Sama ada GSF mahupun juga FFC X TMTG, semuanya jelas dilindungi pelbagai instrumen undang-undang antarabangsa. Undang-undang ini menjamin hak penghantaran bantuan kemanusiaan dan melarang halangan bagi usaha berkenaan. Serangan, rampasan, atau halangan terhadap konvoi aman ini merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan membentuk pertanggungjawaban di bawah undang-undang yang berkaitan. Antaranya termasuklah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS): Artikel 87, 89, 92, 97 dan 110 menjamin kebebasan pelayaran dan menegah tindakan menghalang kapal yang belayar secara aman di laut lepas.
Demikian juga Artikel 23, 55 dan 56 Konvensyen Geneva Keempat menetapkan kewajipan untuk membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa sekatan serta melarang gangguan terhadap operasi bantuan atau serangan terhadap infrastruktur awam. Seterusnya, Artikel 8(2)(b)(xxv) Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa menganggap perbuatan menyebabkan kebuluran terhadap orang awam sebagai kaedah peperangan yang merupakan jenayah perang, serta melarang perbuatan menghalang bantuan kemanusiaan secara sengaja. Artikel II (c) Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Penghukuman Jenayah Genosid pula mentakrifkan genosid sebagai perbuatan sengaja untuk mengenakan keadaan hidup yang bertujuan memusnahkan sesuatu kumpulan secara fizikal, manakala Artikel I mewajibkan semua negara untuk mencegah sebarang tindakan sedemikian.
Peraturan 102—104, Manual San Remo mengenai Undang-Undang Antarabangsa yang Terpakai terhadap Konflik Bersenjata di Laut selanjutnya melarang sekatan laut yang menyebabkan kebuluran atau penderitaan yang tidak seimbang, serta melarang serangan terhadap misi kemanusiaan yang bersifat neutral. Terakhir dan tidak kurang pentingnya ialah Resolusi 2720 dan 2728 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2720 dan 2728. Kedua-dua resolusi ini, yang bersifat mengikat, menuntut akses kemanusiaan tanpa sekatan serta penghapusan segala halangan terhadap penyampaian bantuan kemanusiaan di kawasan konflik.
Sebagaimana lazimnya, tanpa mempedulikan undang-undang yang ada, rejim Zionis bertindak memintas bot GSF dan FFC X TMTG serta menculik aktivisnya di perairan antarabangsa. Tindakan berkenaan menggambarkan rejim Zionis tidak ubah seperti perlakuan lanun. Sebagaimana dilaporkan, aktivis yang ditahan rejim Zionis bukan sahaja digelar pengganas malah diberikan layanan kejam dan tidak berperikemanusiaan. Jika demikian layanan buruk yang diberikan kepada aktivis, tidak dapat dibayangkan bagaimana pula bentuk penyeksaan yang dilakukan terhadap penduduk Palestin yang ditahan di Penjara Ktzi’ot selama ini. Masyarakat dunia bangkit menzahirkan bantahan keras terhadap penahanan aktivis flotilla Gaza. Boikot dan perhimpunan besar dapat dilihat di kota-kota utama di dunia seperti Rom, Istanbul, Athens, Buenos Aires, Berlin, Madrid, dan Mexico City.
Hal ini menjadi bukti kekuatan gerakan antarabangsa untuk Palestin yang merdeka. Berjuta-juta manusia telah berdemonstrasi di seluruh dunia sejak genosid Israel di Gaza bermula. Pemimpin Israel juga telah dibawa ke mahkamah atas jenayah genosid dan waran tangkap antarabangsa telah dikeluarkan terhadap mereka. Selain itu, pendapat umum di negara-negara yang pemimpin politiknya teguh menyokong Israel, termasuk Amerika Syarikat telah beralih arah. Dasar sokongan tanpa syarat kepada rejim Israel kelihatan tidak dapat dipertahankan lagi dalam jangka masa panjang. Tinjauan Pew Research pada Mac tahun ini menunjukkan sikap negatif terhadap Israel meningkat daripada 42 peratus kepada 53 peratus daripada keseluruhan golongan dewasa di Amerika Syarikat sejak 2022. Perubahan lebih ketara adalah dalam kalangan Demokrat, iaitu daripada 53 peratus kepada 69 peratus dalam tempoh yang sama. Menurut tinjauan Ogos oleh The Economist dan YouGov, 44 peratus Demokrat lebih bersimpati kepada Palestin, berbanding dengan hanya 15 peratus kepada Israel. Tinjauan Harvard-Harris pada Julai 2025 pula mendedahkan trend yang paling membimbangkan bagi penyokong Israel, iaitu 40 peratus anak muda Amerika kini lebih menyokong Hamas dan bukannya Israel. Meskipun data ini berkemungkinan lebih mencerminkan simpati umum terhadap Palestin, namun ia menunjukkan keretakan besar dalam dominasi naratif “keganasan Palestin” Israel dalam kalangan belia Amerika.
Kesedaran global tentang konflik di Gaza khususnya dan Palestin umumnya semakin meluas. Ternyata aktivisme digital membantu mobilisasi maklumat yang lebih cepat dan meluas. Dalam hubungan ini, keterhubungan media sosial dan rangkaian aktivis global masa kini menjadikan isu Palestin sebagai naratif global yang mendapat sokongan meluas. Selain itu, liputan media yang telus dan berani oleh wartawan Palestin serta media antarabangsa tertentu di lapangan, telah membuka mata penduduk dunia terhadap penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin sejak berkurun lamanya.
Aktivis Flotilla Gaza dan bantuan kemanusiaan secara zahirnya tidak berpeluang sampai ke Gaza. Namun demikian, mesej kemanusiaan dan kasih sayang tiba lebih awal sejak aktivis memulakan pelayaran mereka. Misi berkenaan juga bertujuan menyampaikan pesanan kepada penduduk Gaza bahawa mereka tidak dibiarkan bersendirian. Warga dunia telah disuntik kesedaran luar biasa untuk bangkit berjuang bagi menegakkan keadilan buat mereka. Rejim Zionis mungkin hanya berjaya menahan bantuan kemanusiaan daripada tiba, namun mereka tidak akan berjaya menyekat naratif sebenar yang kini tersebar luas. Bagi Malaysia dan negara-negara yang diwakili aktivis GSF, tindakan boleh diambil berdasarkan undang-undang yang berkaitan terhadap rampasan dan penculikan yang dilakukan rejim Israel. Selain itu, aduan dan laporan juga boleh dikemukakan kepada Majlis Hak Asasi PBB (UNHCR) di bawah mekanisme badan perjanjian antarabangsa (treaty body) seperti Konvensyen Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (CAT). Hal ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OCHCR) atas layanan tidak berperikemanusiaan yang diterima aktivis GSF.
Semangat yang dibawa aktivis Flotilla Gaza dan seluruh masyarakat dunia untuk pembebasan Palestin perlu terus disemarakkan. Pengiktirafan negara Palestin hanya bermakna sekiranya rakyatnya bebas sepenuhnya daripada sistem apartheid, penempatan haram, dan segala bentuk kezaliman yang membelenggu mereka berabad lamanya.

