Ketibaan Syawal menandakan tamat ibadat puasa oleh umat Islam selama sebulan pada bulan Ramadan. Ibadat puasa disyariatkan bagi melatih diri kita menjadi insan bertakwa yang sentiasa mentaati segala perintah Allah SWT. Selepas sebulan berada dalam madrasah Ramadan, kita menyambut Aidilfitri sebagai tanda kejayaan usaha kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pada masa yang sama, kita mengharap agar Allah SWT memasukkan kita dalam kalangan hamba-Nya yang kembali kepada fitrah, yang suci (al-‘aidin) dan dalam golongan hamba-Nya yang berjaya (al-faizin). Jadi, unsur ketakwaan perlu dipelihara dan kita perlu berusaha menghindari daripada mencemarkan sambutan Syawal dengan unsur-unsur ketidakpatuhan kepada Allah SWT atau perkara-perkara yang dilarang oleh Islam.
Syawal 1442 Hijrah pada tahun ini merupakan kali kedua umat Islam menyambutnya dalam suasasa norma baharu. Jadi, kita sekali lagi terpaksa melupakan tradisi balik kampung, amalan kunjung mengunjung dan acara rumah terbuka.
Kekangan komunikasi dan hubungan secara fizikal yang disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai tahap bukan lagi menjadi halangan bagi kita menghubungi orang tersayang untuk memohon kemaafan dan bertanyakan khabar. Walaupun ia tidak seratus peratus menyamai dengan bersua muka secara nyata, setidak-tidaknya dengan teknologi maklumat dan komunikasi serta penggunaan pelbagai peranti canggih, kita dapat berinteraksi secara dalam talian dengan ibu bapa dan sanak saudara untuk menzahirkan keprihatinan kita terhadap kebajikan mereka.
PKP juga bukan bermakna kita perlu melupakan semangat yang dibawa oleh Syawal yang merupakan kesinambungan semangat yang terhasil daripada “didikan” Ramadan. Syawal seharusnya disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan. Justeru, unsur kesyukuran atas nikmat kurniaan Ilahi dan keprihatinan serta empati terhadap nasib saudara seagama yang dirundung malang di seluruh dunia perlu sentiasa tertanam kukuh dalam minda walaupun segala aktiviti harian kita dibatasi oleh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Dari sudut yang berbeza, PKP seharusnya dapat membantu kita untuk menghayati semangat Syawal ini dengan lebih baik. Dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19, kerajaan terpaksa mengambil langkah mengenakan PKP. Rentetan itu, ramai yang kehilangan kerja, kehilangan punca rezeki atau mengalami pengurangan pendapatan. Bagi mereka yang tidak terjejas dari segi ekonomi, seharusnya ia menjadi satu iktibar untuk menghadirkan keinsafan atas nasib yang menimpa saudara se-Islam yang terkesan tadi.
Rasa keinsafan ini akan menjadi lebih mendalam sekiranya pengamatan mereka dihalakan juga kepada masyarakat Muslim di Syria dan Palestin yang sentiasa berdepan dengan cabaran keselamatan dan kekurangan keperluan asas manusiawi.
Dalam hal ini, rasa keinsafan semata-mata adalah tidak memadai. Ia seharusnya disertai dengan reaksi kita menzahirkan rasa empati ini. Justeru semangat Ramadan yang menganjurkan kita membanyakkan amalan sedekah seharusnya diteruskan pada Syawal. Melalui kepesatan perkembangan teknologi kewangan (fintech), usaha menyalurkan bantuan kewangan baik dalam bentuk sedekah atau zakat mahupun pendanaan awam biasa (crowdfunding) bagi projek-projek kebajikan tertentu di dalam dan luar negara menjadi lebih mudah. Pokok pangkalnya bergantung kepada sejauh mana penghayatan kita terhadap asuhan Ramadan dapat diteruskan pada Syawal dan bulan-bulan seterusnya.
Seperkara lagi yang perlu ditekankan ialah Syawal juga menuntut kesederhanaan. Sama ada sebelum berlaku pandemik atau semasa krisis ini berlaku, unsur kesederhanaan—terutama yang berkaitan dengan sambutan Hari Raya amat dititikberatkan oleh Islam. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Nasa’i, Nabi SAW pernah dihadiahkan sehelai baju sutera tebal oleh Saidina Umar ibn al-Khattab untuk dipakai oleh baginda SAW semasa menghadiri solat Hari Raya dan semasa menerima tetamu dari luar. Bagaimanapun Nabi menolak hadiah tersebut dan mengembalikannya kepada Umar. Seterusnya, baginda SAW menyuruh Umar menjual baju tersebut manakala wangnya pula digunakan untuk keperluannya yang lain.
Tindakan baginda SAW memulang baju sutera tersebut menunjukkan Islam amat mementingkan kehidupan berdasarkan keperluan dan bukannya berdasarkan keinginan. Tambahan pula, pakaian sutera tidak harus dipakai oleh orang lelaki. Bersederhana merupakan asas budaya kehidupan dalam Islam. Menerusi budaya bersederhana, sifat-sifat prihatin dan ambil cakna terhadap mereka yang berada di sekeliling kita dapat disuburkan. Tambahan pula, dalam suasana sukar seperti sekarang, amalan bersederhana dalam segala aspek kehidupan dan dalam konteks artikel ini—sambutan Aidilfitri adalah suatu yang mustahak kerana kita tidak tahu bila pandemik ini akan berakhir. Pada masa yang sama, ramai lagi anggota masyarakat yang dihimpit kesusahan yang memerlukan keprihatinan kita terhadap kebajikan mereka. Jadi, dengan bersederhana, kita seharusnya dapat menyalurkan sedikit sebanyak lebihan yang ada bagi meringankan beban golongan ini.
Ringkasnya, semangar Ramadan tidak seharusnya berakhir dengan ketibaan Syawal. Bulan Syawal perlu menjadi permulaan baharu untuk kita mempraktikkan apa yang dilazimi sepanjang bulan Ramadan yang baru lepas, di mana kita menyucikan minda daripada pemikiran yang negatif dan mengurangkan keinginan duniawi yang melampau. Dengan kata lain, semangat Ramadan hendaklah sentiasa kita kekalkan sebagai panduan untuk menjalani kehidupan pasca bulan puasa. Memandangkan pasca Ramadan dimulakan dengan Syawal, maka pengisian sambutan Syawal perlu dipenuhi dengan ibadah dan amalan yang diredai Allah SWT. Ini juga bertepatan dengan kata-kata Ibn Rajab al-Hanbali: “Sesungguhnya Hari Raya bukanlah bagi orang memperindahkan pakaian dan kenderaan semata-mata, namun hakikatnya Hari Raya ialah bagi sesiapa yang diampunkan dosa-dosanya. Hari Raya juga bukanlah untuk orang memakai pakaian yang baharu namun sesungguhnya Hari Raya itu adalah untuk sesiapa yang keimanannya bertambah-tambah.”