Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima yang menerajui negara dari tahun 2003 hingga 2009, merupakan sosok yang sering dikenang sebagai seorang negarawan berjiwa luhur, pemimpin berwawasan Islam progresif dan pemacu pembangunan insan serta nilai integriti dalam pentadbiran. Di sebalik pendekatan beliau yang lembut dan bersederhana, tersimpan keberanian besar untuk melakukan pembaharuan yang menyentuh akar struktur pentadbiran, masyarakat dan keagamaan di Malaysia.
Ketika mula mengambil tanggungjawab bagi menerajui negara daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2003, Tun Abdullah mewarisi sebuah negara yang pesat membangun tetapi sarat dengan cabaran sosial, politik dan institusi. Beliau mewarisi kerajaan dalam suasana pasca-transisi yang mencabar, namun berjaya memperkenalkan dimensi baharu kepimpinan negara yang bersifat lebih mendalam, berjiwa rakyat dan berlandaskan prinsip. Sebagai seorang tokoh berlatarbelakangkan keluarga Ulama’ dan berpendidikan agama serta pernah menjadi pentadbir dalam pelbagai portfolio kerajaan termasuk urusan agama Islam, beliau membawa satu gagasan pentadbiran baharu yang dikenali sebagai Islam Hadhari, satu pendekatan Islam yang menekankan kemajuan, keadilan sosial dan pembangunan seimbang.
Islam Hadhari bukanlah satu mazhab baru dalam agama, tetapi satu pendekatan pentadbiran yang memperlihatkan bahawa nilai-nilai Islam sejagat boleh bersinergi dengan pembangunan dunia moden. Diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2004, pendekatan ini digagaskan untuk membina tamadun umat yang seimbang antara rohani dan jasmani, antara pencapaian material dan nilai-nilai spiritual.
Terdapat 10 prinsip utama Islam Hadhari yang merangkumi aspek keimanan, keadilan, penguasaan ilmu, pembangunan ekonomi, perlindungan minoriti dan wanita, pemeliharaan alam sekitar dan keutuhan pertahanan. Semua prinsip ini bukan sahaja menyasar pembangunan umat Islam, tetapi turut mencerminkan kesediaan Malaysia menjadi model negara Islam yang progresif, terbuka dan berdaya saing di peringkat global.
Islam Hadhari merupakan manifestasi kebijaksanaan Tun Abdullah dalam berdakwah dengan menonjolkan syiar Islam yang bersifat universal dan membawa rahmat kepada seluruh alam serta berpaksikan maqasid syariah. Gagasan ini memperkukuh hakikat bahawa kemajuan tidak semestinya meminggirkan agama, malah Islam sendiri mempunyai kerangka untuk memimpin peradaban manusia ke arah pembangunan seimbang dan beretika. Pendekatan ini menjadikan Islam sebagai sumber dasar negara, bukan retorik politik. Ia menggerakkan pembaharuan dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, ekonomi, dan perundangan, dan membentuk naratif bahawa Islam itu mampu mendepani cabaran global tanpa kehilangan nilai asasi.
Kepimpinan Tun Abdullah juga dikenang atas inisiatif membina institusi nilai yang kekal relevan sehingga kini. Beliau menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada tahun 2004 sebagai tindak balas kepada keperluan untuk memperkukuh budaya integriti dalam sektor awam dan swasta. Ini bukan tindakan kosmetik, tetapi lahir daripada kesedaran bahawa sistem pentadbiran mesti dibina atas nilai insani dan akhlak, bukan sekadar undang-undang.
Melalui pelan integriti nasional (PIN), beliau menyasarkan pembentukan masyarakat bermaruah, beretika dan amanah di samping melangkaui retorik kepada pelaksanaan dasar dan pengukuhan budaya organisasi. Ini membuka jalan kepada pembentukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lebih bebas dan tersusun selepas zaman beliau.
