“Aku mencapai kunci rumah lama ayahku,
Tersimpan di bawah bantal,
Aku menciumnya, memeluknya,
Air mataku menitis ke atasnya,
Dan aku berkata, aku rindu kepada mereka yang pernah memegangmu.”
Mohamed Arafat, penyair Palestin
Bait-bait puisi ini bukan sekadar meluahkan rasa rindu seorang anak kepada keluarga, tetapi juga simbol kerinduan rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka. Kunci rumah lama merupakan metafora bagi tanah kelahiran yang tidak lagi dapat dijejaki. Hak untuk kembali ke tanah air dinafikan oleh rejim Zionis Israel melalui penguatkuasaan Undang-Undang Kewarganegaraan 1951 meskipun hak berkenaan dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948 serta Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR) 1966. Oleh yang demikian, rakyat Palestin, generasi demi generasi,menjadi pelarian di bumi asing, sementara tanah air mereka terus dijajah serta dijarah.
Bagi rakyat Malaysia, pengalaman perit yang dilalui rakyat Palestin akibat tanah air mereka dirampas membawa peringatan penting; kewarganegaraan dan kemerdekaan merupakan nikmat yang tidak ternilai. Sejak 31 Ogos 1957, negara ini menikmati kebebasan daripada pendudukan Inggeris. Tarikh keramat itu juga menandakan tanah bertuah ini menjadi milik bangsanya sendiri secara mutlak. Pemasyhuran kemerdekaan itu juga menunjukkan bahawa Malaysia merupakan negara yang merdeka dan berdaulat. Sejurus selepas kemerdekaan, Perlembagaan Malaysia yang digubal berdasarkan nasihat Suruhanhaya Reid mula dikuatkuasakan. Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara antara lain menyediakan rangka perundangan negara, menggariskan prinsip pemerintahan negara, serta melindungi kebebasan asasi dan kepentingan rakyat.
Hak yang dijamin oleh Perlembagaan memberikan peluang kepada rakyat atau warganegara untuk membina kehidupan yang bermaruah, menentukan masa hadapan sendiri, serta menikmati keamanan dalam negara yang berdaulat. Hal ini dapat dilihat melalui jaminan kebebasan asasi seperti kesamarataan di sisi undang-undang, kebebasan bersuara dan beragama, serta hak untuk hidup dan kebebasan diri. Semua ini penting bagi memastikan kemerdekaan benar-benar bermakna kerana ia membolehkan setiap warganegara memanfaatkan peluang yang disediakan misalnya dalam bidang pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan penyertaan dalam kehidupan awam tanpa diskriminasi. Hak yang dijamin ini pula membolehkan setiap rakyat melaksanakan tanggungjawab terhadap negara bagi memastikan kesejahteraan kehidupan masyarakat dan kestabilan negara kekal terpelihara.
Kebebasan yang diperuntukkan Perlembagaan juga dengan mengambil kira kepelbagaian fabrik masyarakat Malaysia, iaitu dari aspek agama, kaum dan budaya. Bagi kebebasan menganut dan mengamalkan agama, formula atau prinsip “aman dan damai” diperkenalkan, iaitu melalui Perkara 3(1) yang turut memartabatkan kedudukan Islam sebagai agama bagi negara. Dalam hubungan ini, setiap anutan atau amalan agama lain hendaklah menghormati agama Islam dan mementingkan keamanan serta keharmonian. Kebebasan beragama yang disebut dalam Perkara 3 juga menegaskan bahawa agama lain boleh diamalkan. Selain itu, Perkara 11 menjamin kebebasan beragama, tetapi melalui Perkara 11(4), Dewan Undangan Negeri dan Parlimen berkuasa menggubal undang-undang untuk mengawal pengembangan agama lain dalam kalangan orang Islam. Peruntukan ini menunjukkan keseimbangan antara kebebasan beragama dengan keutamaan memelihara keamanan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk. Selaras dengan matlamat luhur ini, Piagam Harmoni yang dibangunkan IKIM mensasarkan matlamat untuk memupuk perpaduan serta mencegah konflik di samping mengangkat Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara sebagai pemangkin negara bangsa berdaulat.
Peluang mengamalkan agama yang diperuntukkan Perlembagaan dan insiatif yang digerakkan untuk mengukuhkan perpaduan amat wajar disyukuri, khususnya dengan membandingkan situasi yang dialami saudara seagama di negara-negara lain. Sebaagi contoh, etnik Rohingya di Myanmar yang dinafikan status kewarganegaraan mereka meskipun telah berabad-abad mendiami tanah Rakhine. Tanpa pengiktirafan sebagai warganegara, mereka dinafikan hak, hatta yang paling asas termasuk untuk mengamalkan agama. Etnik Rohingya juga sebagaimana dilaporkan Amnesty International berdepan penderitaan berterusan akibat pencabulan hak kemanusiaan oleh junta tentera Myanmar sejak 1978. Selain itu, mereka menjadi mangsa pelbagai bentuk penindasan termasuk cukai yang membebankan, rampasan tanah, perobohan rumah, serta pengusiran dari kampung halaman. Pada tahun 1978, kira-kira 250,000 orang Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh akibat Operasi Nagamin. Bagi Myanmar, Rohingya dianggap pendatang dari Bangladesh dan tidak diiktiraf sebagai sebahagian daripada 137 minoriti etnik negara itu, manakala Bangladesh enggan menerima mereka. Keadaan ini menjadikan Rohingya sebagai bangsa tanpa negara.
Pengalaman yang sama dideritai etnik Uyghur di Xinjiang yang berhadapan diskriminasi dan sekatan terhadap hak beragama. Dalam sebuah mesej yang dikirimkan oleh sahabat berbangsa Uyghur kepada rakan penulis menjelang kemerdekaan negara, beliau menzahirkan perasaanya, “Sebagai seseorang yang tidak mempunyai tanah air, saya sering tertanya-tanya bagaimana rasanya meraikan kemerdekaan negara sendiri. Namun, setiap kali tiba tarikh ini, saya tidak dapat menahan kegembiraan melihat kemeriahan rakyat Malaysia meraikan Hari Kebangsaan. Saya berdoa agar Allah sentiasa memberkati tanah ini dengan keamanan, perpaduan, dan kemakmuran.”
Ungkapan penuh kejujuran ini mengingatkan kita bahawa negara, kewarganegaraan, dan kemerdekaan merupakan anugerah tidak ternilai. Pengalaman rakyat atau bangsa yang tidak memiliki keistimewaan yang sama seharusnya dijadikan pengajaran. Negara tanah tumpah darah kita ini mesti dipertahankan melalui kegigihan usaha untuk memelihara perpaduan, mengelakkan perpecahan, dan menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian. Dalam konteks ini, ilmu memainkan peranan yang amat penting kerana melaluinya masyarakat memperoleh kefahaman tentang kepelbagaian agama, budaya dan etnik. Hal ini seterusnya membolehkan mereka menghargai perbezaan dan menjadikannya sumber kekuatan, bukannya titik perbalahan. Pendidikan yang berteraskan nilai hormat-menghormati dan semangat kebersamaan dapat membina kesedaran bahawa perpaduan merupakan prasyarat utama bagi kestabilan dan kemajuan negara. Pembelajaran ilmu secara berterusan bukan sahaja dapat melahirkan insan berakhlak mulia, beradab, dan bertanggungjawab, tetapi juga menjamin kelangsungan perpaduan dalam negara majmuk seperti Malaysia.
Selain ilmu, amat penting bagi rakyat negara ini mengetahui dan menghayati sejarah negara. Kefahaman yang tepat tentang sejarah tanah air dapat mengukuhkan perpaduan dan meneguhkan rakyat untuk menghadapi cabaran getir zaman. Kita tidak dapat melangkah maju dengan penuh keyakinan dan berasaskan kesatuan tujuan, tanpa mengetahui dengan jelas pembentukan bangsa dan negara. Begitu juga jika kita tidak mengambil iktibar daripada pengorbanan dan kejayaan yang telah dicapai di samping kesilapan dan kegagalan yang pernah dilakukan serta tidak mengulanginya. Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas menegaskan, “Hati yang hampa tiada mengandungi sejarah bangsa, tiadakan dapat tahu menilai hidup yang mulia; penyimpan khabar zaman yang lalu menambah lagi, pada umurnya umur berulang berkali ganda.”
Hargai nikmat bernegara. Selamat Hari Malaysia!