Sebenarnya kita masih lagi tercari-cari di manakah kesinambungan kepimpinan generasi muda hari ini? Di manakah titik noktahnya? Akibat pelbagai keruntuhan akhlaq yang melanda akhir-akhir ini ia telah menimbulkan pelbagai kebimbangan dan keresahan daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa, institusi pendidikan dan pihak kerajaan. Inilah akibat keruntuhan akhlaq belia yang tidak kunjung padam pada hari ini. Keadaan ini menjadi lebih sukar bagi kita untuk memilih golongan pemimpin generasi hari ini untuk disifatkan pada masa akan datang.
Jika golongan ini tidak digilap pegangan akal dan kekuatannya dengan nilai-nilai keagamaan dan nilai-nilai murni, gejala-gejala rosak tidak mungkin akan berkurangan. Bahkan ianya bertambah banyak dan akan muncul pula kerosakan-kerosakan baru. Perkara yang membelenggu masyarakat seperti dadah, seks bebas, pelacuran di sana-sini, rogol, budaya samseng dan black metal antara penyakit lama yang belum diubati sepenuhnya. Belum pun sempat negara keluar dari kemelut lama, datang pula masalah baru seperti mat rempit, budaya gothik, isu murtad, buli, ajaran-ajaran sesat, pembuangan anak dan pelbagai perkara lagi yang cukup memburukkan. Semua ini melibatkan generasi muda masa kini.
Dalam menuju era globalisasi, masyarakat haruslah memberi peluang kepada generasi muda ini untuk menjadi pemimpin atau ketua, untuk memantapkan lagi corak kehidupan. Namun, kebelakangan ini terdapat beberapa perkara berkaitan remaja dan belia yang buruk. Justeru, bagaimanakah kita sebagai umat Islam untuk bertindak sebagai generasi akan datang untuk menjadi pemimpin yang disegani atau pemimpin yang dihormati? Adakah ini akan terjadi sekiranya kemelut masyarakat tidak dibanteras. Inilah salah satu cabaran paling utama demi menjadikan generasi hari ini sebagai pemimpin pada masa akan datang.
Jika kita melihat perbezaan belia Islam suatu ketika dahulu, pelajar dan golongan belia adalah nadi dan tonggak kepada pembangunan masyarakat. Golongan inilah yang banyak menitiskan keringat memperjuangkan faham pembaharuan sehingga sanggup berkering tekak dan bertegang lidah bagi memastikan matlamat dan wawasan perjuangan mereka termakbul.
Selain itu, sejarah juga telah merakamkan sumbangan belia-belia dalam mencipta kegemilangan ilmu pengetahuan, keamanan, dan perpaduan. Lihatlah insan-insan dahulu seperti Muhammad Al-Qasim, pemuda yang telah menerangi tanah India dengan nur Islam di zaman khilafah Umawiyah; Imam al-Syafi`i menjadi ilmuan ulung ketika mudanya, bahkan telah menjadi mufti ketika usia sembilan tahun; Muaz ibu Jabal, panglima perang yang berjaya menawan Kota Andalus, dan banyak lagi belia-belia Islam yang telah memahat kejayaan besar dalam lipatan sejarah manusia.
Hakikatnya, itu cuma gambaran dari lipatan sejarah kita puluhan tahun dahulu. Kini, angkatan generasi muda kita dianggap lesu dan tidak bermaya. Tiada lagi kedengaran suara-suara daripada para pejuang muda atau kelihatan kelibat tokoh-tokoh muda yang patut dibanggakan oleh masyarakat. Persoalannya bagaimanakah ini boleh terjadi? Di manakah generasi muda di mata masyarakat? Apakah tiada kesinambungannya untuk memimpin kini?
Generasi belia adalah kelompok yang paling besar dan bertenaga dalam masyarakat. Sehubungan itu, mereka haruslah diberikan peluang dan hala tuju agar mereka dapat mengambil peluang untuk meneroka ilmu baru, yakni kepimpinan Islam. Kesedaran ini perlu dalam membangkitkan kembali kesedaran dan cabaran di kalangan belia Islam masa kini.
