Dalam dunia yang semakin mencabar pada hari ini, isu makanan bukan lagi sekadar soal kenyang atau selera. Ia telah berkembang menjadi persoalan besar yang melibatkan kelestarian alam, keselamatan makanan dan masa depan manusia. Dengan populasi dunia yang dijangka terus meningkat, keperluan terhadap sumber protein juga semakin mendesak.
Pernahkah kita terfikir, suatu hari nanti daging yang kita makan tidak lagi datang daripada haiwan yang disembelih tetapi daripada makmal? Pada pandangan pertama, teknologi ini kedengaran seperti sorotan daripada filem sains fiksyen. Namun hakikatnya, daging kultur sudah mula menjadi realiti. Daging kultur yang dihasilkan melalui pembiakan sel haiwan tanpa penyembelihan dalam persekitaran terkawal kini bukan lagi sekadar eksperimen saintifik tetapi sedang bergerak ke arah pengkomersialan. Para saintis melihatnya sebagai satu alternatif kepada penternakan konvensional yang selama ini dikaitkan dengan pelbagai isu seperti pencemaran alam sekitar, penggunaan sumber yang tinggi dan kebajikan haiwan.
Bagi sesetengah pihak, perkembangan ini merupakan satu anjakan yang sangat positif. Bayangkan jika manusia boleh menikmati daging tanpa perlu menyembelih haiwan secara besar-besaran di samping dapat mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. Namun, bagi masyarakat Muslim khususnya, perkara ini tidak semudah yang dinaratifkan. Daging bukan sekadar makanan tetapi berkait rapat dengan hukum halal, konsep kesucian dan nilai agama yang mendalam.
Di sinilah bermulanya satu perbahasan yang lebih luas iaitu daging kultur bukan sekadar tentang teknologi tetapi tentang bagaimana kita mentafsir semula konsep makanan dalam kerangka Islam. Daging kultur mencabar kefahaman tradisional masyarakat Muslim tentang apa itu daging, bagaimana ia dihasilkan dan apakah yang menjadikannya halal.
Persoalan paling utama yang timbul ialah status kehalalan daging kultur itu sendiri. Dalam Islam, makanan perlu memenuhi dua syarat utama iaitu aspek halal dan tayyib. Halal merujuk kepada hukum manakala tayyib pula merangkumi aspek kebersihan, keselamatan dan maslahah kepada manusia. Dalam konteks daging kultur, banyak persoalan timbul iaitu antaranya ialah sumber sel yang digunakan dan bahan yang terlibat dalam proses penghasilannya.
Jika sel diambil daripada haiwan yang tidak disembelih mengikut syarak, adakah produk tersebut masih boleh dianggap halal? Bagaimana pula dengan penggunaan bahan seperti serum dalam pembiakan sel yang mungkin datang daripada sumber yang meragukan? Persoalan-persoalan ini bukan sahaja bersifat teknikal tetapi juga menyentuh asas hukum Islam yang memerlukan penelitian mendalam.
Walaupun terdapat perkembangan terkini daripada JAKIM (Disember 2025) yang membuka ruang kepada keharusan daging kultur dengan syarat tertentu, perbincangan dalam kalangan ulama dan pakar masih berjalan. Ini menunjukkan bahawa isu ini belum muktamad dan memerlukan pengkajian dan penelitian berterusan.
Dalam Islam, tujuan yang baik tidak boleh menghalalkan proses yang bermasalah. Selain soal kehalalan, aspek keselamatan makanan juga tidak boleh dipandang ringan. Daging kultur dihasilkan melalui proses bioteknologi yang kompleks dan melibatkan pelbagai bahan seperti faktor pertumbuhan dan bahan kimia tertentu. Walaupun ia berpotensi dihasilkan dalam keadaan yang lebih bersih dan terkawal, masih terdapat kebimbangan terhadap kesan jangka panjang kepada kesihatan manusia.
