Peristiwa Ma’al Hijrah yang disambut sebagai permulaan takwim Islam iaitu pada satu Muharram, merupakan suatu peristiwa yang penuh bersejarah kepada umat Islam khususnya dan umat manusia amnya. Peristiwa penghijrahan umat Islam dari Kota Makkah ke Madinah merupakan satu tindakan perancangan yang penuh dengan pengiraan jangka jauh untuk menterjemahkan Gagasan dan Wawasan Islam dalam bentuk penyusunan masyarakat bernegara.
Islam yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W bermula di Makkah sejak tiga belas tahun sebelum hijrah. Dalam usia pengikut Nabi yang masih baru dengan Islam ketika di Makkah ini, banyak rintangan terpaksa mereka hadapi. Mereka ditindas, dizalami dan dipencilkan oleh masyarakat jahiliyah setempat di Makkah. Namun demikian keimanan yang mantap dan disertai dengan kepemimpinan, keilmuan dan tauladan perilaku Rasulullah S.A.W. sendiri sebagai contoh ikutan, umat permulaan Islam itu mampu menghadapi cabaran dengan penuh keyakinan kepada pencapaian kemenangan. Mereka mampu menghayati kebenaran. Hakikat ini membolehkan mereka membezakan di antara yang benar dengan yang batil.
Pada awal usia Islam di Makkah, umat yang kecil bilangan itu di susun dengan begitu rapi dan kemas oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabat baginda. Mereka dididik dengan keimanan yang mantap dan disertai dengan keilmuan Islam. Ayat-ayat Al-Quran yang diturun di Makkah bukan sahaja membina keimanan manusia kepada keEsaan hanya kepada Allah S.W.T dengan menolak kepada penyembahan manusia kepada patung berhala tetapi sekali gus mendidik manusia kepada pentingnya hidup bermuafakat dalam masyarakat untuk meneggak kebenaran.
Pandangan hidup yang maju dan sesuai dengan sifat kemanusiaan ini sudahpun diperkenalkan oleh ayat-ayat al-Quran yang diturun di Makkah sebagai persiapan untuk hidup bernegara kelak. Pandangan hidup yang maju ini memberi kekuatan untuk mereka secara yakin untuk mempertahankan dari ancaman Quraish Makkah pada masa itu. Mereka menyakini bahawa pendekatan Islam adalah lebih unggul dari sistem hidup jahiliyah masa itu. Sistem hidup Islam memberi tempat untuk kesemua gulungan tanpa memihak kepada suku kabilah tertentu. Setiap individu mempunyai tempat dalam masyarakat.
Pendekatan hidup Islam yang dihayati oleh masyarakat awal Islam ini dianggap oleh pembesar Quraish pada masa itu sebagai satu ancaman merbahaya kepada sistem hidup jahiliyah di Makkah. Sistem bermasyarakat jahiliyah yang sedia ada pada masa itu akan dapat mengekal kedudukan keistimewaan mereka. Mereka akan terus berkuasa dan meneruskan penindasan ke atas masyarakat umum Makkah tanpa penentangan. Masyarakat yang khayal dengan kehidupan yang berlandaskan nafsu dan struktur masyarakat yang berpuak-puak dengan sistem perhambaan itu mampu pimpinan jahiliyah Quraish meneruskan keadaan masyarakat tersebut. Penyembahan kepada patung berhala adalah sesuatu elak untuk masyarakat umum semoga terus berkhayal kepada keadaan sebenar.
Memandangkan kota Makkah pada masa itu adalah sebuah kota yang dikunjungi ramai oleh masyarakat Arab dari beberapa tempat yang berjauhan untuk beribadat di Kaabah dan berniaga, jumlah perdagangan yang berlangsung turut sama besar dan sekaligus menjadi Kota Makkah sebuah kota yang penting. Gulungan yang berkuasa terhadap kota tersebut sudah pasti dapat mengaut keuntungan yang besar dari peranan bandar tersebut.
Islam datang untuk merubah dan meroboh sistem jahiliah Makkah yang zalim dan tidak berkemanusiaan itu. Islam membawa suatu tujuan untuk membangun masyarakat Makkah ke arah suatu sistem yang mendukung kebenaran melalui pengabdian kepada perintah Pencipta manusia. Allah menganjur penyusunan umat manusia hendaklah berasaskan semangat keadilan dan kasih sayang sesama manusia dalam bermasyarakat. Dasar ini sudah pasti memberi peluang yang sama untuk masyarakat umum Makkah pada masa itu.
Gagasan Islam ini memerlu kepada kepemimpinan yang adil dan berusaha membina peribadi atau sahsiah manusia yang murni dan merdeka. Semangat keadilan dan peningkatan akhlak manusia mendukung kebenaran tidak boleh di terima oleh pembesar Makkah pada masa itu.
Akibat dari penentangan hebat kaum jahiliyah Makkah kepada umat Islam yang kecil bilangan pada masa itu, Rasulullah S.A.W memerintahkan sebilangan pengikutnya pada awal berhijrah ke Habasyah. Enam belas pengikut Rasulullah S.A.W mulai berhijrah ke Habasyah. Rombongan tersebut kembali semula ke Makkah setelah mendapat berita masuk Islamnya Umar bin Khattab. PengIslaman Umar menambah kekuatan kepada perjuangan Islam di Makkah.