Kita sedia maklum, bahawa Islam adalah agama shumul yang mengajar dan menuntut kita agar menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Islam merupakan satu landasan hidup. Beramal dengan Islam bererti melahirkan makhluq yang mencerminkan aqidah dan akhlak Islam, melahirkan umat yang berpegang teguh dengan pemikiran dan cara hidup yang dibawakan oleh Islam sebagai al-Din. Sewajarnya umat Islam di semua peringkat pada hari ini menyedari bahawa jatuh bangun faham agama, tamadun serta pengenalan umat banyak bergantung kepada kemampuan generasi muda. Dengan sokongan dan pengorbanan mereka, banyak berlaku peristiwa-peristiwa yang telah mengubah perjalanan masa depan dunia dan tamadun kemanusiaan. Itulah hasilnya jika generasi muda dididik dengan aqidah dan akhlak yang betul.
Sehubungan itu, dalam membentuk generasi muda hari ini, ibu bapa sewajarnya memberikan penekanan pendidikan agama. Pendidikan agama itulah akan menjadi satu landasan dan benteng dalam diri anak-anak untuk tidak terjerumus dalam gejala buruk masyarakat. Jiwa mereka mesti dibekalkan dengan unsur-unsur baik sebagai pembimbing akal fikiran dan pembakar semangat pada masa hadapan.
Namun, apa yang menyedihkan ialah sesetengah ibu bapa menjadikan pendidikan agama untuk anak-anak hanya satu amalan suri, yakni belajar di sekolah semata-mata. Apabila pulang ke rumah didikan agama ini diabaikan oleh ibu bapa, kerana segelintir ibu bapa merasakan pendidikan agama di sekolah sudah mencukupi. Tanggapan ini patut dibanteras jika ingin melihat golongan belia memberi sumbangan murni kepada kepimpinan negara. Pendidikan agama dan aqliah mestilah seiring dalam merangka kejayaan dunia dan akhirat. Faham agama tidak membuang dunia dan tidak pula semata-mata menumpukan akhirat. Malah faham agama Islam adalah anutan yang mengimbangi tuntutan hidup sekarang dan yang akan datang.
Selain itu, kerajaan perlulah memantau unsur pembangunan belia dan beliawanis. Hiburan-hiburan melampau harus dibanteras dan digantikan dengan amalan berfaedah. Media cetak dan elektronik perlu berfikir panjang sebelum memaparkan wayang dan rancangan harian. Kegiatan berunsurkan pengajaran, pembinaan jati diri, penghayatan agama, pencerdasan akal perlu diperbanyakkan, dan unsur-unsur lucah dan buruk wajib dibanteras. Apalah gunanya jika ekonomi dan pembangunan negara bertambah pesat, tetapi manusia hidup berada dalam ketakutan, hilang kepercayaan dan keamanan masyarakat semakin terhakis. Tiada guna negara berbangga dengan pencapaian sains dan teknologi maklumat, tetapi rakyat merasa terasing dalam negara sendiri.
Kesimpulannaya, pihak kerajaan, institusi pendidikan, NGO, institusi masjid, ibu bapa dan guru haruslah peka terhadap unsur belia hari ini. Pengajaran dari Hijrah Rasul mesti diperhalusi dengan sebaik mungkin. Jika belia di zaman dahulu telah membuktikan kemampuan mereka dalam mengatasi masalah besar, sudah tentu belia sekarang juga memiliki kemampuan untuk mencipta pembaharuan dan menjayakan matlamat ini. Semua ini bukanlah suatu yang mustahil jika semua pihak benar-benar sedar dan peka dalam pembentukan belia yang baik.
Jadi kini, kita mahu melihat kepimpinan muda sanggup berkorban dan ada keyakinan diri yang tinggi untuk memimpin umat Islam. Untuk menjadi pemimpin masa hadapan generasi muda sekarang perlu mempunyai asas kepimpinan yang jelas berpandukan aqidah, syarak dan akhlak yang baik. Akhlak yang baik dan mulia secara langsung dapat mencerna kepimpinan ke arah kesempurnaan seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT. Hanya pendekatan Islam inilah yang pasti dapat merungkai dan menyelesaikan permasalahan generasi muda masa kini. Jika permasalahan ini diubati segera, nescaya generasi muda sekarang boleh menjadi pemimpin masa hadapan dan impian ini akan menjadi satu hakikat dan bukan lagi khayalan.