Baru-baru ini negara dilanda krisis air akibat cuaca panas yang berpanjangan. Banyak kawasan yang terpaksa dicatu air mengikut jadual yang telah disediakan. Sehinggakan menjadi kebiasaan setiap hari untuk bertanya samada air ada atau tidak .
Perniagaan tong air pula mendapat sambutan yang amat menggalakkan sehingga ada peniaga yang mengambil kesempatan daripada keadaan ini. Catuan air memang sesuatu yang tidak digemari ramai. Ramai yang meluahkan kemarahan di ruang siber melalui laman sosial Facebook.
Mereka mengatakan pelaksanaan catuan air menyebabkan kesihatan terjejas, anak-anak terkena jangkitan kaki, tangan dan mulut manakala orang dewasa mengalami iritasi. Tidak kurang yang menggesa supaya catuan air ditamatkan dan mahukan air yang bersih di rumah masing-masing.
Kita dapati semua orang menuding jari dan menyalahkan orang lain dalam hal ini. Pernahkah kita muhasabah diri sendiri dan bertanya mengapa perkara ini berlaku. Mulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu sebelum kita menyalahkan orang lain. Sebagai permulaan, lihat amalan serta gaya hidup kita. Adakah selama ini sebagai pengguna kita mengamalkan ‘penggunaan lestari?
Penggunaan lestari bermaksud “menggunakan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan asas ke arah mencapai kualiti hidup yang lebih baik, pada masa yang sama meminimumkan penggunaan sumber asli, bahan toksik dan pengeluaran buangan dan bahan pencemar supaya tidak menggugat keperluan generasi akan datang”.
Dasar Pengguna Negara juga ada menyebut tentang galakan penggunaan lestari (sustainable consumption) di kalangan pengguna. Pada asasnya gaya hidup lestari mempunyai tiga nilai utama iaitu amalan bersederhana dalam kehidupan harian, berbelanja menurut kemampuan dan keperluan serta pelestarian alam sekitar.
Hidup bersederhana ertinya tidak keterlaluan dan berlebihan dalam segala segi. Tidak membazirkan sumber sesuka hati atau membeli pakaian yang mahal-mahal sehingga ada kalanya terpaksa pula berhutang. Ini kerana penghasilan semua barang atau perkhidmatan memerlukan sumber asli yang semakin sedikit iaitu bahan mentah, galian, air, pokok dan sebagainya.
Amalan hidup bersederhana sememangnya digalakkan dalam agama Islam. Sebagai orang Islam apabila berbelanja disarankan jangan berlebih-lebih atau menunjuk-nunjuk. Amalan membazir amat dikeji oleh agama sehingga mereka yang membazir dikatakan sebagai saudara syaitan (Surah Al-Isra’: Ayat 27).
Pengguna lestari bukan sahaja seorang yang mempunyai matlamat hidup yang jelas yakni untuk mencapai kualiti hidup yang lebih baik, tetapi juga memikirkan nasib generasi yang akan datang.
Amalan kepenggunaan lestari turut mementingkan penjagaan alam sekitar. Pengguna seharusnya memastikan setiap barang dan perkhidmatan yang dibeli mematuhi konsep mesra alam. Pengguna barang dan perkhidmatan mesra alam di Amerika Syarikat dan United Kingdom sahaja membelanjakan 500 billion dolar setahun.
Jika diperhatikan negara kita tidak kurang undang-undang yang berkaitan alam sekitar. Terdapat banyak akta berkaitan alam sekitar, di antaranya Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 pencemaran udara (seksyen 20), pencemaran bunyi bising (seksyen 23), pencemaran tanah (seksyen 24), pencemaran perairan daratan (seksyen 25) dan pencemaran minyak (seksyen 29).
Terdapat juga Seksyen 82 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang melarang sesiapa melakukan pembakaran dalam hutan simpan. Dan seksyen 81 Akta Kerajaan Tempatan 1976 pula menyatakan tindakan boleh diambil ke atas kilang yang mengeluarkan asap dan menganggu kesihatan serta alam sekitar. Kemudian Akta Taman Negara 1980 yang menghalang aktiviti yang menjejaskan ekosistem hutan dan Akta Perikanan 1985.
Dasar serta undang-undang memang sudah lengkap dan tersedia cantik malangnya kita dapati perlanggaran terhadap akta-akta tersebut berlaku setiap hari di negara kita. Lihatlah contoh semasa memandu sahaja dapat melihat kenderaan seperti motor, bas dan lori yang mengeluarkan asap hitam dan tebal mencemarkan alam sekitar.
Sikap mereka ini langsung tidak ambil peduli tentang kesejahteraan orang di sekeliling. Apa yang jelas undang-undang yang hanya wujud di atas kertas memang tidak akan berkesan. Sesuatu undang-undang itu memerlukan tindakan agar ia dapat dijadikan sebagai contoh teladan kepada orang lain.
Jika dilihat di Malaysia amalan merokok menjadi suatu kebiasaan. Di merata-rata tempat kita dapati perokok tanpa segan silu menghisap rokok mencemarkan udara sekeliling dengan asap yang berkepul-kepul.
Adakah mereka ini sedar yang asap itu bukan sahaja memudaratkan diri sendiri tetapi turut menggugat kesihatan orang yang berada di sekeliling? Selain mencemarkan alam sekitar merokok juga menunjukkan contoh yang tidak baik kepada kanak-kanak. Seharusnya perokok sedar kesan buruk perbuatan mereka dan tidak mementingkan diri sendiri semata-mata.
Kita dapati agama Islam amat mementingkan pemeliharaan alam sekitar. Islam mencegah manusia daripada merosakkan atau mencemar sumber-sumber alam yang terdapat dalam bumi, daratan dan laut. Allah menciptakan alam sekitar dengan fungsinya yang tertentu demi kesejahteraan manusia.
Manusia yang lupa diri akan melakukan kerosakan-kerosakan kepada alam sekitar. Antaranya adalah pencemaran laut atau sungai dan pencemaran udara seperti asap, debu dan sebagainya. Perkara yang paling penting dalam penjagaan alam sekitar ialah penjagaan keseimbangannya. Sebarang pencemaran akan menyebabkan ketidakseimbangan pada alam seterusnya akan memberikan akibat buruk kepada kehidupan manusia itu sendiri.