Beliau secara tersirat telah menerapkan nilai-nilai syariah dalam dasar pembangunan negara, terutama dalam dokumen-dokumen penting seperti Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan perancangan Koridor Ekonomi Wilayah. Pendekatan ini menjadikan pembangunan bukan semata-mata bersifat fizikal dan material tetapi juga bersifat rohani dan berteraskan nilai dengan meletakkan manusia sebagai subjek pembangunan bukannya objek.
Seiring berjalannya waktu, Tun Abdullah dengan visi yang jauh ke hadapan, memerkasakan institusi ilmu dan pusat pemikiran, sekaligus mendorong pemikiran Islam yang kontekstual dan berwawasan. Beliau menekankan pemahaman syariah dalam kerangka negara bangsa moden yang kompleks yang mencerminkan komitmen terhadap Islam yang seimbang, rasional dan relevan. Beliau secara konsisten mempromosikan dialog tamadun dan kerjasama antara dunia Islam dan Barat, menyeru umat Islam untuk menguasai sains, ekonomi dan tadbir urus agar menjadi bangsa yang disegani dan bukan hanya reaktif terhadap cabaran geopolitik.
Selain itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi memainkan peranan yang signifikan dalam memperkukuh pendekatan Islam yang sederhana dan progresif. Usaha ini terbukti melalui penubuhan Institut Islam Hadhari (UKM) di Malaysia, pelancaran Global Hadhari Network dan penubuhan International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) sebagai institusi pemikiran Islam bertaraf antarabangsa. Di samping itu, Beliau turut memperkukuh sistem penyampaian dasar dan reformasi melalui penubuhan Halal Development Corporation (HDC), menjadikan Malaysia sebagai hab halal global yang menggabungkan syariah dengan daya saing ekonomi.
Selain itu, beliau juga merupakan Pengasas dan Penaung kepada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), sebuah platform berprestij yang menghimpunkan pemimpin negara, tokoh korporat dan cendekiawan Islam dari seluruh dunia untuk memperkukuh jaringan ekonomi, memperjuangkan keadilan ekonomi dan membina kerjasama rentas negara atas dasar nilai dan etika Islam. Melalui WIEF, Tun Abdullah membuka ruang kepada dunia Islam untuk keluar dari kepompong retorik dan menuju ke arah kerjasama ekonomi yang lebih realistik, praktikal dan berteraskan maqasid.
Melalui inisiatif-inisiatif ini, Malaysia di bawah kepimpinan beliau muncul sebagai rujukan antarabangsa dalam memperjuangkan Islam yang inklusif, berpaksikan nilai sejagat dan responsif terhadap cabaran global. Beliau menekankan pendekatan ilmu, dialog antara tamadun dan diplomasi yang matang dalam menangani isu-isu seperti ekstremisme, Islamofobia dan ketidaksamarataan.
Walaupun Tun Abdullah melepaskan jawatan Perdana Menteri pada 2009, Beliau tidak pernah berhenti memperjuangkan aspek nilai. Sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hampir satu dasawarsa, beliau terus membawa roh kepimpinan nilai yang sama, menjadikan IKIM sebagai medan ilmu, hujah dan kefahaman Islam yang mendalam. Di bawah kepimpinannya, IKIM bukan sahaja mengekalkan identitinya sebagai pusat intelektual Islam yang terkemuka, malah berkembang menjadi institusi yang lebih tersusun, berwibawa dan inklusif. Beliau mengangkat pendekatan Islam Wasatiyyah (kesederhanaan) sebagai prinsip asas kerja IKIM, menjadikannya rujukan penting bagi pelbagai isu dasar, hubungan antara agama, pendidikan dan pembangunan insan. Di titik inilah Tun Abdullah memperlihatkan Islam bukan sekadar fatwa yang menginspirasi atau ketakutan yang menghantui, melainkan sebagai jalan ilmu yang mencerahkan dan bukan sekadar bahan politik yang memecah belah, melainkan sebagai asas pembinaan ummah yang menyatukan.
