Kemajuan dalam pembangunan komunikasi dan maklumat seiring dengan pengaliran modal, pelaburan dan pergerakkan/perpindahan manusia menyengat keharmonian masyarakat, persekitaran dan ekonomi negara dalam zaman muamalah tanpa sempadan. Berbagai dasar dan gerakkerja dibentuk bukan sahaja untuk menyediakan negara menghadapi hambatan ini, malah lebih mencabar lagi ialah untuk memastikan keupayaan mempertahan dan memimpin dunia dengan kelebihan yang tersedia.
Semua pihak perlu bersiaga dengan kemungkinan cabaran baru yang sukar dijangkakan bagi menjamin kedaulatan dan kemerdekaan negara. Memejam sebelah mata kepada cabaran semasa meletakkan kita dalam kehinaan. Sementara tidak mempedulikannya sama seperti menelan bom jangka cabaran semasa yang akhirnya akan memberi kerosakan kepada negara seluruhnya. Permasalahan kemungkinan buruk sedia ada di Malaysia sekiranya tidak dibendung dijangkakan akan membiak kembang dengan memberi lebih tekanan ke atas isu kemasyarakatan, ekonomi, politik dan alam sekitar.
Bagi menyiapkan masyarakat Malaysia sebagai pemimpin dunia, kita tidak boleh menghadkan kajian dan perbincangan hanya tertentu dalam petakan bidangan. Mungkin isu kemasyarakatan yang timbul menyentuh juga hal ehwal politik atau ekonomi dalam masa yang sama melibatkan pantulan kepada pandangan di persada antarabangsa. Persiapan belia dalam proses peralihan kepimpinan merupakan isu utama dalam agenda negara dan perlu seiring dengan tumpuan yang diberikan dalam pengurusan aset. Sebagai sebuah negara melangkah maju, kita tidak boleh lagi bertindak mengikut musim dan peristiwa tetapi lebih berhikmah dalam dasar dan bertindak dalam ketegasan.
Merenung kepada iklan dagang paparan erti kemerdekaan oleh Petronas sempena menyambut 50 tahun merdeka menyedarkan betapa itulah kesudahan fakir akal budi ‘tak pa’ masyarakat kita dalam kebanyakan hal. Banyak perkara memerlukan kita faham dan sedar untuk bertindak berbanding hanya tahu dan laksana tanpa kebijaksanaan. Perlukah pada tahun sambutan jubli emas, bangsa tertentu perlu mencagarkan bahasanya untuk menjamin perpaduan sedangkan perpaduan sebenarnya menuntut kesefahaman. Begitu juga nasib yang diterima oleh Tanah Melayu yang telah dimalaysiakan.
Kita melihat berbagai contoh baik dan pengalaman pahit negara lain dengan harapan dapat menjadi panduan.
Dunia telah mengiktiraf Gremeen Bank dengan pendekatan yang digunakan sedangkan belum ada bank di Malaysia yang sanggup menawarkan perkhidmatan seumpamanya. Bank-bank perdagangan di Malaysia lebih senang mengaut untung dengan kegiatan memberi pinjaman berbanding pembiayaan dan pelaburan. Akibatnya, permasalahan tegar budaya hutang dan amalan riba’ dengan menggunakan perkataan lain giat berterusan. Samada dalam perbankan dan kewangan atau perluasan pelantar halal, Islam hanyalah digunakan sebagai kaedah pembungkusan dalam strategi pemasaran. Kemerdekaan dibatasi dengan belenggu aturan biasa yang menekan.
Begitu juga dengan kekacauan yang dihadapi di negara-negara tertentu akibat perselisihan faham dan jenayah. Tangisan kanak-kanak tidak berdosa yang celaru kedengaran menahan sarat kesakitan akibat tersiksa bahana kekejaman. Kita tidak boleh menganggap perangkaan jenayah boleh mempunyai tahap yang boleh diterima. Paparan kejadian-kejadian jenayah dan kekejaman dianggap sebagai satu lumrah. Mungkin sudah tiba masanya Malaysia mengkaji hukuman yang diperuntukan atau kaedah perlaksanaan sesuatu hukuman agar ia menjadi pengajaran. Usaha mematangkan perundangan perlulah melibatkan pergerakan keseluruhan edaran rangkaian aturan tersebut. Namun, Malaysia kemiskinan tokoh seperti Prof. Ahmad Mohamed Ibrahim untuk meneruskan perjuangan ini.
Dalam masyarakat yang matang, kita tidak perlukan kekerasan tetapi ketegasan.
Ancaman yang makin dirasai oleh banyak lagi negara lain termasuklah negara-negara kaya dan maju ialah anjakan budaya. Perluasan budaya abai masyarakat dan pentingkan diri sendiri adalah merupakan salah satu cabaran terbaru. Dalam sedar atau tidak, samada melalui perantaraan media dan kealpaan penguatkuasaan, Malaysia sedikit demi sedikit diserapi budaya kacau bilau. Peningkatan kes-kes keruntuhan rumahtangga dan masalah masyarakat kini sukar dibendung. Keruntuhan akhlak remaja di peringkat sekolah atau belia di institusi pengajian tinggi perlukan rawatan istimewa.
Perangkaan pendatang asing yang dibentangkan baru-baru ini memeranjatkan semua pihak. Pendatang asing mencapai tahap kelompok ketiga terbesar berbanding bangsa-bangsa yang terdapat di Malaysia. Sehingga 30 Jun 2007, Jabatan Imigresen dan Bahagian Perangkaan Demografi Jabatan Perangkaan Malaysia, mencatakan jumlah pekerja asing mencecah 1.91 juta (tidak termasuk lebih 400,000 pendatang asing haram dan lebih kurang 10,000 tahanan di depoh imigresen) melebihi masyarakat India yang berjumlah 1.88 juta. Seiringan dengan itu, kadar kes jenayah melibatkan warga asing juga semakin meningkat. Apakah dasar dan perlaksanaannya atau kita ingin melihat satu lagi bendera baru berkibar di Malaysia menuntut hak tertentu?
Kemerdekaan bukan hanya masa mengenang sejarah kegemilangan tetapi bagaimana mempertahankan kegemilangan yang telah dicapai. Adakah bermakna meraikan kemerdekaan sekiranya kita masih berada dalam belenggu? Persiapan kepada perubahan semasa perlu diperkukuhkan. Media yang menjadi penggalak kepada ledakan budaya perlu merangka tindakan secara berhikmah disokong oleh kawalan pihak berkenaan. Penerapan nilai amat penting dalam jiwa supaya dapat membezakan keutamaan dan menanam kecintaan mempertahankan kemerdekaan negara. Sanggupkah kita melihat sambutan ulang tahun jubli emas kemerdekaan dengan perkara-perkara di luar batasan bangsa merdeka? Kemalangan bukan hanya katasama dengan jalanraya tetapi kemalangan boleh juga berlaku sekiranya sampan yang kita bina sekian lama digenangi air apabila siap dan mustahil mengendera kita ke lautan luas.