Hutang merupakan suatu perkara yang menjadi cabaran besar kepada masyarakat manusia hari ini. Dalam arus pemodenan dan kemajuan dunia ekonomi dan kewangan hutang wujud dalam pelbagai bentuk dan daya penarik, sedikit sebanyak mampu mengaburkan mata sesiapa saja yang mudah terpedaya. Tak kira sama ada individu, syarikat mahupun negara, gejala hutang boleh membawa kepada kemudaratan. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada negara Greece di Eropah yang krisis hutangnya tidak selesai sampai ke hari ini dan natijahnya menyebabkan ketidakstabilan ekonomi Eropah, bahkan sekiranya tidak dibendung boleh menyebabkan krisis ekonomi dunia.

Hari ini, hutang diolah dalam beberapa bentuk mengikut kesesuaian. Kalau untuk individu atau isi rumah terdapat pinjaman perumahan, kenderaan, kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman untuk hari raya dan pembelian kelengkapan rumah. Terdapat juga hutang untuk perniagaan dan syarikat perniagaan dalam bentuk pinjaman berjangka dan overdraf. Untuk sesebuah negara yang berdaulat pula hutang wujud dalam bentuk penerbitan bon kerajaan, bil-bil perbendaharaan jangka pendek dan panjang dan jaminan kerajaan. Semuanya ini dikatakan untuk memudahkan baik individu, perniagaan mahupun negara berdaulat untuk berbelanja terlebih dahulu walaupun wang tidak mencukupi, dan membayarnya di kemudian hari. Istilah yang digunakan kini mungkin “pinjaman” atau “pembiayaan”, namun hakikatnya itulah “hutang”.

Berhutang bukanlah satu kesalahan dari segi ajaran Islam. Dalam syariat Islam diharuskan untuk berhutang tetapi perlu mengikut syarat-syarat tertentu terutamanya unsur-unsur riba’ dan penindasan perlu dielakkan sama sekali. Namun begitu, dalam konteks individu atau isi rumah, apa yang menjadi musuh utama kepada kita ialah sikap mengambil mudah tanpa mengukur kemampuan sendiri dan menjadikan hutang sebagai satu tabiat untuk mencari jalan keluar daripada kesempitan hidup dan masalah kewangan. Sekiranya tabiat ini tidak dibendung pada peringkat seseorang individu, tabiat ini akan menular ke dalam masyarakat dan seterusnya menjadi budaya kepada sesebuah negara berdaulat. Sekiranya ada kemampuan untuk membayar maka kita akan selamat, tetapi jika kita tidak dapat melunaskan hutang pada kadar dan waktu yang ditetapkan maka sudah pasti kehidupan kita akan dicengkam atau dimusnahkan oleh si pemberi hutang, tidak kira sama ada pemberi hutang itu seorang individu, institusi atau pun kerajaan berdaulat yang lain.

Walaupun hutang diharuskan dalam ajaran Islam, namun baginda Rasulullah SAW telah memberi peringatan sejak 1400 tahun dahulu tentang bahaya berhutang. Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Babawih dan Al-Baihaqi, junjungan besar Rasulullah SAW telah bersabda “Berhati-hatilah dalam berhutang. Sesungguhnya berhutang itu suatu kesedihan pada malam hari dan kerendahan diri (kehinaan) di siang hari.”

Hadis Baginda Rasulullah SAW ini sangat jelas peringatannya. Baginda sama sekali tidak mengharamkan hutang tetapi menyeru manusia agar berhati-hati dalam membuat keputusan untuk berhutang. Apa yang sabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW memang sangat benar dan dapat dilihat dalam kehidupan masyarakat di sekeliling kita. Banyak masalah dan delima rumah tangga telah timbul akibat hutang sehingga berlakunya perceraian dan pertelingkahan berpanjangan dalam keluarga. Juga terdapat masalah pembahagian harta sepencarian serta pembayaran nafkah yang menyukarkan dan menyulitkan pihak-pihak yang terlibat, lantas terpaksa mengambil proses perundangan yang panjang untuk menyelesaikannya. Perkara yang paling memilukan dan boleh dianggap sebagai suatu penghinaan ialah apabila berlaku keadaan yang membabitkan bekas suami mewariskan bebanan hutang kepada bekas isteri dan keluarganya, baik apabila berlaku pencarian hidup mahupun penceraian mati. Sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT agar kita tidak tergolong dalam manusia seperti ini.

Dari segi hutang perniagaan pula, apa yang dikhuatiri ialah apabila sesuatu perniagaan tidak mampu melunaskan hutangnya maka sudah semestinyalah perniagaan atau syarikat itu terpaksa “gulung tikar” dan membuang para pekerjanya, lantas akan mengakibatkan kesan-kesan sosio-ekonomi yang memudaratkan dalam kalangan masyarakat.

Bagi sesebuah negara pula, sekiranya kerajaan berdaulat tidak dapat membayar hutangnya maka akan berlaku kesan sistemik ke atas sistem ekonomi dan kewangan, dan sekiranya hutang itu besar maka impak yang mungkin boleh merebak menjadi krisis dunia. Namun, apa yang menyedihkan dan menyayat hati ialah kemungkinan berlakunya keadaan rakyat negara terbabit terpaksa menanggung hutang tersebut untuk beberapa generasi yang mendatang.

Sememangnya Islam tidak melarang kegiatan berhutang sekiranya benar-benar memerlukannya, Contohnya untuk memberikan hutang untuk membantu orang yang menanggung beban hutang untuk memenuhi keperluan hidupnya dan keluarganya dan hutang tersebut membolehkannya membayar tanggungan itu, atau dengan erti kata lain orang yang benar-benar miskin dan tidak berdaya, maka hutang membolehkannya mendapatkan sumber untuk meneruskan kehidupan. Seterusnya ialah dalam keadaan orang yang ditimpa bencana sehingga harta bendanya musnah, contohnya dalam musibah banjir atau gempa bumi, maka hutang membolehkannya memulihkan kehidupannya seperti sedia kala. Namun begitu, dalam keadaan-keadaan seperti di atas, adalah lebih baik sekiranya sumbangan bantuan secara langsung diberikan contohnya dalam bentuk zakat atau sadaqah. In adalah kerana mencari jalan keluar dengan berhutang boleh menyebabkan seseorang berada dalam keadaan berdukacita dan yang lebih teruk lagi dalam penghinaan. Lantaran itu, berwaspadalah dalam berhutang sepertimana yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW.