Gagasan 1Malaysia adalah kesinambungan dari agenda perjuangan negarawan terdahulu demi melihat negara Malaysia mencapai status negara maju dan aman. Status negara maju yang hendak dicapai adalah berlandaskan acuan sendiri yang membezakan pendekatan asimilasi seperti mana dilaksanakan di kebanyakan negara-negara maju yang lain di mana identiti kaum etnik dilenyapkan dan digantikan dengan identiti nasional yang sama. Pelenyapan dan penggantian etnik ini bukan pendekatan Gagasan 1Malaysia. Prinsip utama Gagasan 1Malaysia ini ialah memanfaatkan keunikan dan kekuatan kepelbagaian kaum sebagai sesuatu kekuatan yang menjana pembangunan dan kemajuan negara. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum harus memahami hasrat dalam pendekatan ini supaya keamanan dan kestabilan negara dapat dicapai. Hanya apabila setiap rakyat dari latar belakang kaum, agama dan fahaman yang pelbagai bersatu padu, barulah Malaysia akan terus maju dan aman.
Gagasan ini bertujuan untuk membudayakan rakyat bersikap menerima seadanya keunikan kepelbagaian kaum agar dapat hidup bersama dan saling hormat-menghormati. 1Malaysia adalah pendekatan serampang dua mata untuk memberi keadilan sosial pada semua lapisan kaum dan juga pemantapan negara-bangsa. Melalui strategi ini, kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengutamakan kepentingan rakyat merentasi seluruh lapisan masyarakat dengan memastikan perkongsian nikmat secara bersama tanpa ada yang berasa diri terpinggir.
Dokumen rasmi 1Malaysia yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri menyatakan bahawa 1Malaysia adalah satu wadah untuk meneruskan agenda membina negara seperti mana yang telah dipelopori oleh pemimpin terdahulu. Demi pembinaan negara bangsa, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu. Hanya dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum boleh membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lancar. Perkara ini ditegaskan dalam Surah Al-Imran , Ayat 103, bahawa perpaduan itu adalah satu anugerah besar daripada Allah swt. yang sewajarnya dimanfaatkan oleh manusia. Dalam ayat ini, kita dilarang memecah-belahkan masyarakat yang boleh membawa kepada permusuhan. Pengajaran dari ayat ini yang boleh kita kaitkan dalam konteks 1Malaysia ialah kita hendaklah berpegung teguh kepada prinsip hidup secara berjamaah dan mendukung agenda perpaduan dan pembangunan negara. Kita hanya boleh hidup secara berjamaah apabila kita bersatu-padu. Apabila hidup bersatu-padu dapat dijalinkan maka pecah-belah dapat dielakkan, paling tidak melalui perundingan bukannya pergaduhan.
Perpecahan, permusuhan dan benci-membenci sungguh merugikan negara dan bangsa. Sejarah silam telah menunjukkan bagaimana sebuah negara itu musnah dan tergadai akibat perpecahan dan perselisihan dalam kalangan rakyatnya. Profesor Hamka dalam kitabnya, Tafsir Azhar, menjelaskan dengan panjang lebar ayat di atas serta menyertakan contoh-contoh lampau kemusnahan sesuatu tamadun dan negara-bangsa akibat perselisihan, pergaduhan, hasad dengki dan pecah-belah.
Menurut beliau, ahlul kitab Yahudi dan Nasrani (Kristian) telah berpecah dan berselisih faham kerana tersasar daripada menegakkan pangkal-faham tentang keesaan Allah sehinggalah tercetus perselisihan penafsiran di antara mereka tentang Allah. Dalam dunia Kristian, perselisihan ini telah memecahbelahkan mereka tentang Nabi Isa a.s. kerana ada golongan yang mempertahankan bahawa Nabi Isa a.s. itu hanyalah manusia yang mulia, Rasul Allah, dia bukan Tuhan. Tuhan hanya Satu, iaitu Allah. Di samping itu timbul pula yang berfahaman bahawa Isa itu sendiri Allah, yang menjelmakan diri menjadi anak, lalu datang ke dunia. Kerana perbezaan faham ini maka perpecahan gereja berlaku sehingga mengakibatkan peperangan besar di kalangan mereka. Begitu juga perpecahan yang berlaku di antara Gereja Inggeris dan Gereja Katholik di Britain kerana Rajanya iaitu Raja Henry VIII enggan mengiktiraf Gereja Katholik kerana Paus (Gereja Katholik) tidak membenarkan perceraian Raja Henry VIII dengan isterinya.
Kekuatan negara menjadi lemah akibat perpecahan dalam kalangan rakyatnya boleh mengundang musuh luar mengambil peluang daripada kelemahan ini. Sejarah silam telah menceritakan bagaimana perebutan kuasa antara Bani Abbas (Khalifah Abbasiyah) dan Bani Umayyah (Khalifah Umayyah) telah menyebabkan kerugian jiwa dan kehancuran sebuah Khalifah Islam. Perpecahan ini telah menyebabkan tentera Tartar dan Mongol di bawah pimpinan Hulako menawan kota Baghdad. Begitu juga halnya berkaitan peristiwa pertumpahan darah kerana perselisihan perkara dunia dan perebutan kuasa antara Sayidina Ali dan Mu’awiyyah di medan perang Siffin menyebabkan tentera Ali tewas 35,000 orang dan tentera Mu’awiyyah 45,000 orang. Inilah beberapa akibat perpecahan dan perselisihan yang boleh mengundang kehancuran yang dapat dijadikan pengajaran.
Gagasan 1 Malaysia adalah satu gagasan murni yang selaras dengan tuntutan agama Islam. Hasrat murni ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, adalah hasrat yang bagus bagi menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat. Mengutamakan kepentingan rakyat dalam urusan pemerintahan telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW semasa baginda mendirikan kerajaan awal Islam di Madinah. Rasulullah SAW berjaya menyatukan kaum Muhajirin, Ansar dan Yahudi dengan memeteraikan perjanjian yang meletakkan asas penjagaan dan kepentingan rakyat satu kewajipan yang diutamakan. Penelitian dalam sirah Nabi mendapati bahawa Nabi Muhammad SAW pentingkan umat dari diri, kaum kerabat dan para sahabatnya, kerana itu kita dapat lihat dakwah Baginda berada dalam keadaan begitu indah dan teratur.
Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, semasa menyampaikan pandangan beliau di Syarahan Perdana ‘Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam Menuju Gagasan 1 Malaysia’ menyatakan bahawa ‘strategi membina semangat 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membina kesepaduan rakyat Malaysia adalah terjemahan daripada pendekatan Islam. Beliau menegaskan bahawa faktor agama adalah pemangkin sebenar realiti ke arah pencapaian gagasan 1Malaysia. Sekiranya penghayatan kepada pengurusan agama dibuat dengan baik, maka politik, ekonomi dan perpaduan akan bertambah mantap. Oleh itu, menurut beliau pemahaman mengenai gagasan 1Malaysia penting kerana jika tidak dijelaskan dengan betul, akan ada takrifan tertentu yang boleh membawa kepada pemahaman yang salah.
Selain selaras dengan kehendak Islam, gagasan 1Malaysia juga seiringan dengan Wawasan 2020. 1Malaysia akan merealisasikan setiap cabaran yang terkandung dalam Wawasan 2020 sekali gus meletakkan teras perpaduan rakyat sebagai landasan kemajuan dan keamanan negara. Inti pati gagasan ini merupakan satu nilai murni yang dituntut dalam agama Islam.
Tiga cabang akan diterapkan ke dalam amalan kemasyarakatan dan perlu dihayati oleh setiap rakyat iaitu penerimaan, mendukung prinsip kenegaraan dan keadilan sosial. Ketiga-ketiga teras ini amat penting kerana ia akan memastikan rakyat dapat bersama-sama pemerintah merealisasikan kesemua rancangan pembangunan demi kepentingan rakyat dan negara.
Seiiring dengan pelaksanaan teras ini dalam amalan kerajaan, nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, rendah hati (tawaduk), kesederhanaan, dan berbudi bahasa akan dibudayakan dalam hubungan antara rakyat dan pemerintah. Keutamaan akan diberikan kepada semua lapisan rakyat tanpa meminggirkan tahap prestasi dan kualiti penyampai perkhidmatan di pihak kerajaan. Aspek-aspek seperti perpaduan, kualiti, kepentingan rakyat (maslaha ummah), kemajuan, keamanan negara, masyarakat beretika dan berpegang kepada agama, kesemuanya terkandung di dalam gagasan ini yang selaras dengan ajaran dan tuntutan Islam.