Walaupun kian hari Islam makin bertambah kuat, namun permusuhan Quraish terhadap pengikut Islam kian meningkat dengan lebih berancangan. Mereka memutuskan untuk membunuh Nabi S.A.W dengan mengembelingkan kesemua suku kaum Quraish di Makkah.
Quraish jahiliyah merancang, Rasulullah dan pengikutnya turut merancang. Dalam suasana sedemikian Allah S.W.T membuat penentuan semoga Rasulullah berhijrah ke Kota Madinah. Sebelum itu Rasulullah S.A.W. sudahpun mempunyai perhubungan sokongan dengan beberapa jumlah penduduk Madinah yang datang ke Makkah untuk beribadat di Kaabah. Mereka yang datang dari Madinah ini mampu didekati oleh Rasulullah S.A.W. dan sahabatnya. Mereka menyakini kepada Islam dan terus menyebar Islam sekembali ke Madinah. Terdapat banyak memeluk Islam dari usaha tersebut.
Penghijrahan Rasulullah S.A.W. dan gulungan Muhajirin Makkah di terima baik oleh gulungan Ansar Madinah. Dari dasar muafakat yang luar biasa di antara mereka, prinsip Islam mampu di laksanakan untuk membangun masyarakat Islam di Madinah. Masyarakat Madinah yang berbilang kaum dan agama ditadbir dengan panduan sebuah perlembagaan yang dikenali sebagai Shahifah Madinah. Perlembagaan ini dibina di atas semangat keadilan dan kaish sayang umat manusia. Di atas kejayaan tersebut, Madinah mampu di tadbir dengan baik sehingga suasana politik dalamannya mampu berperanan dengan baik dan urusan pembanguan negara tersebut berjalan dengan lancar.
Penghayatan prinsip bermasyarakat secara Islam di Madinah merupakan kemuncak kepada kejayaan Islam. Masyarakat majmuk Madinah mampu dan bersedia tunduk menghormati kepada nilai Illahi. Umat Islam pada awal penghijrahan adalah masyarakat minoriti. Namun dengan kewibawaan kepemimpinan Rasulullah S.A.W dalam melaksanakan prinsip Islam umat bukan Islam merasai mereka turut maju dengan Islam. Itulah kejayaan anjuran Islam dalam menyusun umat manusia bermasyarakat dan bernegara.
Walaupun terdapat permusuhan dan kerenah kaum mushyrik Yahudi di Madinah, tipu helah dan penentangan mereka mampu ditumpas oleh kepemimpinan Rasulullah S.A.W. Kewibawaan kepemimpinan dan akhlak mulia umat Islam di bawa teraju Rasulullah S.S.W. mampu membawa masyarakat Madinah terus membangun dan maju. Tamadun manusia yang menjadi ikutan umat manusia dahulu dan sekarang dibina dengan teguh dan mulia oleh Rasulullah S.A.W di Madinah.
Peristiwa hijrah yang menjadi asas kepada takwim Islam adalah suatu peristiwa yang perlu dikaji dan direnungi oleh umat Islam dewasa ini. Dalam membina dan menyusun umat manusia dengan berpaksikan nilai Illahi yang berteraskan kebenaran melalui roh keadilan, halangan yang besar sudah pasti menjadi lumrah. Risalah para Nabi yang diperintah oleh Allah S.W.T untuk meneggap kebenaran kepada penyusunan umat manusia terpaksa melalui liku dan ranjau yang pahit. Islam hanya boleh dibangun dan dibina di atas ketokohan pemimpin, kemantapan pengikut melalui keilmuan dan keimanan dan kecintaan jitu umatnya kepada Allah S.W.T mengatasi segala habuan nafsu duniawi.
Peristiwa hijrah mengajar kita kepada erti pengorbanan. Kehidupan manusia pada hakikatnya jika mahu berjaya perlu melalui liku dan ranjau. Usaha kita adalah penentu kepada kejayaan masa hadapan sendiri. Kejayaan umat Islam Makkah (muhajirin) yang terpaksa berhijrah demi untuk meneggap keadilan Illahi dan seterusnya usaha muafakat membangun Islam dengan kaum Ansar di Madinah menjadi satu pengajaran yang penuh erti. Inipun untuk mereka yang mencari dan meneggap kebenaran demi memperolehi restui Allah S.W.T.
Peristiwa hijrah sangatlah tepat untuk bermulanya takwim Islam. Ia adalah satu peristiwa tindakan perancangan untuk membangun Islam secara syumul. Bagi Islam setiap masa berlalu perlu kepada kita untuk menilai kepada usaha yang silam dan mengatur langkah untuk masa yang akan ditempuhi. Jika peluang dirasai sesuai, setiap umat Islam perlu merebutnya ke arah mendaulatkan ajaran Islam. Ajaran yang sesuai dengan fitrah kemanusiaan bermasyarakat dan bernegara.