Islam mengiktiraf bahawa individu yang tidak mempunyai kapasiti mental penuh (disebut sebagai majnun) tidak dianggap bertanggungjawab atas tindakan mereka seperti orang yang mempunyai kemampuan mental sepenuhnya.
Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda mafhumnya, “Diangkat qalam (pena) daripada tiga golongan, iaitu orang yang sedang tidur sehingga dia bangun, kanak-kanak sehingga mencapai baligh, dan orang yang tidak waras sehingga dia kembali siuman.”
Bersandarkan hadis tersebut, tanggungjawab atau taklifan diangkat bagi mereka yang tidak mempunyai kapasiti mental yang normal. Hadis ini memberi petunjuk bahawa seseorang dengan kekurangan upaya mental tidak dianggap berdosa atau bertanggungjawab ke atas perbuatan yang mereka lakukan, apa lagi jika perbuatan itu tidak disengajakan.
Terdapat sekurang-kurangnya dua peranan utama yang dimainkan oleh akal yang sihat menurut perspektif Islam. Pertama ialah al-tamyiz iaitu kemampuan untuk membezakan kebaikan dengan keburukan. Kedua ialah al-fahm iaitu memahami sesuatu dengan tepat termasuk berkaitan sebab dan akibat.
Atas sebab itu, Islam secara tegas melarang ketidakadilan, penindasan dan keganasan ke atas individu dengan kekurangan upaya mental. Tambahan pula, perbuatan memukul atau mencederakan individu dengan ketidakupayaan mental adalah bertentangan dengan prinsip Islam yang melindungi golongan lemah dan tertindas.
Undang-undang Malaysia menerusi Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) mengiktiraf keperluan untuk melindungi pelbagai kategori orang kurang upaya (OKU) termasuk OKU mental.
Kurang upaya mental merupakan satu daripada tujuh kategori kurang upaya yang turut merangkumi kurang upaya fizikal, pendengaran, penglihatan, pertuturan, pembelajaran dan pelbagai. Kurang upaya mental ditakrifkan sebagai “individu berpenyakit mental teruk yang telah diberi rawatan atau telah diberi diagnosis selama sekurang-kurangnya dua tahun oleh pakar psikiatri.”
Individu dengan ketidakupayaan mental tidak mempunyai keupayaan kognitif sama ada sebahagian atau penuh dalam hal berkaitan diri atau perhubungan dalam masyarakat, menyebabkan mereka tidak mempunyai kemampuan sepenuhnya untuk memahami akibat daripada tindak-tanduk mereka. Hal ini berkait dengan fungsi al-tamyiz dan al-fahm yang berkait dengan fungsi akal dan kebertanggungjawaban (taklifan) dalam Islam.
Mengambil kira perkara ini, sistem perundangan memberi pertimbangan terhadap keupayaan kognitif mental seseorang dalam menentukan kebertanggungjawaban sesuatu tindakan yang dilakukan. Atas sebab itu, dalam senario kemalangan yang tidak disengajakan yang disebabkan oleh OKU mental, mereka mungkin tidak dianggap bertanggungjawab dari sudut undang-undang disebabkan keadaan mereka ini.
Sementara itu dari perspektif sosial, penekanan perlu diberikan terhadap keadilan sosial, empati dan peranan masyarakat dalam melindungi dan menyokong golongan OKU termasuk OKU mental. Masyarakat yang adil dan bertamadun menekankan keadilan sosial apabila setiap individu, tanpa mengira status keupayaan mental, harus diperlakukan dengan hormat dan bermaruah.
Golongan OKU mental merupakan sebahagian daripada kumpulan rentan yang memerlukan perlindungan tambahan. Menghukum mereka melalui keganasan hanya memburukkan lagi keadaan sehingga membawa kepada ketidakadilan sosial.
Apabila seseorang OKU mental menyebabkan kemalangan yang tidak disengajakan, masyarakat harus bertindak secara bijaksana dan adil dengan mengambil kira keadaan mental individu tersebut dan memberikan sokongan yang diperlukan, bukannya bertindak balas secara kasar sehingga memukul atau mencederakan.
Salah satu sebab berlakunya keganasan terhadap golongan OKU mental adalah kurangnya kesedaran masyarakat tentang isu-isu kesihatan mental. Stigma terhadap golongan rentan ini masih berleluasa dalam masyarakat sehingga mereka dilihat sebagai satu beban, atau lebih malang lagi, dianggap berbahaya kepada masyarakat.
Persepsi mendukacitakan ini boleh diatasi menerusi pendidikan yang diberikan kepada ahli masyarakat tentang golongan OKU mental supaya mereka lebih memahami dan mempunyai sifat empati terhadap keadaan golongan rentan ini.
Peningkatan kesedaran membantu mengurangkan stigma dan memastikan orang ramai lebih bersedia untuk memberi sokongan dan bukannya bertindak balas dengan keganasan apabila berlaku kesilapan yang tidak disengajakan.
Pendekatan inklusif harus diambil dengan masyarakat memainkan peranan dalam menyediakan sokongan kepada individu yang memerlukan termasuk golongan OKU mental. Perkara ini merupakan satu tanggungjawab bersama untuk menjaga kesejahteraan semua anggotanya termasuk golongan rentan.
Apabila berlaku tindakan keganasan terhadap golongan OKU mental, bermakna masyarakat gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ahli masyarakat seharusnya melindungi dan membela golongan rentan dengan memastikan mereka tidak dizalimi.
Insiden yang berlaku di Kemaman pada awal tahun ini apabila beberapa orang individu memukul OKU mental perlu dijadikan iktibar dan peringatan supaya perkara seperti ini tidak lagi berulang pada masa akan datang. Tindakan mencederakan seorang OKU mental selepas kemalangan yang tidak disengajakan tidak sepatutnya berlaku.
Islam sebaliknya menganjurkan sifat ihsan, belas kasihan dan keadilan. Perkara ini jugalah yang ditekankan menerusi salah satu teras Malaysia MADANI yang mendukung prinsip ihsan. Melakukan ihsan sesama manusia terutama melibatkan golongan OKU memberikan cerminan sebenar keperibadian seorang insan yang bertamadun.
Lebih-lebih lagi, pada bulan Ramadan yang mulia ini, kita dididik dengan sifat ihsan menerusi pelbagai amal kebajikan yang dilakukan. Dalam usaha membentuk sifat seorang muhsinin, wajar sekali ia merangkumi sifat empati, belas kasihan dan penjagaan terhadap golongan OKU termasuk OKU mental.