Setiap tahun, musim haji menyaksikan perubahan ketara dalam cara umat Islam menunaikan rukun Islam kelima ini. Jika dahulu kala perjalanan haji sinonim dengan kesukaran, keletihan dan pengorbanan fizikal yang tinggi sehingga ada yang memakan masa berbulan-bulan perjalanan melalui kapal laut. Hari ini, pelbagai pakej ditawarkan—daripada pakej asas hinggalah ke pakej mewah yang menyediakan penginapan bertaraf lima bintang, makanan eksklusif dan perkhidmatan logistik yang efisien. Bagi para pembesar negara asing, ada yang turut menyediakan perkhidmatan helikopter dan pengawal keselamatan peribadi, sehingga dapat masuk ke dalam Kaabah yang mulia. Persoalannya, adakah keselesaan ini menjejaskan semangat sebenar atau ruh ibadah haji?
Hakikatnya, Islam tidak pernah melarang umatnya menikmati kemudahan. Bahkan, prinsip syariah meraikan kemudahan selagi tidak melanggar batas. Namun, dalam keghairahan memilih pakej yang selesa, terdapat kebimbangan bahawa sebahagian jemaah mungkin terlepas pandang satu aspek penting — iaitu ruh ibadat haji atau disebut semangat haji itu sendiri. Jika solat, ruh ibadat solat itu ialah khusyuk dalam solat, dan bukannya pergerakan rukun fi’li dan rukun qawli walaupun kedua-duanya penting bagi menentukan kesahihan dan keabsahan solat itu. Tetapi sah dari segi luaran, atau jasadiah semata-mata tidak mencukupi, sekiranya ruhnya lalai. Begitu juga ruh puasa itu itu bukan sekadar berlapar dah menahan haus perut dan tekak sahaja, tetapi juga “berpuasanya” juga sekalian anggota mata, telinga dan juga hati yang sentiasa berzikir kepada Allah SWT. Apabila zahir dan batin itu kedua-dua melaksanakan tuntutan ibadah ini, maka sempurnalah pelaksanaan sesuatu ibadah itu. Jika tidak, solat hanyalah seperti “ayam mematuk padi” ibarat pepatah orang tua-tua, gambaran kepada pergerakan fizikal tanpa ruh.
Semangat haji bukan terletak pada tahap kesusahan atau kemewahan, tetapi pada nilai kerohanian, pengorbanan dan ubudiyyah yang mendasarinya. Dalam hadis sahih, Rasulullah SAW menggambarkan jemaah haji sebagai datang kepada Allah dalam keadaan “kusut dan berdebu”. Gambaran ini bukan sekadar fizikal, tetapi simbol kepada kerendahan diri, pengorbanan dan penyerahan total seorang hamba di hadapan Tuhannya.
Para ulama hadis seperti Imam al-Nawawi dan Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa keadaan “kusut dan berdebu” itu adalah natijah daripada perjalanan ibadah yang panjang dan mencabar, bukan sesuatu yang perlu dicari-cari. Ia mencerminkan sikap meninggalkan kemewahan duniawi buat sementara, demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah. Dalam kata lain, ia adalah manifestasi zahir kepada hati yang tunduk dan jiwa yang khusyuk.
Namun, dalam konteks moden, keselesaan yang ditawarkan oleh pakej haji tidak semestinya bertentangan dengan semangat ini. Jemaah yang menginap di hotel berhampiran Masjidil Haram atau Masjid Nabawi masih perlu melaksanakan semua rukun dan wajib haji yang sama—wuquf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, melontar di Mina, tawaf dan sa’i. Tiada satu pun daripada ibadah ini yang boleh “dibeli” dengan wang atau digantikan dengan kemudahan. Yang berbeza hanyalah aspek pengurusan dan keselesaan fizikal. Justeru, isu sebenar bukanlah pada pakej, tetapi pada sikap dan penghayatan jemaah itu sendiri.