Sebagai pengguna, kita mungkin tertanya-tanya tentang status keselamatan daging kultur. Adakah ia bebas daripada risiko seperti pencemaran atau perubahan sel yang tidak diingini? Dalam hal ini, prinsip Islam yang menekankan larangan memudaratkan diri dan orang lain (la darar wa la dirar) perlu dijadikan panduan.
Dalam masa yang sama, kita juga perlu melihat isu ini dari sudut yang lebih luas iaitu keadilan dalam sistem makanan. Teknologi daging kultur memerlukan kos yang tinggi dan kepakaran yang khusus. Ini bererti teknologi tersebut mungkin hanya dikuasai oleh negara maju atau syarikat besar. Jika hal ini berlaku, bagaimana pula dengan nasib penternak kecil? Adakah mereka akan terus relevan atau akan tersisih daripada arus kemajuan teknologi? Prinsip ‘adl menuntut agar teknologi tidak mencipta bentuk baharu ketidaksamaan makanan atau monopoli pengetahuan. Maslahat yang sebenar bukan hanya manfaat kepada pelabur atau pengguna elit tetapi manfaat yang lebih meluas kepada masyarakat.
Persoalan ini amat penting kerana Islam sangat menitikberatkan keadilan sosial. Sesuatu inovasi tidak seharusnya hanya memberi manfaat kepada segelintir pihak tetapi perlu memberi kebaikan kepada masyarakat secara menyeluruh. Jika tidak, perkara ini akan mengundang risiko dengan mewujudkan jurang baharu dalam sistem ekonomi dan makanan global.
Dari sudut alam sekitar pula, daging kultur sering dipromosikan sebagai pilihan yang lebih lestari kerana dikatakan mampu mengurangkan penggunaan tanah, air dan pelepasan gas rumah hijau. Namun, dakwaan ini juga perlu dilihat secara kritikal. Proses penghasilan daging kultur memerlukan tenaga yang tinggi dan teknologi yang canggih. Jika sumber tenaga tersebut tidak lestari, maka kelebihannya mungkin tidak seperti yang dijangkakan.
Apa yang lebih mencabar sebenarnya ialah penerimaan masyarakat. Bagi ramai orang, idea memakan “daging makmal” mungkin terasa janggal atau kurang menyenangkan. Ada yang merasakan ia tidak asli (‘alamiyyah) malah ada yang berasa kurang selesa dengan proses pembuatannya. Perasaan ini bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana ia berkait dengan psikologi dan budaya pemakanan.
Dalam kalangan masyarakat Muslim, faktor kepercayaan terhadap status halal memainkan peranan yang sangat besar. Tanpa jaminan yang jelas, sukar untuk pengguna menerima produk ini walaupun mereka mengakui manfaatnya. Oleh itu, peranan badan pensijilan halal seperti JAKIM menjadi sangat penting dalam memastikan ketelusan dan keyakinan masyarakat.
Akhirnya, persoalan tentang daging kultur bukan sekadar soal sama ada kita akan memakannya atau tidak tetapi tentang bagaimana kita menilai sesuatu inovasi dalam kerangka ilmu, etika dan agama. Islam tidak menolak kemajuan tetapi menggariskan panduan agar setiap perubahan dinilai dengan bijaksana.
Sebagai masyarakat pengguna, kita tidak perlu terlalu cepat menolak teknologi tersebut tetapi juga tidak wajar untuk menerima tanpa memahami isu dalam kerangka sebenar. Sebaliknya, masyarakat perlu bersikap terbuka, mendapatkan maklumat yang sahih dan melihat isu ini dari pelbagai sudut. Dengan pendekatan yang seimbang, daging kultur mungkin boleh menjadi sebahagian daripada masa depan makanan umat manusia, bukan sebagai pengganti sepenuhnya tetapi sebagai pelengkap dalam sistem yang lebih lestari dan berdaya tahan.

