah laku.
Daripada lima usaha yang dicadangkan ini, ada diantaranya mungkin menimbulkan persoalan dan kontroversi. Misalnya, pengurangan pertumbuhan penduduk. Ini kerana, ada sesetengah pengkaji yang melihat masalah penggunaan sumber bukan semata-mata disebabkan oleh pertambahan penduduk tetapi yang lebih penting adalah pembahagian penggunaan sumber yang tidak seimbang antara kumpulan yang kaya dan miskin di dunia ini.
Sebenarnya, sebilangan kecil penduduk kaya di dunia (20 peratus) menggunakan sebahagian besar daripada sumber-sumber di dunia (80 peratus sumber) dan membiarkan hampir lima bilion penduduk dunia hidup dengan baki 20 peratus sumber. Hasilnya, berbilion-bilion orang hidup tanpa keperluan asas kehidupan seperti makanan, air, perumahan dan sanitasi.
Walaupun terdapatnya perbezaan pandangan terhadap beberapa cadangan Fischer, namun dua daripada cadangan yang beliau utarakan amat menarik untuk diberi perhatian, iaitu memupuk penglibatan masyarakat dan kepentingan sistem nilai dan kepercayaan.
Ini bermakna untuk mencapai kelestarian, pengibatan masyarakat sangat penting. Jika masyarakat dibiarkan keliru dengan makna dan konsep kelestarian maka kemungkinan besar usaha mencapai negara dan gaya hidup lestari tidak akan tercapai. Jadi, persoalannya kini, adakah masyarakat Malaysia benar-benar faham dan menghayati prinsip kelestarian dan adakah mereka mampu menjadikannya amalan dalam kehidupan seharian? Selagi persoalan ini tidak mampu dijawab maka lupakanlah sahaja hasrat untuk membentuk sebuah negara lestari yang kita idamkan.
Selain itu, Fischer juga menyebut tentang peranan sistem nilai dan kepercayaan dalam mencapai kelestarian. Ramai yang bersetuju dan menerima bahawa acuan utama sistem nilai manusia adalah agama. Adakah Fischer cuba menyatakan bahawa kelestarian tidak akan tercapai tanpa adanya agama? Hakikatnya, ramai yang tidak suka mengaitkan kehidupan seharian mereka dengan agama. Kata mereka, agama adalah soal ibadah semata-mata. Ia tiada peranan dalam merencanakan pembangunan negara malah dalam pengurusan alam sekitar sekalipun. Nyata, ini satu kesilapan besar. Tanpa sistem nilai yang berpaksikan kebenaran, kelestarian tidak mungkin dicapai. Jadi, kebenaran apakah yang cuba kita dustakan?
Cadangan yang diutarakan Fischer ini wajar diambil perhatian dalam usaha membentuk sebuah negara atau kehidupan yang lestari. Sebahagian cadangan beliau ini berbentuk struktural tetapi beliau tidak menolak aspek pembentukan nilai untuk mengubah sikap dan pemikiran masyarakat. Apa yang penting, semua aspek yang dikira penting untuk mencapai kelestarian haruslah diusahakan. Inilah yang dikatakan sebagai pendekatan menyeluruh untuk merealisasikan kehidupan lestari.