Bahaya yang perlu dielakkan ialah apabila keselesaan membawa kepada kelalaian. Ada jemaah yang terlalu bergantung kepada kemudahan sehingga kurang merasai kesungguhan ibadah. Ada juga yang lebih fokus kepada pengalaman eksklusif berbanding penghayatan rohani. Ada yang berbangga-bangga dengan pakej mewah dan eksklusif sehingga menimbulkan perasaan riya’ , sombong dan menunjuk-nunjuk. Dalam keadaan ini, semangat haji yang sebenar—iaitu merendah diri, bersabar, dan mendekatkan diri kepada Allah—berisiko terpinggir.
Sebaliknya, jemaah yang memahami hakikat haji akan menjadikan keselesaan sebagai alat, bukan tujuan. Mereka menggunakan kemudahan untuk memperbanyakkan ibadah, menjaga kesihatan dan mengekalkan fokus. Mereka sedar bahawa haji bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi perjalanan rohani dan jiwa yang menuntut mujahadah—walaupun dalam suasana yang selesa; menuntut ubudiyyah, penghambaan dan merasa hina di sisi Allah Yang Maha Agung.
Namun perlu ditegaskan bahawa kesusahan bukanlah ukuran mutlak penerimaan ibadah. Prinsip “lagi susah lagi baik” tidak boleh difahami secara literal tanpa panduan ilmu. Rasulullah SAW sendiri memilih jalan yang mudah apabila diberi pilihan antara dua perkara, selagi tidak berdosa. Ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang seimbang, tidak cenderung kepada ekstrem sama ada dalam kemewahan mahupun kesusahan. Namun begitu, keseimbangan ini menuntut kesedaran yang tinggi. Jemaah haji perlu sentiasa bermuhasabah: adakah hati mereka benar-benar hadir dalam ibadah, atau sekadar mengikuti rutin? Adakah mereka merasai kehambaan di hadapan Allah, atau lebih sibuk dengan keselesaan diri? Tiga perkara utama yang perlu dijaga ketika mengerjakan haji:
1. Niat dan keikhlasan
Pastikan haji dilakukan semata-mata kerana Allah, bukan untuk status, gelaran atau pengalaman. Haji mabrur bermula dengan hati yang bersih daripada riak dan sum‘ah.
2. Kepatuhan kepada syariat
Setiap rukun dan wajib haji mesti dilaksanakan dengan betul mengikut sunnah samada wuquf di Arafah; tawaf dan sa’i dengan tertib; menjaga larangan ihram dan lain-lain. Kesilapan dalam ibadah boleh menjejaskan kesempurnaan haji.
3. Akhlak dan kesabaran
Haji adalah medan ujian samada dalam bentuk kesesakan, perbezaan budaya dan keletihan fizikal. Jemaah perlu menjaga tutur kata, mengelakkan pertengkaran dan bersabar dengan ujian. Inilah antara tanda haji mabrur.
Semangat haji juga terserlah melalui sikap terhadap orang lain. Walaupun dalam pakej mewah, jemaah tetap berhadapan dengan jutaan manusia dari pelbagai latar belakang. Di sinilah nilai sabar, toleransi dan ihsan diuji. Haji bukan sekadar hubungan dengan Allah, tetapi juga hubungan sesama manusia. Akhirnya, matlamat utama setiap jemaah adalah mencapai haji mabrur—haji yang diterima Allah. Ganjarannya bukan kecil, bahkan dijanjikan syurga. Namun, haji mabrur tidak diukur dengan harga pakej atau tahap keselesaan, sebaliknya dengan keikhlasan, kepatuhan kepada sunnah dan perubahan diri selepas pulang dari Tanah Suci. Dalam dunia yang semakin moden dan serba canggih, umat Islam tidak perlu menolak kemajuan. Tetapi dalam masa yang sama, nilai-nilai asas ibadah tidak boleh dikompromi. Keselesaan boleh dipilih, tetapi semangat haji jangan sekali-kali dipinggirkan.
Kerana pada akhirnya, yang dinilai bukanlah sejauh mana perjalanan kita selesa, tetapi sejauh mana hati kita benar-benar sampai kepada-Nya.

