Pengenalan
Dalam dunia masa kini yang gerak nadinya berpusat kepada peningkatan daya kebendaan dan kemasyhuran, manusia saling berlumba-lumba mengejar dan mempamerkan apa yang mereka sudah dan mahu capai. Fenomena FOMO dan YOLO yang merupakan akronim kepada “Fear of Missing Out” dan “You Only Live Once” telah menjadi “cogan kata” dan gaya hidup masyarakat kini terutamanya generasi muda dalam menjalani kehidupan. Tanpa disedari FOMO dan YOLO telah merebak dengan cepat dan meluasnya dalam masyarakat melalui perantaraan media sosial yang berbagai jenama dan beragam gunanya. FOMO dan YOLO yang tidak terkawal boleh mendatangkan akibat yang buruk terhadap kehidupan individu dan masyarakat. Trend ini perlu dilihat baik dan buruknya melalui kaca mata Islam.
Definisi FOMO dan YOLO
FOMO yang boleh diterjemah kepada “takut ketinggalan” adalah istilah yang mula diperkenalkan pada tahun 2024 dan kemudian digunakan secara meluas bagi merujuk suatu fenomena yang diperhatikan dalam laman-laman rangkaian sosial atau lebih dikenali dengan media sosial. Menurut Cambridge Dictionary, FOMO adalah perasaan takut dan risau ketinggalan daripada melakukan sesuatu perkara atau menyertai sesuatu aktiviti yang mengujakan lebih-lebih lagi disebabkan benda-benda yang dilihat dalam media sosial. Menurut Oxford English Dictionary, istilah “you only live once” atau YOLO digunakan untuk menggambarkan gaya fikir yang melihat bahawa seseorang itu perlu menggunakan peluang yang ada pada masa sekarang dengan sebaik-baiknya tanpa rasa risau dengan masa hadapan. Gaya fikir atau sudut pandang ini kebiasaannya digunakan untuk merasionalkan tingkah laku impulsif atau semberono.
FOMO Dan YOLO Sebagai Cara Pandang Kehidupan
Jika diteliti, perkataan “fear” dalam frasa FOMO menggambarkan rasa takut, risau, gelisah, dan tidak keruan yang dialami oleh seorang itu apabila “missing out” atau ketinggalan untuk mengikuti atau terlibat bersama melakukan perkara-perkara yang difikirkannya mengujakan dan menyeronokkan berdasarkan trend-trend tular di media sosial. Mereka yang berpegang dengan konsep FOMO, akan cenderung mengalami ketagihan terhadap media sosial kerana merasakan perlu untuk sentiasa mendapatkan maklumat berkenaan trend-trend terkini. Mereka juga terdedah untuk melakukan tindakan impulsif atau membuat keputusan secara terburu-buru tanpa pertimbangan sewajarnya kerana ingin memenuhi kehendak diri dan mendapatkan pengiktirafan sosial daripada orang lain.
Konsep YOLO pula akan menjadikan seseorang individu itu sanggup melakukan apa pun demi keseronokan dan keterujaan walaupun perkara yang ingin dilakukan itu adalah sesuatu yang buruk dan berbahaya. Mereka yang mempunyai mentaliti juga cenderung kepada perlakuan dan keputusan yang dibuat secara melulu dan tanpa berfikir panjang. Hal ini kerana, mereka beranggapan hidup ini hanya sekali dan perlulah dinikmati semaksimum mungkin supaya tidak menyesal di kemudian hari.
FOMO dan YOLO dilihat sebagai satu cara pandangan atau pemikiran dalam membuat pilihan dalam kehidupan daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Individu yang mempunyai mentaliti FOMO dan YOLO akan melakukan sesuatu perkara hanya untuk berasa seronok dan puas tanpa melibatkan pertimbangan sewajarnya berdasarkan neraca agama dan akal yang sihat. Tanpa kita sedari konsep FOMO dan YOLO ini boleh menjurus kepada ideologi hedonisme yang merujuk kepada sudut pandang kehidupan yang mementingkan dan berpaksikan keseronokan, kesenangan dan kepuasan tanpa batas.
Islam sebagai Cara Hidup
Dalam Islam, kehidupan di dunia ini adalah satu ujian buat manusia. Ujian tersebut bukanlah berpaksikan penilaian kepada kekayaan, kemasyhuran dan kesenangan di dunia, tetapi adalah berasaskan amal kebaikan yang dilakukan. Hal ini bertepatan dengan apa yang disebutkan dalam al-Quran, surah al-Mulk, ayat kedua yang bermaksud, “Dialah (yakni Allah) yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”
Berbeza dengan cara padangan FOMO dan YOLO, Islam menganjurkan kita supaya mengatur kehidupan secara seimbang antara keperluan duniawi dan ukhrawi. Prinsip ini menjadikan seseorang itu lebih fokus kepada matlamat akhirat, tanpa mengabaikan tanggungjawab di dunia. Hal ini berbeza dengan mentaliti FOMO dan YOLO yang berpusat kepada keseronokan jangka pendek tanpa mengambil kira akibat atau tanggungjawab yang lebih besar.
Selain itu, Islam juga mengajarkan pentingnya muhasabah (introspeksi diri) sebelum melakukan sesuatu tindakan, sejajar dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Orang yang bijak ialah orang yang sentiasa memperbaiki dirinya dan beramal untuk persiapan selepas mati, dan orang yang bodoh ialah orang yang mengikuti hawa nafsunya serta mengharapkan angan-angan kosong daripada Allah.” (Riwayat Tirmizi). Prinsip ini jelas menolak gaya hidup YOLO dan FOMO yang sering dikaitkan dengan keputusan impulsif dan tanpa pertimbangan.
Kesimpulan
Mentaliti FOMO dan YOLO, jika tidak dikawal, boleh menyebabkan manusia terperangkap dalam gaya hidup yang berasaskan hedonisme, impulsif, dan materialistik. Sebaliknya, Islam menawarkan panduan hidup yang lebih bermakna, yang menekankan keseimbangan antara dunia dan akhirat, serta kebergantungan kepada Allah SWT sebagai tujuan utama.
Sebagai umat Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan syariat Islam sebagai neraca kehidupan, mengutamakan prinsip qana‘ah, ihsan, taqwa, dan wasatiyyah dalam setiap aspek kehidupan. Dengan cara ini, kita dapat menghindari pengaruh negatif FOMO dan YOLO, serta menjalani kehidupan yang diredai oleh Allah SWT.