Satu aspek yang terlalu sedikit disebut dalam sejarah, tetapi wajar diperakui ialah gaya kepimpinan Tun Abdullah yang unik. Kepimpinan beliau berasaskan akhlak. Dalam dunia yang semakin keras dan dingin, Tun Abdullah membawa kelembutan dan ketenangan, bukan sebagai kelemahan, tetapi sebagai kekuatan sebenar kepimpinan. Kata-kata beliau ringkas, tetapi padat dan berbekas.
Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sekadar Perdana Menteri, beliau adalah arkitek pemikiran Islam dalam pentadbiran moden Malaysia. Sesungguhnya beliau menunjukkan bahawa kuasa politik boleh menjadi ibadah, dasar kerajaan boleh dibina atas nilai dan agama tidak perlu disembunyikan di balik tabir, tetapi mesti dibawa ke hadapan dengan penuh hikmah dan hujah. Beliau tidak membina bangunan pencakar langit tetapi meninggalkan asas nilai yang menjulang negara.
Hari pemergiannya menyentuh hati bangsa. Di tengah kesedihan, kita menyaksikan satu kebenaran agung iaitu Islam Hadhari yang beliau pelopori tidak pergi bersamanya. Sebaliknya, pemergiannya menghidupkan kembali jiwa-jiwa yang lama alpa, menyatukan hati-hati yang sekian lama berserakan dalam persengketaan politik dan perbezaan fahaman.
Di hari pengebumiannya, kita menyaksikan penyatuan Malaysia. Pemimpin politik yang dahulu berseteru bersalaman dan berpelukan. Orang bukan Islam hadir ke masjid dengan penuh adab dan sopan, berdiri diam menghormati seorang pemimpin Islam yang sederhana. Rakyat pelbagai bangsa dan agama turut memberi penghormatan terakhir, bukan sekadar kepada seorang negarawan, tetapi kepada nilai-nilai yang beliau hidupkan sepanjang hayatnya.
Islam Hadhari, dengan terasnya yang membina, menyatu dan mendidik terus hidup dalam kesedaran rakyat. Ia tidak memerlukan sorakan massa atau slogan keras, cukup dengan teladan seorang pemimpin berjiwa mursyid yang meletakkan agama sebagai cahaya, bukan senjata. Pemergiannya adalah kehilangan besar. Namun warisannya adalah cahaya yang terus hidup, menyuluhi lorong masa depan negara yang mendambakan pemimpin berilmu, beramanah dan berjiwa rakyat.
Intihannya, Islam Hadhari adalah manifestasi awal kepada gagagsan Malaysia MADANI bagi membentuk sebuah negara yang bukan sahaja maju dari sudut tetapi dari sudut fizikal dan ekonomi tetapi juga berteraskan ilmu, nilai dan peradaban. Dengan kata lain, warisan ini membuktikan bahawa visi berteraskan nilai akan terus relevan, malah semakin penting dalam membentuk masa depan Malaysia yang lebih beretika, berdaya tahan dan berperadaban tinggi, menjadi panduan dalam menghadapi cabaran global dan memperkukuh identiti negara. Perkara inilah yang menjadi roh kepada gagasan Malaysia MADANI yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, suatu kesinambungan yang membawa negara ke hadapan dengan prinsip dan hala tuju yang jelas.
Malaysia MADANI mengangkat martabat bangsa melalui kerangka nilai yang utuh, memartabatkan ilmu, menjunjung keadilan sosial dan meraikan kepelbagaian dalam kesatuan. Inisiatif ini bukan sahaja mengekalkan idealisme Islam Hadhari yang diasaskan oleh Tun Abdullah, malah memperluaskannya dalam konteks cabaran semasa dan mendatang. Pada akhirnya, inilah landasan bagi membina sebuah negara bangsa yang progresif tanpa mengorbankan nilai dan prinsip.